SELEPAS 11 hari pembubaran Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas hari ini. Fokus seluruh negara beralih ke ibu pejabat SPR di Putrajaya. Sidang media khas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dijangka menjelang... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS 11 hari pembubaran Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas hari ini. Fokus seluruh negara beralih ke ibu pejabat SPR di Putrajaya. Sidang media khas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dijangka menjelang tengah hari, yang kedua sejak SPR berpindah ke premis sendiri iaitu Menara SPR di Presint 2, tidak jauh dari Kompleks Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Semua pihak mengharapkan ‘hari besar’ – hari mengundi yang sebenar – yang kondusif bagi setiap pemegang taruh.

Ramai menghubungi tanya sama ada 5 November atau 12 November ini akan dipilih sebagai hari pengundian sebenar.

Ini kerana masing-masing ada komitmen sendiri. Ada yang bimbang tarikh yang bakal ditetapkan oleh SPR akan menjejaskan persiapan mereka mengadakan majlis keluarga, termasuk resepsi majlis perkahwinan, sambutan hari jadi dan sebagainya. Masing-masing ada hal di hujung minggu pada minggu-minggu awal bulan depan.

Semua hendak selesai mengadakan majlis masing-masing sebelum musim banjir. Semua sudah mula khuatir.

Begitu juga hari besar untuk negara – pilihan raya – satu lagi hari ‘keramaian’. Yang berlangsung setiap empat hingga lima tahun sekali, bergantung kepada perkembangan politik.

Keputusan pertama yang dinantikan sudah pasti mengenai hari pengundian sebenar PRU15. Banyak teka-teki dan spekulasi telah dikemukakan oleh pelbagai pihak.

Ada yang mengandaikan 5 November. Tidak ketinggalan 12 November dan termasuk dalam senarai 19 November. Ataupun mana-mana tarikh hari bekerja antara 10 dan 19 November juga disenaraikan. Banyak tarikh disyor, dicadang dan diandaikan.

Pun begitu, keputusan akhir di tangan SPR yang mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.

Kedua, hari penamaan calon bagi PRU kerusi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) – Perak, Perlis dan Pahang – negeri ‘3P’, yang berada di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN). Negeri-negeri di bawah Pas, komponen Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan memutuskan untuk mengadakan kemudian, dan mahu memberi tumpuan untuk menjaga kesejahteraan rakyat ketika banjir.

Hari penamaan calon juga akan menjadi kayu pengukur kepada bilangan hari yang akan diperuntukkan untuk berkempen, sekali gus membawa kepada hari pengundian sebenar. Ketiga, adakah SPR akan memperuntukkan minimum 11 hari yang termaktub dalam undang-undang pilihan raya pada masa sekarang. Dua dekad lalu, jumlah hari minimum adalah tujuh hari.

Mesyuarat SPR hari ini turut menetapkan tarikh penamaan calon yang bertanding. - Gambar hiasan

Di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, ‘tempoh berkempen’ bermaksud tempoh mana-mana calon atau ejen pilihan rayanya dibenarkan mengadakan kempen pilihan raya di dalam bahagian pilihan raya calon itu, iaitu bermula dari masa pegawai pengurus mengisytiharkan bahawa suatu pengundian akan dijalankan di dalam bahagian pilihan raya yang baginya dia dilantik dan berakhir apabila tamat hari sebelum hari mengundi.

Ketika PRU14, SPR memperuntukkan 11 hari iaitu peruntukan minimum yang diperuntukkan oleh undang-undang. Jika andaian itu betul, adakah SPR akan kekal dengan tempoh 11 hari ataupun kemungkinan akan ditambah dua atau tiga hari, menjadikan tempoh dua minggu sebagaimana disaksikan ketika beberapa pilihan raya kecil lepas.

Selain tiga keputusan penting itu, SPR juga akan menetapkan hari mengeluarkan writ dan notis pilihan raya, hari pengundian awal dan penetapan berkaitan proses undi pos.

Pada 10 Oktober lalu, kenyataan Istana Negara susulan perutusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembubaran Parlimen berkata, Yang di-Pertuan Agong berharap SPR akan menjalankan pilihan raya ‘dalam tempoh terdekat’, dengan mengambil kira monsun timur laut yang diramalkan Jabatan Meterologi Malaysia akan bermula pada pertengahan bulan depan.

Empat tahun lalu, ketika kita menantikan dengan penuh debaran kehadiran PRU14, dalam empat hari rakyat sudah mengetahui tarikh-tarikh utama pilihan raya – hari penamaan calon dan hari pengundian. Aturan tarikh itu agak jelas.

Ketidaktentuan awal

Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri ketika itu, mengumumkan pembubaran pada 6 April 2018, yang berkuat kuasa keesokan hari, Sabtu, dan disusuli dengan langkah kerajaan-kerajaan negeri membubarkan DUN kecuali Sarawak yang telah melangsungkan pilihan raya negeri (PRN) pada 2016.

Susulan itu, SPR telah mengadakan mesyuarat khas pada 10 April bagi menetapkan tarikh-tarikh pilihan raya. Kesemua proses awal itu, yang merupakan sebahagian daripada hampir 30 proses keseluruhan dalam rantaian pengurusan pilihan raya, selesai dilaksanakan.

Harapan agar pembubaran Parlimen, di sebalik cakap-cakap bahawa ia ada kaitan dengan tekanan pihak-pihak tertentu, akan membuka laluan awal ke arah kestabilan politik jangka panjang negara, masih belum jelas. Kita perlu akui bahawa laluan masih belum cerah. Ketidaktentuan seminggu selepas Parlimen dibubarkan berterusan.

Rakyat masih menunggu mood dan gambaran yang konkrit mengenai tarikh-tarikh pilihan raya.

Gambar hiasan

Ini kerana buat julung kali, tidak semua negeri mengambil peduli gesaan seorang Perdana Menteri agar Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing turut dibubarkan. Enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan telah mengumumkan pendirian muktamad tidak akan membubarkan DUN bagi membolehkan PRU15 diadakan serentak untuk menyertai gelanggang persaingan peringkat Dewan Rakyat.

Ketidaktentuan awal seperti ini tidak pernah disaksikan dalam sejarah PRU. Bermula dari PRU kedua pada 1964 sehinggalah PRU14.

Kesemua pembubaran peringkat negeri dan persekutuan berjalan dengan lancar meskipun sesetengah negeri ditadbir oleh parti bukan kerajaan pusat. Ini termasuklah Kelantan yang diterajui oleh Pas sejak 1990, Pulau Pinang dan Selangor sejak 2008, dan Kedah (2013) dan Terengganu (2004).

Malah, ketidaktentuan awal ini juga dilihat antara faktor yang membawa kepada keputusan SPR mengadakan mesyuarat khas 10 hari selepas pembubaran Parlimen. Empat tahun lalu, kesemuanya diaturkan dengan baik lagi lancar dan kelihatan teratur.

Kali ini SPR mengambil langkah selamat dengan ‘tunggu dan lihat’ apa yang akan berlaku di peringkat negeri, sama ada DUN akan dibubarkan, minggu lepas, bagi membolehkan PRU diadakan serentak.

Ketidaktentuan ini dikaitkan dengan pendirian kerajaan masing-masing mahu mengambil berat tentang kepentingan rakyat mereka. Ismail Sabri ketika mengumumkan pembubaran Parlimen menekankan bahawa beliau mahu kembali kepada rakyat dalam memperoleh mandat baharu dengan menamatkan cakap-cakap nakal mengenai status kerajaan semasa, yang tercetus pada Februari 2020.

Di pihak kerajaan negeri pula mereka tidak mahu mengekori jejak pusat kerana ingin memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat dengan tidak mahu mengadakan PRU ketika musim tengkujuh.

Rakyat yakin mesyuarat khas SPR, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Ghani Salleh, yang pertama bagi beliau selaku pengerusinya, akan menetapkan tarikh dan hari pengundian yang boleh diterima semua dan kondusif bagi setiap pemegang taruh pilihan raya terutama parti politik, bakal calon dan sudah tentu akhirnya, lebih 21 juta pengundi yang mempunyai kuasa untuk menentukan mandat kerajaan baharu.

* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

Klik di sini untuk terus membaca