SHAH ALAM - Segala agenda reformasi dalam menentang rasuah di negara ini akan dapat dicapai jika parti-parti politik memulakan usaha dengan memasukkannya sebagai salah satu manifesto dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, sebagai sebuah gerakan, ‘visibility’ atau keterlihatan fizikal akan tetap diteruskan oleh Rasuah Busters, namun ‘visibility’ dalam kalangan wakil rakyat perlu dilaksanakan oleh mereka yang mempunyai kuasa.
"Keterlihatan Rasuah Busters dalam PRU15 kali ini akan diteruskan melalui penglibatan fizikal. Namun, satu lagi ‘visibility’ adalah dengan cara parti-parti politik membawa segala agenda reformasi terhadap rasuah ini di dalam manifesto mereka.
"Ini yang kita usahakan kerana masalah korupsi akan terus berlaku, tidak kira pilihan raya atau tidak. Cuma, melalui inisiatif #SatuJari yang kita gerakkan untuk PRU15 ini, kita nak sampaikan mesej, pentingnya nilai satu jari setiap pengundi untuk membawa perubahan kepada 32.7 juta rakyat Malaysia.
"Bagi parti politik pula, kita nak mereka laksanakan empat lagi tuntutan Rasuah Busters yang belum dipenuhi terutamanya Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik dimasukkan dalam manifesto PRU15 masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar membincangkan isu Mampukah Korupsi Dihapuskan Dalam PRU15 yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.
Jelas Nurhayati, Malaysia tidak mempunyai pilihan, selain memulihkan segala lompong dan kerosakan yang berlaku.
"Sebelum kita nak tinggalkan negara ini kepada anak-anak, ini adalah perkara penting yang perlu diperbaiki hari ini. Saya tahu, ramai di kalangan kita merasakan isu ini sangat rumit, seolah-olah tiada harapan.
"Tentunya dalam perjuangan itu, amat sunyi kerana bukan semua bersama kita, namun apabila yakin benar, lakukanlah,” jelasnya.