SHAH ALAM - Beberapa pemimpin parti politik dilihat mula melaksanakan kutipan dana daripada orang ramai bagi tujuan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ada dalam kalangan ahli politik ini dilihat menggunakan akaun parti, peribadi atau syarikat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Beberapa pemimpin parti politik dilihat mula melaksanakan kutipan dana daripada orang ramai bagi tujuan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ada dalam kalangan ahli politik ini dilihat menggunakan akaun parti, peribadi atau syarikat yang dilantik bagi menguruskannya.

Antara yang mula melaksanakan kutipan ini adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menerusi satu hantaran Facebook yang dibuat pada Ahad.

Menerusi hantaran tersebut, bekas Ketua Penerangan BN Selangor itu menulis bahawa orang ramai boleh menyumbang dana ke akaun Bank Rakyatnya atau akaun UMNO Malaysia.

"Dana ini tidak akan digunakan untuk kegunaan peribadi, semua perbelanjaan akan direkod dan seterusnya diaudit oleh juruaudit bertauliah,” tulisnya.

Isham turut menjelaskan bahawa sekiranya beliau diberi peluang bertanding, dana tersebut akan digunakan untuk deposit pilihan raya dan perbelanjaan kempen.

"Jika saya tidak bertanding, saya akan gunakan dana ini untuk terus membantu parti dan rakan-rakan yang bertanding,” ujarnya.

Sementara itu, anak bekas Timbalan Perdana Menteri pada era Tun Abdul Razak, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail yang sebelum ini mengumumkan akan bertanding menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk juga melaksanakan kutipan dana menerusi akaun peribadi.

"Saya adalah warisan bapa saya dan berjanji untuk mengembalikan sifat-sifat Tun Dr Ismail iaitu kejujuran, keadilan, menghormati perlembagaan dan kepelbagaian,” katanya.

Selain itu, Ahli Majlis Eksekutif Pusat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi juga mula menghebahkan tabung dana pilihan raya yang dijalankan menerusi Twitternya.

Beliau berkata, bagi tujuan kutipan dana tersebut, pihaknya telah melantik sebuah syarikat untuk mengurus dan mentadbir dana terbabit dengan lebih baik.

"Syarikat dilantik akan pastikan wang kutipan mempunyai rekod sah, daripada sumber yang bersih dan memenuhi segala keperluan undang-undang berkuat kuasa di Malaysia,” katanya.

Tidak terkecuali, Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Dr Nurul Ashikin Mabahwi yang turut melakukan perkara serupa dengan Amir Khusyairi menerusi Twitternya.

Beliau turut mengumumkan telah melantik sebuah syarikat untuk menguruskan dan mentadbir wang kutipan dana dengan lebih baik.

"Saya dengan rendah diri menyusun jari dan memohon sokongan daripada semua untuk bantu saya dalam kempen pilihan raya tidak lama lagi.

"Misi kami adalah untuk meramaikan wanita muda di Parlimen. Tidak mudah bergerak tanpa dana mahupun tajaan individu atau syarikat,” ujarnya.

Elak guna akaun peribadi untuk kumpul dana

Dalam pada itu, Malaysia masih tidak mempunyai undang-undang bagi menyekat akaun khusus untuk aktiviti politik dan kepartian.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, sebelum Parlimen dibubarkan, ahli-ahli Parlimen sedang giat berbincang tentang isu Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.

"Malangnya Parlimen telah terbubar. Jadi, undang-undang sedia ada terpakai. Pada waktu ini setahu saya tidak ada undang-undang tersebut.

"Bagaimanapun, kebanyakan daripada platform Facebook dan sebagainya ada kekangan dan sekatan terhadap meraih dana melalui media sosial dengan menggunakan akaun peribadi.

"Jadi, ramai yang saya tahu contohnya (bekas ahli Parlimen Segambut) Hannah Yeoh tidak menggunakan akaun peribadi, sebaliknya beliau menggunakan akaun pejabat atau akaun ahli Parlimen,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai terdapat pemimpin parti politik yang mula melaksanakan kutipan dana untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menggunakan nombor akaun parti atau syarikat dan juga peribadi.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) menjelaskan, apabila seseorang ahli politik itu menggunakan akaun peribadi, ia akan membuka kepada pelbagai fitnah dan dakwaan.

"Mereka yang berniat untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat seharusnya menjauhi fitnah tersebut dengan tidak menggunakan akaun peribadi,” tegasnya.

Selain itu, Fahmi menambah, akaun peribadi juga sukar untuk diaudit melainkan seseorang itu bersedia melampirkan semua maklumat tentang jumlah keluar masuk dan disahkan melalui kenyataan bank.

"Audit ini bukan dilakukan oleh diri sendiri tetapi oleh badan atau pihak ketiga seperti juruaudit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamudin turut mengemukakan pandangan serupa dengan Fahmi.

"Malaysia tidak mempunyai undang-undang pendanaan politik dan disebabkan itu jika mahu selamat adalah dengan menggunakan akaun parti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat yang dilantik khas untuk menguruskan dana," katanya.

Menurutnya, tiada garis panduan yang jelas daripada mana-mana institusi mengenai cara bagaimana untuk mengutip dana bagi tujuan pendanaan politik.

"Kebanyakannya mereka risau dana itu masuk dalam akaun peribadi. Mereka lebih selesa supaya ada ketelusan dan jejak wang yang jelas. (Ini) disebabkan apabila masuk dalam akaun peribadi, ia tidak mempunyai penjejakan wang yang jelas,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca