"SEDIAKAN payung sebelum hujan.” Kita tidak boleh mengharapkan hujan tidak turun terutama pada musim tengkujuh tetapi kita boleh siap sedia dengan menyediakan payung. Perkara sama apabila kita berbicara mengenai Pilihan Raya Umum ke-15... Klik di sini untuk terus membaca

"SEDIAKAN payung sebelum hujan.” Kita tidak boleh mengharapkan hujan tidak turun terutama pada musim tengkujuh tetapi kita boleh siap sedia dengan menyediakan payung.

Perkara sama apabila kita berbicara mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Dengan perubahan iklim sejagat, hujan lebat menjadi lebih kerap dan tidak menentu.

Sehari sebelum pembubaran Parlimen pada 9 Oktober, banjir sudah melanda Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran di Sabah.

Enam hari selepas pembubaran, pada 16 Oktober, banjir kilat yang menenggelamkan banyak tempat di Pulau Langkawi, Kedah mengejutkan seluruh Malaysia.

Seramai 42 pelancong terperangkap di kawasan air terjun. Nasib baik semuanya berjaya diselamatkan.

Apa akan terjadi sekiranya hari mengundi jatuh pada 16 atau 17 Oktober jika Parlimen telah dibubarkan pada September seperti dituntut oleh sesetengah pihak?

Berapa orang pengundi yang mungkin terperangkap dalam banjir ketika perjalanan pergi atau balik daripada pusat mengundi?

Berapa peratus pengundi yang tidak dapat, tidak ingin atau tidak berminat keluar mengundi kerana takut ditelan air bah?

Penyelidik di Universiti Sunway, Wo Chang Xi berjaya menandakan di aplikasi Google Maps, sebanyak 26 penempatan di Pulau Langkawi yang dilaporkan mengalami banjir.

Ia merangkumi 14 daripada 27 daerah mengundi di seluruh Pulau Langkawi yang didiami seramai 38,118 pengundi iaitu 57 peratus daripada keseluruhan 66,808 pengundi.

Apa akan terjadi jika separuh daripada 38,118 pengundi itu tidak dapat keluar mengundi kerana banjir? Patutkah kita bersikap tidak apa-apa?

Atau langkah-langkah sewajarnya perlu diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membantu mangsa banjir menggunakan hak mereka untuk bersama-sama menentukan nasib masa depan negara?

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil? Jika banjir cuma menyusahkan tetapi tidak mengancam nyawa, mungkin SPR boleh memanjangkan masa mengundi atau menyediakan kenderaan termasuk bot-bot untuk membawa pengundi pergi mengundi.

Bagaimana jika pengundi telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS)? Peti undi bergerak seharusnya disediakan dan dibawa kepada mereka untuk mengundi, sebagaimana pesakit di Indonesia boleh mengundi.

Bagaimana jika pengundi masih duduk di atas bumbung menunggu untuk diselamatkan seperti yang berlaku kepada penduduk Sri Muda, Shah Alam di Selangor untuk dua hari pada Disember 2021?

Patutkah pilihan raya ditangguhkan untuk kawasan Parlimen yang banjir supaya mangsa banjir tidak kehilangan hak mengundi?

Dan jika terdapat puluhan kawasan Parlimen yang terpaksa ditangguhkan, patutkah seluruh PRU ditangguhkan sama? Kalau ditangguhkan menjangkau 9 Disember, maka darurat perlu dimasyhurkan.

Kemudahan peti undi bergerak dan penangguhan PRU15 bukan keputusan yang mudah untuk dibuat. Namun, SPR dan Nadma tidak boleh bertindak seolah-olah keadaan rumit itu tidak akan berlaku.

SPR akan bermesyuarat hari ini bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian. Mesyuarat itu juga perlu membincangkan prosedur operasi standard (SOP) yang dibuat bersama dengan pihak Nadma dan jawatankuasa-jawatankuasa pengurusan bencana peringkat kebangsaan, negeri serta daerah, bagaimana untuk mengadakan (atau menangguhkan) PRU15 ketika banjir.

Rakyat jelata tidak harus dipaksa untuk memilih antara nyawa atau undi.

* Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDSN-Asia) di Universiti Sunway. Beliau khusus dalam rekaan institusi seperti sistem pilihan raya, politik kepartian dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca