SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) merasakan rakyat perlu memberi hukuman terhadap UMNO-BN kerana ketidakprihatinan mereka terhadap masyarakat dengan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semasa musim banjir.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan BN dan UMNO tetap berdegil mahu mengadakan PRU15 semasa banjir menunjukkan mereka hanya mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan masalah banjir yang mungkin dihadapi rakyat.
"Saya percaya BN dan UMNO akan menerima hukuman berat daripada rakyat dan pengundi dalam PRU15 kerana ketidakprihatinan mereka terhadap keperluan dan kehendak sebenar masyarakat.
"Rakyat bukannya mahu PRU15 cepat tetapi memerlukan sesuatu untuk mengisi perut mereka tetapi ia gagal dilakukan kerajaan. Saya yakin rakyat sudah pasti tidak termakan dengan janji berkenaan," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis menetapkan 19 November depan sebagai hari pengundian bagi PRU15 serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November dengan 14 hari diperuntukkan untuk tempoh berkempen.
Pengundian awal pula dijadualkan pada 15 November.
Untuk rekod sebelum ini, tempoh berkempen pada PRU14 adalah 11 hari dan 15 hari bagi PRU13 manakala PRU12 pula adalah 13 hari.
Dalam pada itu Mahfuz percaya SPR terpaksa mengumumkan 15 November (pengundian awal) dan 19 November depan sebagai hari mengundi kerana diberikan tekanan biarpun menyedari kemungkinan negara berdepan dengan Monsun Timur Laut (MTL) bermula pertengahan November.
"SPR hanya melaksanakan tugasnya selepas dipaksa oleh kerajaan. Ini kerana saya percaya jika ditanya mereka sebenarnya tidak bersetuju untuk mengadakan PRU15 semasa musim tengkujuh susulan banyak kekangan dan masalah terpaksa dihadapi SPR jika berlaku banjir semasa proses kempen dan hari pengundian.
"Bagaimanapun, akhirnya semua pihak harus akur dengan keputusan dan tarikh diumumkan SPR serta membuat persiapan sebaik mungkin untuk menghadapi PRU15 nanti," katanya.
MTL dijangka bermula pada pertengahan November 2022 dan berakhir pada Mac 2023.
Dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang signifikan dan boleh mendatangkan banjir dijangka berlaku semasa fasa aktif MTL iaitu dari November 2022 hingga Januari 2023.
Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku antara November hingga Disember 2022. Manakala, mulai Disember 2022 hingga Februari 2023, episod hujan lebat berterusan dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, hujan lebat berterusan juga boleh berlaku di negeri pantai barat sekiranya luruan monsun kuat dan atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara dan kebanyakan tempat dijangka menerima jumlah hujan bulanan pada paras purata pada MTL 2022/2023.
Klik di sini untuk terus membaca