MALAYSIA tidak lama lagi akan melalui satu lagi proses pemilihan wakil rakyat di Parlimen dan pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di beberapa buah negeri.
Dalam satu laporan media, ada seorang pemimpin sebuah parti beranggapan pilihan raya umum (PRU) kali ini adalah ibu segala PRU.
Mungkin keutamaan beliau tidak sama dengan majoriti rakyat yang sedang bersiap siaga menghadapi bencana banjir.
Dalam sebuah laporan berita lain, seorang warga emas telah membelanjakan RM50,000 untuk membina rumah terapung menggunakan 69 tong air sebagai persediaan berdepan Monsun Timur Laut.
Bagi rakyat seperti ini, persediaan itu penting bagi mengelak kehilangan harta benda dan kemusnahan rumah daripada dihanyutkan air deras yang mereka perlu hadapi setiap tahun.
Kalaulah lebih ramai orang di negara ini berfikiran seperti warga emas tersebut, saya pasti Malaysia akan lebih berjaya untuk menangani apa juga bencana alam yang bakal tiba.
Malangnya, rumah yang dibina warga emas itu dengan kos terhad, tidak berkesempatan untuk dibuat ujian bagi menentukan kesediaannya terapung apabila air mula naik di kawasan perumahan itu nanti.
Bayangkan, jika usaha seperti itu diterajui pemimpin negara, ahli pentadbir dan cerdik pandai dengan peruntukan dana mencukupi daripada kerajaan sejak dahulu lagi – sebuah model rumah seumpama itu dibina dengan kapasiti untuk terapung dan dibuktikan kemampuannya dengan membuat ujian di atas air, maka saya pasti negara akan dapat menjimatkan belanja dikeluarkan setiap tahun bagi membaik pulih rumah yang musnah dan hanyut akibat banjir.
Mungkin dengan penggunaan teknologi dan kepakaran dalam negara, kos membina sebuah rumah terapung dapat dikurangkan ke tahap rakyat terbanyak mampu memilikinya.
Rumah mampu milik itu juga boleh dilengkapi dengan peralatan kuasa solar yang dapat membantu meringankan beban rakyat untuk membayar bil elektrik.
Selalunya selepas banjir, bekalan elektrik dan air akan terputus. Ia akan mengambil masa lama sebelum kemudahan itu dapat disambung semula.
Kita memerlukan penyelesaian melalui perancangan jangka panjang agar kesulitan dihadapi rakyat tidak menjadi perkara bermusim yang mereka harus hadapi setiap tahun.
Semasa saya belajar di luar negara, ribut salji sering melanda kawasan tempat tinggal dan universiti saya belajar. Adakala kami mendapat salji 30 hingga 40 inci sehari.
Namun, kerana ribut salji berlaku setiap tahun dan mereka telah merekodkan pelbagai pengalaman serta mencari penyelesaian jangka panjang, maka ia menjadikan tahap kesiapsiagaan di kawasan tersebut berada pada tahap sangat bersedia.
Malah, ribut salji tidak langsung dianggap sebagai bencana alam kerana kerja seharian berjalan seperti biasa. Tidak pernah sehari pun universiti atau tempat kerja di sana perlu ditutup kerana ribut salji.
Mereka sejak dahulu lagi telah menggunakan teknologi untuk meramal, membaca keadaan cuaca dan dilaporkan kepada orang ramai setiap masa. Ramalan cuaca mereka selalunya tepat dan memudahkan masyarakat membuat persediaan.
Rumah dan bangunan dibina dengan teknologi serta sains yang dapat bertahan daripada ribut salji. Malah, dindingnya juga dibuat mengambil kira cuaca sejuk.
Seperti di luar negara, kita juga mampu mencari penyelesaian seperti itu jika kita mempunyai iltizam untuk menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi rakyat saban tahun. Ia melalui perancangan jangka panjang, mengambil kira semua kepakaran dan koordinasi semua agensi. Ini bukan rocket science.
Asalkan jangan ada yang menangguk di air keruh. Mengambil kesempatan daripada susah payah rakyat untuk mereka terus bergantung hidup kepada dua tiga kerat manusia menggelar diri mereka pemimpin masyarakat hanya semata-mata supaya rakyat terus terhutang budi kepada mereka. Itu pada hemat saya adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.
Saya pasti pemimpin rakyat yang sebenar tidak akan menyusahkan rakyat dengan pilihan raya pada waktu seperti ini.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca