SHAH ALAM - Berdasarkan petunjuk Pilihan Raya Umum (PRU) terdahulu dan faktor cuaca pada penghujung tahun di Malaysia penganalisis politik membuat jangkaan 12 atau 13 November sebagai tarikh ideal untuk pelaksanaan PRU15. Pensyarah Kanan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Berdasarkan petunjuk Pilihan Raya Umum (PRU) terdahulu dan faktor cuaca pada penghujung tahun di Malaysia penganalisis politik membuat jangkaan 12 atau 13 November sebagai tarikh ideal untuk pelaksanaan PRU15.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpandangan, indikator PRU14 menunjukkan tempoh 18 hari diperlukan SPR dari tarikh mesyuarat khas menuju hari penamaan calon diikuti tempoh berkempen selama 11 hari.

"Untuk PRU15, mengambil kira faktor Monsun Timur Laut yang dijangka bakal bermula pertengahan November hingga Mac tahun depan, maka tarikh 12 atau 13 November adalah bersesuaian kerana tidak terlalu cepat atau lewat.

"Dikhuatiri jika diadakan PRU15 pada penghujung bulan November keadaan cuaca akan bertambah buruk," kata Mohd Azizuddin kepada Sinar Premium pada Rabu.

Terdahulu, SPR memaklumkan mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan PRU15 seperti tarikh penamaan calon dan tempoh berkempen akan diadakan pada 20 Oktober.

Mesyuarat turut meliputi perbincangan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah.

MOHD AZIZUDDIN

Menariknya, dalam pertemuan Ketua Pengarang-Ketua Pengarang media arus perdana bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu, beliau memberi 'tip' yang tarikh PRU15 dijangka sebelum pertengahan November.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin kurang bersetuju dengan tempoh berkempen terlalu singkat berikutan ia tidak memberi masa mencukupi untuk calon dan parti politik bertanding cuba meraih undi.

"Saya kurang setuju sekiranya tempoh kempen singkat sebaliknya perlu lebih dua minggu kerana parti dan calon bertanding perlu masa untuk melaksanakan pelbagai agenda kempen seperti memperkenalkan calon, terutama calon-calon muka baru kepada para pengundi.

"Selain calon dan parti, SPR juga perlu membuat persediaan. Saya berpandangan tempoh dua minggu atau lebih adalah wajar," katanya yang turut menjangkakan 29 Oktober sebagai tarikh penamaan calon yang sesuai berikutan jatuh pada hujung minggu.

Untuk rekod, tempoh berkempen paling singkat adalah ketika PRU11 pada tahun 2004, iaitu selama lapan hari diikuti PRU10 pada tahun 1999 selama sembilan hari.

WAN AHMAD

TEMPOH KEMPEN 11 HINGGA 14 HARI

Dalam pada itu, Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, secara kelaziman SPR pasti mengambil kira semua faktor semasa dalam menentukan tarikh sesuai untuk PRU15 selain memastikan kelancaran proses pengundian.

"Keselesaan rakyat untuk keluar mengundi harus diberi keutamaan bagi mendorong suatu peratusan keluar mengundi yang tinggi, selain memastikan hari mengundi tidak jatuh pada tarikh yang boleh menimbulkan sensitiviti kepada pihak-pihak tertentu.

"Contohnya hari mengundi tidak harus bertembung dengan hari perayaan mana-mana kaum," kata beliau yang enggan membuat ramalan berhubung tarikh PRU15.

Menurut Wan Ahmad, beliau menjangkakan SPR akan memberi laluan untuk tempoh berkempen tidak kurang dari 11 hari dan tidak lebih dari dua minggu menjelang tarikh mengundi, para pengundi tidak perlu bimbang sekiranya berlaku situasi tidak dijangka seperti pusat mengundi dinaiki air banjir.

"Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dari kuasa di bawah Akta Pilihan Raya 1958 memberi kuasa kepada SPR untuk menangguh proses pengundian bagi mana-mana pusat mengundi yang dinaiki air akibat dari keadaan banjir yang tidak dijangka.

"SPR bersedia dan mempunyai kuasa untuk menangguhkan proses pengundian di pusat mengundi yang terlibat kepada satu tarikh baharu yang akan ditetapkan namun selagi mana situasi itu tidak berlaku, maka proses pengundian akan diteruskan seperti biasa mengikut jadual waktu yang ditetapkan," katanya.

Perbandingan tempoh masa daripada pengumuman bubar Parlimen, mesyuarat SPR, penamaan calon dan hari mengundi.

Klik di sini untuk terus membaca