TAHAP kesedaran masyarakat terhadap isu rasuah yang berlaku dalam negara semakin meningkat apabila topik tersebut sering mendapat perhatian umum. Kepekaan orang ramai didorong oleh pelbagai faktor antaranya pendedahan kes penyelewengan,... Klik di sini untuk terus membaca

TAHAP kesedaran masyarakat terhadap isu rasuah yang berlaku dalam negara semakin meningkat apabila topik tersebut sering mendapat perhatian umum.

Kepekaan orang ramai didorong oleh pelbagai faktor antaranya pendedahan kes penyelewengan, pendakwaan serta hukuman mahkamah terhadap pesalah sering dipaparkan di saluran media tempatan.

Di samping itu, kempen berterusan yang digerakkan pasukan Rasuah Busters telah membuka mata banyak pihak tentang kesedaran menentang budaya jijik rasuah secara terbuka daripada terus menular dan menjadi barah kepada negara.

Ikuti bicara eksklusif Bernama Radio bersama Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf bagi mengupas isu rasuah di negara ini dan strategi terbaik memeranginya menerusi kempen kesedaran secara besar-besaran.

Bernama Radio: Impian Mr Rasuah Busters, bagaimana tercetusnya idea bermulanya Rasuah Busters?

Hussamuddin: Ia bermula daripada hasrat saya dan dicampur dengan saranan anak cucu yang makin membesar. Umur saya sudah 68 tahun. Anak-anak dan cucu selalu dengar cerita dalam televisyen dan radio tentang rasuah dan salah guna kuasa. Mereka bertanya kepada saya: "Atuk, apa yang atuk buat untuk lawan rasuah. Atuk ada media”.

Itu yang saya rasakan juga. Saya sebagai pemilik Sinar Harian dan Karangkraf, jadi saya harus lakukan sesuatu di hujung-hujung dan hari-hari terakhir seorang seniman. Saya harus menggunakan voice yang saya ada itu untuk menghasilkan satu impak kepada masyarakat.

Sekarang kita lihat rasuah itu memang sudah berakar umbi dan menjadi budaya di Malaysia. Jadi orang rasa tidak bersalah menerima atau memberi rasuah, salah guna kuasa dan kronisme.

Jadi saya rasakan, moral dan karakter bangsa atau sistem nilai dalam diri kita sudah musnah. Kita harus membaikinya. Cara hendak baiki adalah memulihkan balik sistem nilai ini. Sebab itu saya mulakan Rasuah Busters ini dengan menggabungkan sahabat-sahabat daripada media lain.

Bernama Radio: Apa matlamat utama Rasuah Busters ditubuhkan dan program-program terkini termasuk kempen #SatuJari Bebas Rasuah yang baru dilancarkan?

Hussamuddin: Kita sebenarnya mahu kembalikan sistem nilai itu sendiri. Bila kita bertolak ansur, kita menerima rasuah sebagai budaya atau sogokan sebagai satu hadiah sedangkan kita tahu hadiah diberikan tanpa mengharapkan sesuatu.

Sebagai contoh dalam media sendiri. Cerita dulu-dulu yang selalu kita dengar apabila wartawan atau penerbit program diberi sogokan atau hadiah untuk buat berita yang baik atau cerita-cerita bagus tentang pemimpin, ia jelas sekali perbuatan itu adalah rasuah. Tetapi pemberi dan penerima berasa tidak bersalah. Jadi ini yang kita hendak timbulkan iaitu rasa bersalah.

Kalau bukan wartawan yang pergi jumpa pemimpin itu dan contohnya dia adalah seorang pelayan, adakah pemimpin itu akan memberi tip sebanyak RM200 atau RM300 kepada pelayan tersebut? Dia tidak akan bagi sebab dia tidak akan dapat apa-apa. Jadi semua ini kerana ada agenda.

Sebab itu kita mahu timbulkan kesedaran pada setiap individu. Anda sebagai wartawan atau penyampai radio, awak sendiri sudah dibayar gaji dan tahu tanggungjawab masing-masing untuk melapor atau menyampaikan berita-berita yang betul. Sekiranya berita itu tidak betul dan salah, anda kena melaporkan perkara yang salah itu. Tetapi kalau kita dipengaruhi dengan bayaran, itu sudah menjadi rasuah dan kita sudah bersubahat.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kita lancar kempen #SatuJari Bebas Rasuah. Kita mahu semua yang layak mengundi keluar mengundi beramai-ramai. Rasuah Busters ini sebuah gerakan bebas dan berkecuali. Kita tidak kata, awak kena pilih parti itu atau parti ini. Anda bebas memilih sesiapa sahaja tetapi apa yang penting kena pilih calon yang betul-betul jujur, ikhlas, bijak dan berkebolehan.

Bernama Radio: Adakah kes rasuah dalam kalangan pemimpin beri kesan negatif kepada negara?

Hussamuddin: Pada pandangan saya, apa yang berlaku beri kesan negatif tetapi melalui proses mahkamah yang begitu telus, makan masa bertahun-tahun dan proses sampai tiga peringkat mahkamah menyebabkan seorang perdana menteri dihukum. Saya rasa ia memberi mesej jelas kepada rakyat bahawa tiada sesiapa pun boleh terlepas.

Kita jalankan tugas kita dengan betul dan beri perkhidmatan dengan penuh tanggungjawab. Bukan kena bayar baru hendak bantu. Jika buat salah harus bertanggungjawab. Jika disogok semasa laksana tugas, maklumkan bahawa tidak boleh menerima rasuah kerana agama saya melarang daripada menerimanya.

Bernama Radio: Sebagai pengamal media lebih dari 40 tahun, ada atau tidak unsur-unsur rasuah yang Datuk Hussamuddin pernah lalui sama ada daripada penawaran? Bagaimana Datuk menolaknya?

Hussamuddin: Okay, begini. Kenapa Karangkraf boleh bertahan 45 tahun? Karangkraf adalah sebuah syarikat yang kami adik-beradik asaskan tanpa bantuan kerajaan. Pada awal lagi kami mempunyai misi jelas iaitu berniaga dengan barakah. Apa yang kita buat adalah pastikan produk yang dijual bagus.

Apabila berkecimpung dalam media, kita pastikan daripada awal lagi media kita bebas dan berkecuali. Zaman 80-an kita memiliki akhbar Watan, kita bebas. Kita beri ruang kepada dua-dua pihak. Yang bagus kita puji, yang tidak bagus kita tegur. Kita ada akhbar eksklusif seperti Bacaria dan Sinar Harian, kekalkan sifat seperti itu. Sebab itu orang menghormati prinsip kita ini. Semua orang berkawan dengan kita.

Semasa Barisan Nasional (BN) memerintah, kami dianggap sebagai akhbar pembangkang. Tetapi apabila BN menjadi pembangkang, kami dianggap sebagai akhbar BN oleh orang-orang Pakatan Harapan (PH). Jadi sekarang bila BN memerintah balik, kami dianggap sebagai media PH pula. Kenapa ini berlaku? Sebabnya kami melaporkan kedua-dua belah pihak. Namun semua ini bergantung kepada prinsip. Kalau sesebuah syarikat akhbar, mereka harus berpegang kepada prinsip dan kredibiliti. Kami terima iklan daripada semua pihak. Masa PRU14, iklan BN dan PH berada di sebelah-menyebelah.

Kami percaya kebebasan akhbar dan berpegang kepada prinsip. Bila kita berpegang kepada prinsip, kita boleh tidur lena. Apabila kerajaan bertukar sekali pun, Karangkraf masih boleh survive.

Bernama Radio: Bagaimana Datuk Hussamuddin mengimbangkan penerbitan sebuah pemberitaan yang seimbang dan adil? Bagaimana Datuk mengawalnya?

Hussamuddin: Senang sahaja. Pertamanya, cara kami kendalikan Karangkraf adalah memberi autonomi kepada pihak editor. Kami tidak ganggu ‘mudir’. Editor majalah kami seperti Mingguan Wanita dan Nona, kami tidak ganggu. Sebaliknya kami di bahagian pentadbiran menjaga aspek bisnes. Editor yang akan menentukan, cuma kami memberi guideline supaya dapat pastikan laporan atau tulisan itu tidak membuatkan pemilik atau editornya masuk neraka atau penjara atau risiko disaman. Maka kena pastikan balance dan kebebasan kepada editor untuk membuat pertimbangan.

Bernama Radio: Apa Datuk Hussamuddin nampak untuk lima hingga 10 tahun akan datang? Adakah kita boleh bersihkan rasuah?

Hussamuddin: Rasuah ini telah berakar umbi sejak berpuluh tahun. Tapi saya kira, dalam masa satu tahun setengah ini, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor semua parti bercakap tentang antirasuah. Maknanya sekarang, orang sudah berani bersuara tentang antirasuah. Jadi saya rasa ia satu permulaan yang bagus.

Untuk PRU15 ini pun, kita lihat hampir semua parti bercerita tentang antirasuah. Jadi kita sudah berjaya memupuk kebencian kepada rasuah secara terbuka. Bagi saya ini satu permulaan yang sangat baik.

Sekarang ini, kita telah bergerak ke lapangan bersama 600 rakan gabungan ke sekolah, masuk ke universiti, pergi ke jabatan-jabatan kerajaan dan buat pelbagai jenis engagement.

Saya rasa kalau PRU15 ini kita berjaya pilih 222 ahli Parlimen jujur, benci rasuah dan betul-betul ikhlas, saya rasa dalam masa lima tahun, kita dapat bersihkan negara daripada isu rasuah.

Klik di sini untuk terus membaca