ORANG tua-tua kata ‘dunia dah terbalik’. Ia menggambarkan keadaan - ‘dunia’ menerima sesuatu di luar norma masyarakat. Kita berada dalam ‘dunia yang terbalik’ apabila nilai-nilai baik itu dilihat sebagai ketinggalan.
Sebaliknya, nilai-nilai buruk itu pula diterima sebagai sesuatu yang baik. Kini, sudah menjadi normal apabila kita melihat mereka yang terlibat dalam politik tidak berasa malu walaupun sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah atas tuduhan rasuah.
Berpegang kepada ‘kamu tidak bersalah melainkan setelah terbukti’, mereka bergerak di khalayak ramai dan bercakap seolah-olah ‘dunia ini ana yang punya’ secara selamba walaupun dia sedang didakwa.
Mereka yang mendengar kata-katanya secara berdepan terangguk-angguk, bertepuk sorak dan menyokong individu berkenaan. Maknanya, mereka yang dituduh bersalah dan mereka di sekeliling tertuduh itu melihat ia sebagai sesuatu yang normal.
Rasuah adalah salah satu topik bakal mendapat perhatian lebih serius pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Calon bertanding bukan sahaja akan diukur dari segi personaliti, pandai ‘memarhaenkan’ diri, mampu mendapatkan jalan raya bertar atau lampu elektrik di jalan kampung dan membantu anak pengundi mendapat tempat belajar.
Mereka juga akan diukur dari segi integriti. Inilah cabaran pasukan Rasuah Busters yang sudah bergerak lebih setahun setengah menentang gejala itu. Pada Selasa, mereka melancarkan kempen #SatuJari Sempena PRU15.
Berjaya atau tidak kempen tersebut, terletak di tangan rakyat. Platform menentang rasuah melalui Rasuah Busters sudah ada. Rakyat perlu lebih galak diajak sama-sama berjuang menentangnya.
Apakah calon-calon ‘berani buka mulut’ untuk bercakap sebagai seorang calon yang menentang rasuah dengan nada suara selantang-lantangnya?
Buat permulaan, rakan-rakan strategik Rasuah Busters harus menjadi pemangkin agar masyarakat peka pada topik rasuah.
Seperti harapan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia #RasuahBusters, Nurhayati Nordin, topik rasuah dan kesedaran mengenainya harus mendasar serta membuak menjadi ground swelling.
PRU15 sebenarnya adalah platform yang terbina dan tersedia untuk memberi satu lonjakan kepada kempen Rasuah Busters. Seluruh rakan strategik perlu turun di semua 222 kawasan Parlimen untuk menghidupkan mood antirasuah.
Ini bukan kempen sebarang kempen. Ia adalah window of opportunity lima tahun sekali apabila topik rasuah mudah mendapat perhatian dan tindak balas masyarakat.
Jika Rasuah Busters dan kita tidak mengangkat topik serta manifestasi jijik pada rasuah serta ‘penagihnya’, maka peluang menentangnya sukar mencapai gear lima.
Seperti ahli astronomi menanti kedudukan sesebuah planet paling hampir di bumi untuk memudahkan menghantar satelit, begitulah tamsilan mengenai kedudukan Rasuah Busters dan pilihan raya. Sekiranya ‘satelit’ antirasuah tidak diledakkan pada PRU kali ini, kita kena tunggu lima tahun lagi.
Usahawan, Anas Zubedy turut menyarankan pengundi sendiri berani tampil untuk bertanya pendirian calon PRU15 mengenai rasuah.
Beliau menyarankan lagi supaya pengundi merakam dan sebarkan jawapan mereka di media sosial agar rakyat tahu sejauh mana komitmen masing-masing. Jawapan itu sendiri mampu menambah majoriti atau menghilangkan wang pertaruhan.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dalam ucapannya pula berkata, rakyat adalah ‘boskau’ – yang bos adalah engkau (kita), bukan engkau menjadi bosku.
Rakyat bukan sahaja memilih pemimpin tetapi menentukan masa depan negara. Pilihlah wakil berdasarkan kewibawaan dan integriti, bukan lagi berdasarkan parti. Pilih calon sebagai kriteria utama.
Sungguh cantik nasihat dua kanak-kanak, Ku Mika dan Ku Hana yang berpantun pada majlis pelancaran kempen #SatuJari Sempena PRU15.
Timbang sukat buah bidara,
Dalam baldi penuh diisi
Jangan diangkat perosak negara,
Kelak nanti kita yang rugi.
Laju lari si burung kedidi,
Sayap tempua berbulu pelepah,
Satu jari kuasa pengundi,
Semoga semua bijak memangkah.
*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca