TEKA-teki tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akhirnya terungkai susulan mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis menetapkan hari mengundi jatuh pada 19 November depan.
Susulan pengisytiharan pembubaran Parlimen penggal yang ke-14 pada 11 Oktober lalu, diputuskan PRU15 diadakan bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat, serta 42 kerusi Dewan Negeri Pahang, 15 kerusi Dewan Undangan Negeri Perlis, dan 59 kerusi Dewan Negeri Perak.
Pada masa yang sama, Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah juga akan diadakan serentak bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.
‘Perlumbaan’ memikat hati 21,173,638 pengundi berdaftar secara rasmi akan bermula dengan penamaan calon pada 5 November diikuti tempoh kempen selama 14 hari bagi para calon dan parti politik bertanding untuk menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing sekali gus meraih sokongan pemilih.
Untuk rekod, jumlah pengundi berdaftar PRU15 jauh meningkat berbanding PRU13 yang merekodkan 13,268,002 pengundi dan PRU14 dengan seramai 14,940,624 pengundi.
Untuk PRU15, jumlah pengundi berdaftar terbanyak mengikut negeri adalah Selangor, 3,677,848, diikuti Johor, 2,616,575 dan Perak, 2,036,872 pengundi.
Dalam pada itu, faktor peningkatan jumlah pengundi pada PRU kali ini adalah disebabkan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik yang dikuatkuasakan 15 Disember 2021.
Menurut komposisi jumlah pecahan umur pengundi berdaftar bagi PRU15, ia jelas dimonopoli golongan dalam lingkungan umur 18-29 iaitu seramai 6,007,978 pengundi sekali gus menyaksikan PRU kali ini dikenali juga sebagai PRU Generasi Z.
Negeri terbanyak pengundi Generasi Z adalah Selangor, 273,703, diikuti Johor,169,919 dan Sarawak,129,034.
Dengan jumlah terbesar, Generasi Z bakal membawa impak besar dalam mencorak keputusan PRU15 seterusnya masa depan negara.
Sementara itu, untuk pecahan umur lain adalah seperti berikut, umur 30-39: 4,681,348 pengundi; umur 40-49: 3,645,248 pengundi; umur 50-59: 3,027498 pengundi; umur 60-69: 2,277,070 pengundi; umur 70-79: 1,093,951 pengundi; umur 80-89: 353,631 pengundi dan 90 tahun dan ke atas: 86,914 pengundi.
PRU15 kali ini turut menyaksikan pecahan pengundi terdiri daripada 20,905,366 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Bagi pecahan pengundi mengikut jantina pula menyaksikan seramai 10,551,487 atau 49.83 peratus pengundi lelaki dan seramai 10,622,151 atau 50.17 peratus merupakan pengundi wanita.
Menariknya, PRU15 kali ini selain dipenuhi kontroversi lazim seperti drama persaingan antara parti politik yang bakal bertanding terutama dalam kalangan parti dominan seperti BN, koalisi Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, ia turut menimbulkan kebimbangan ramai berikutan bulan November juga adalah permulaan Monsun Timur Laut.
Sekiranya berlaku banjir besar, pastinya akan menyusahkan rakyat untuk keluar mengundi dan kelancaran proses undi juga pasti terjejas.
Namun pakar memberi jaminan, mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dari kuasa di bawah Akta Pilihan Raya 1958 memberi kuasa kepada SPR untuk menangguh proses pengundian bagi mana-mana pusat mengundi yang dinaiki air akibat dari keadaan banjir yang tidak dijangka.