"HARI tu kamu tunjuk gambar orang lain pada emak, hari ini kamu bawa balik orang lain. Jangan buat begitu. Tak baik permainkan anak dara orang.”
"Ini orang samalah mak.”
"Mana pula sama? Dalam gambar tu putih, gebu, dagu runcing, pipi licin macam pauh dilayang. Yang kamu bawa balik, yang ada kat luar tu, alahai...”
Itu kisah rekaan, sekadar untuk dijadikan contoh. Pun begitu, saya percaya kes-kes seumpamanya kerap terjadi kebelakangan ini. Saya sendiri pernah mengalaminya. Menerima kad undangan perkahwinan dengan paparan jelas gambar wajah pasangan pengantin. Sama cantik, sama padan tetapi di majlis itu, saya ternganga-nganga apabila diperkenalkan kepada pengantin.
Rasa macam telah tersilap rumah kerana wajah mempelai berbeza betul dengan yang terpampang pada kad undangan. Anak-anak muda yang mengadakan janji temu secara ‘blind date’ sekarang ini mungkin kerap melalui pengalaman ‘dalam gambar macam lain, yang datang macam lain’.
Begitulah kehidupan di dunia baharu ini. Dahulu wajah hanya boleh diubah dengan solekan, sekarang tanpa solekan pun ia boleh dilakukan. Bukan setakat wajah, semua anggota badan lain juga boleh diubah. Lengan besar boleh dikecilkan, perut berlapis boleh dikempiskan. Semuanya dengan beberapa klik.
Keinginan manusia untuk merakamkan imej selain dalam bentuk lukisan mungkin telah wujud sejak zaman mereka mula pandai menconteng dinding gua. Tetapi hanya pada 1820-an, baru hasrat itu tercapai apabila Joseph Nicéphore Niépce membuat cetakan fotografi pertama daripada plat cetakan fotoengraved. Dari situ, seni fotografi terus berkembang.
Sifat tidak pernah puas hati manusia menyebabkan muncullah keinginan memanipulasi imej atau gambar yang terhasil. Tujuannya tentulah supaya ia jadi lebih cantik dan menarik. Tetapi ada juga kes terpencil – yang cantik dihodohkan, yang hodoh dihodohkan lagi. Selalunya kes begitu terjadi dalam dunia politik.
Pada peringkat awal manipulasi imej dilakukan dengan kaedah tradisional seperti teknik dedah dua kali, pelunturan cahaya, penggunaan cat, dakwat, berus dan sebagainya. Untuk melakukannya mestilah orang yang ahli dalam bidang berkenaan. Kalau setakat pandai bersolek tetapi tidak tahu membezakan antara ‘bilik gelap’ dengan ‘lensa’, janganlah cuba-cuba.
Bagaimanapun, kemajuan teknologi menjadikan kerja sukar itu bertambah mudah. Kini dengan adanya teknologi digital, dibantu puluhan aplikasi, kerja pengeditan imej boleh dilakukan sesiapa sahaja. Kemudahan itu kemudiannya digabungkan dengan kemunculan pelbagai platform media sosial yang umumnya menjadikan gambar sebagai salah satu medium komunikasi.
Maka pengguna pun – perempuan terutamanya - berlumba-lumbalah memuat naik gambar ke platform-platform tersebut – termasuk gambar sendiri.
Trend itu menjadi sangat ketara sejak lebih sedekad lalu. Satu kajian menunjukkan pada 2006, 79 peratus remaja memuat naik foto mereka di profil media sosial dan enam tahun kemudian, angka itu melonjak kepada 91 peratus (Smith & Anderson, 2018).
Itu baru remaja. Belum kakak remaja, emak remaja dan nenek remaja. Kajian juga menunjukkan kebanyakan yang memuat naik gambar profil akan terlebih dahulu mengedit gambar tersebut. Kesannya terjadilah kes-kes seperti disebutkan di atas, ‘dalam gambar macam lain, di luar macam lain’.
Ada juga pemilik foto melakukan pengeditan bukan sahaja pada wajah tetapi latar belakang. Sawah padi ditukar menjadi blok bangunan di London, rumah kampung jadi banglo di Bukit Damansara, kereta lama ditukar menjadi kereta sport dan bermacam-macam lagi. Semuanya ikut selera dan kehendak sendiri.
Sepintas lalu memang tiada masalahnya berbuat begitu. Malah, ia membantu menggilap kreativiti seseorang. Tetapi di sisi lain, ia menjerumuskan kita lebih jauh ke lembah kepalsuan.
Bahayanya bermula apabila daripada suka-suka ia bertukar menjadi menipu dan lebih bahaya lagi apabila kita tidak lagi berasa bersalah berbuat demikian kerana ‘orang lain pun buat juga’.
Jadi pesan saya, sebaik-baiknya jadilah diri kita sendiri. Cantik atau tidak, kacak atau tidak, wajah kita adalah anugerah ALLAH kepada kita yang tiada duanya. Jika hendak edit pun, berpada-padalah. Jangan sampai bila kita hilang, polis susah hendak cari sebab ‘dalam gambar macam lain...’ #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan
Klik di sini untuk terus membaca