SHAH ALAM - Ibu bapa mengakui sukatan dan soalan mata pelajaran di sekolah rendah terlalu sukar difahami anak mereka.
Syed Azlan Sayid Hizar, 36, yang bekerja sendiri berkata, aras kesukaran begitu tinggi juga memberi bebanan psikologi kepada anak-anak apabila mereka gagal menjawab soalan.
"Jadi kerajaan diharap menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk semak semula silibus, mungkin perlu satu suruhanjaya bagi semak semula sistem pendidikan secara holistik,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Syed Azlan, selain isu kesukaran silibus, banyak lagi masalah yang perlu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ambil perhatian.
Antaranya, isu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan kemasukan ke asrama penuh yang menggunakan keputusan PBD.
"Ada sekolah tidak dapat menghabiskan silibus, dan kesannya murid dinilai mendapat Tahap Penguasaan 4 (TP4), dan kemudiannya tidak tahu ke mana arah tuju,” ujarnya.
Pekerja swasta, Julia Ismail, 39, turut mengakui silibus dan soalan sekolah rendah yang rumit untuk difahami boleh menyebabkan murid hilang minat menjawab soalan.
"Kebanyakan silibus ini susah dan rumit selain banyak arahan dalam soalan-soalan. Contohnya jika ada budak yang kurang penguasaan Bahasa Melayu, ia akan menjadi masalah seperti anak saya.
"Di sekolah rendah pula tiada dwibahasa, jadi apabila terdapat soalan yang terlampau panjang yang kita sebagai ibu bapa pun kena banyak kali baca baru faham, akhirnya anak saya takkan jawab soalan itu. Dia biarkan kosong. Sama juga Sains.
"Anak saya gagal sebab dia tak jawab kerana jawapan pun kena tulis panjang,” jelasnya.
Sehubungan itu, Julia menyarankan KPM menyemak semula sukatan dan soalan untuk mempermudah pembelajaran mengikut kesesuaian berdasarkan perkembangan kanak-kanak.
Ulas pekerja swasta, Luqman Ridhwan, 34, sebagai ibu bapa, kesukaran silibus yang dihadapi murid sekolah rendah termasuk anaknya yang berusia tujuh tahun akan membuatkan mereka bosan untuk belajar.
"Selain itu, ia menyukarkan ibu bapa membantu anak-anak menyelesaikan kerja rumah kerana tidak semua ibu bapa memahami silibus berkenaan.
"Contohnya subjek Matematik yang agak tinggi dengan tahap pemikiran murid sekolah rendah. Malah ada ibu bapa tidak pernah belajar pun topik berkenaan.
"Sekolah rendah pula tiada dwibahasa. Bila ada soalan yang terlampau panjang, kita sebagai ibu bapa kena banyak kali baca baru faham,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca