KEBELAKANGAN ini semakin ramai ibu bapa berkongsi di media sosial contoh-contoh silibus dan soalan mata pelajaran di sekolah rendah yang dikatakan sukar dijawab anak mereka. Antaranya soalan mata pelajaran Matematik, Bahasa Melayu dan... Klik di sini untuk terus membaca

KEBELAKANGAN ini semakin ramai ibu bapa berkongsi di media sosial contoh-contoh silibus dan soalan mata pelajaran di sekolah rendah yang dikatakan sukar dijawab anak mereka.

Antaranya soalan mata pelajaran Matematik, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam bagi murid tahun dua. Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi netizen dengan rata-rata bimbang silibus dan soalan sedemikian akan membebankan murid dan menyebabkan mereka hilang minat untuk belajar.

Namun, terdapat ibu bapa yang berpandangan silibus dan soalan itu mungkin di luar kemampuan murid kelas belakang tetapi mudah bagi murid kelas hadapan yang lebih pandai.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian mengenai isu tersebut yang menjadi tumpuan ramai lebih-lebih selepas tular kontroversi Cikgu Fadli dengan Kementerian Pendidikan.

Silibus pembelajaran sekolah rendah perlu digubal agar lebih fleksibel selari dengan perubahan sistem pendidikan negara.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, silibus semasa yang diguna pakai ketika ini masih berpandukan pembelajaran bertujuan untuk peperiksaan meskipun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun lalu telah mengumumkan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

"Silibus baharu yang bakal digunal sepatutnya tidak bermatlamatkan peperiksaan tetapi berasaskan pembelajaran, aktiviti dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.

Isnin lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, silibus dibangunkan oleh KPM itu mula digunakan di sekolah sejak tahun 2017 dan tidak boleh diubah sesuka hati setiap tahun.

Dalam pada itu Anuar berkata, dengan perubahan silibus tersebut, persoalan untuk mewujudkan pelbagai silibus berbeza bagi memenuhi kepelbagaian tahap keperluan murid juga tidak timbul.

Jelasnya, silibus yang baik bukanlah silibus bersifat rigid, tetapi sebaliknya fleksibel dalam membantu guru memberikan pengajaran terbaik mengikut keupayaan murid.

Anuar berkata, isu kepadatan jumlah silibus yang dihadapi murid dan guru ketika ini juga disebabkan ia dibangunkan untuk pembelajaran berasaskan peperiksaan.

"Bila ada peperiksaan, akan ada banyaklah kandungan mata pelajaran. Barulah pelajar akan baca dan kemudian menjawab soalan peperiksaan,” ujarnya.

Menurut Anuar, isu kepadatan silibus juga menjadi antara punca yang menyumbang kepada masalah pelaksanaan sistem pendidikan baharu iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

"Kalau kita ada silibus yang fleksibel, terpulang kepada guru untuk merancang pembelajaran bergantung kepada tahap keupayaan murid. Tetapi sukar untuk guru merancang pembelajaran jika silibus padat,” ujarnya.

Beliau menambah, masalah lain yang mengakibatkan transisi ke arah PBD lebih berkesan adalah isu kepadatan jumlah murid di dalam kelas dan kemudahan prasarana pembelajaran.Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Roslizam Hassan pula berkata, tahap kesukaran silibus yang diajarkan kini perlu diturunkan agar lebih sesuai dengan tahap murid.

Beliau berkata, kebimbangan terhadap kemungkinan sistem pendidikan negara ketinggalan berbanding negara lain akibat tindakan tersebut juga tidak timbul kerana tahap pendidikan negara kini adalah tidak jauh berbeza.

"Saya melihat silibus digunakan di negara lain tidak terlalu tinggi berbanding Malaysia. Kalau ada yang tinggi sedikit pun, bilangan subjek mereka sangat rendah berbanding dengan kita yang ada mencecah berbelas subjek,” jelas beliau.

Roslizam yang juga bekas Guru Cemerlang Matematik dan pernah bertugas sebagai pegawai di pejabat pendidikan daerah selama 17 tahun berkata, penggunaan silibus terlalu tinggi hanya akan menyebabkan murid takut untuk belajar dan seterusnya menjejaskan proses pembelajaran mereka.

Beliau berkata, selain keupayaan untuk menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, perkara paling penting perlu dipastikan dalam proses pembelajaran seseorang murid adalah keseronokan untuk belajar.

Klik di sini untuk terus membaca