SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan besar bakal mengumumkan keputusan beliau bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sempena penganjuran Konvensyen PH di... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan besar bakal mengumumkan keputusan beliau bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sempena penganjuran Konvensyen PH di Ipoh, Perak pada malam Khamis.

Berdasarkan maklumat sumber Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, satu pasukan khas terdiri anggota parti berkenaan difahamkan sudah diarahkan untuk menjalankan tinjauan dan kajian tingkah laku pengundi di Parlimen itu sejak beberapa minggu lalu.

Setakat ini, Sinar Premium turut difahamkan Anwar sudah 90 peratus hampir pasti bakal bertanding di kerusi Parlimen yang dimenangi Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada PRU14.

"Setakat ini, sudah lebih 90 peratus Datuk Seri Anwar hampir pasti tanding di Tambun.

"Cuma parti masih perlu meneliti keseluruhan aspek termasuk taburan pengundi, kekuatan parti lawan seperti UMNO-BN dan Perikatan Nasional (PN) serta implikasi undi anggota tentera yang mempunyai bilangan ramai di sana.

AHMAD FAIZALAHMAD FAIZAL

"Sekiranya, perbincangan akhir parti mengenal pasti Anwar sesuai bertanding di situ, maka beliau mungkin akan umum bertanding kerusi Tambun malam ini (di Konvensyen PH di Ipoh). Jika tiada pengumuman, maka tiada kata putuslah," ujar sumber enggan dikenali kepada Sinar Premium pada Khamis.

Spekulasi Anwar yang juga bekas Ketua Pembangkang Dewan Rakyat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun semakin kuat diperkatakan apabila bekas Ahli Parlimen Port Dickson itu mengumumkan beliau akan bertanding di salah satu kerusi Parlimen milik pengkhianat PH dan PKR pada PRU15.

Susulan beliau menyatakan hasrat enggan mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenanginya melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) pada tahun 2019, pada awalnya Anwar turut dikaitkan dengan ura-ura bakal bertanding di kerusi Parlimen Ampang dan Gombak.

Pada PRU14, Ahmad Faizal yang ketika itu bertanding menggunakan lambang PKR, telah berjaya memenangi kerusi Parlimen Tambun setelah mengatasi bekas penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (UMNO-BN) dan Ibrahim Zakaria (Pas) dengan majoriti 5,320 undi.

Sementara itu, bekas Pengerusi PKR Perak, Dr Lee Boon Chye sewaktu dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kemungkinan Anwar akan mengumumkan keputusan bertanding PRU15 pada malam Khamis.

"Kita tunggu sahajalah sama ada Datuk Seri (Anwar) akan umum bertanding di kerusi mana pada malam ini (Khamis) atau tidak," ujar penyandang kerusi Parlimen Gopeng itu.

Klik di sini untuk terus membaca