SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu berjiwa besar dan meneliti aduan yang diterima berhubung isu tahap silibus yang terlampau tinggi dan padat buat murid serta guru dalam sistem pendidikan negara. Felo Utama Institut... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu berjiwa besar dan meneliti aduan yang diterima berhubung isu tahap silibus yang terlampau tinggi dan padat buat murid serta guru dalam sistem pendidikan negara.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, kerajaan harus memandang serius isu dibangkitkan itu lebih-lebih lagi ia datang daripada kelompok yang terbabit secara langsung dengan masalah berkenaan.

"Sebab mereka pakar dalam bidang pendidikan dan guru ini juga terlibat secara langsung mendidik anak bangsa.

"Jadi mereka dapat melihat isu yang berlaku dalam sistem pendidikan negara. Perkara ini perlu dipandang serius oleh kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh baru-baru ini membangkitkan mengenai isu silibus pembelajaran Matematik yang dikatakan terlalu tinggi dan tidak selaras dengan kemampuan murid untuk memahami serta menguasai subjek tersebut.

Susulan daripada itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, silibus yang digunakan di sekolah ketika ini sudah mula digunakan sejak tahun 2017 dan ia dibangunkan oleh KPM.

Katanya, silibus pembelajaran digunakan itu mempunyai kitaran dan tidak boleh diubah sesuka hati setiap tahun.

Beliau berkata, penghasilan sesuatu silibus juga memerlukan proses kajian mendalam yang melibatkan banyak pakar dan guru berpengalaman serta berkebolehan.

Dalam pada itu, Kok Seong berkata, kegagalan untuk menyediakan silibus yang sesuai dengan pelajar di negara ini bakal memberikan masalah kepada sistem pendidikan negara kerana ia menjejaskan potensi modal insan di Malaysia.



KPM perlu ubah pendekatan pendidikan - Alimuddin

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan disarankan supaya mengubah pendekatan dan memperkenalkan konsep baharu sesuai dengan perubahan dunia pendidikan global.

Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, ini kerana pendidikan global kini lebih menekankan kepada inovasi, kreativiti dan penyelesaian masalah seperti perubahan pendidikan di negara-negara maju.

"Kadang-kadang pelajar yang selalu membaca, tengok internet dan sebagainya tidak ada masalah.

"Tetapi pelajar-pelajar yang tidak terdedah dengan ini dia berasa sukar. Jadi, di sinilah peranan guru untuk memudahkan pengajaran mereka.

"Mungkin konsep-konsep baharu itu harus didedahkan kepada pelajar,” katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada isu mutakhir apabila semakin ramai ibu bapa berkongsi di media sosial contoh-contoh silibus dan soalan mata pelajaran di sekolah rendah yang dikatakan sukar dijawab anak mereka.

Malah ada guru yang membandingkan silibus sekolah rendah di Malaysia dengan negara lain yang dikatakan lebih mudah bersesuaian dengan usia kanak-kanak.

Tambah Alimuddin, para guru perlu memberikan latih tubi, galakkan perbincangan, soal jawab, menggunakan bahan-bahan pengajaran kepada pelajar mereka dan bukannya bergantung kepada buku teks semata-mata.

"Banyak bahan, gambar malah video boleh digunakan untuk memudahkan pelajar memahami sesuatu konsep baharu yang diterangkan kepada mereka.

"Dalam belajar ini tidak ada isu susah atau senang. Yang pentingnya guru-guru dapat menarik minat pelajar-pelajar untuk belajar,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca