TEKA-teki tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis, mengumumkan 19 November nanti sebagai hari pengundian. Ia sekali gus membabitkan sejumlah 21.17 juta pemilih berdaftar di... Klik di sini untuk terus membaca

TEKA-teki tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis, mengumumkan 19 November nanti sebagai hari pengundian.

Ia sekali gus membabitkan sejumlah 21.17 juta pemilih berdaftar di Malaysia.

Keputusan SPR itu juga menyaksikan buat julung kalinya PRU15 berlangsung melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 117 kerusi daripada 536 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kali ini juga, sejumlah enam negeri dipimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Pas menolak keputusan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan PRU15 yang mana hanya tiga negeri iaitu Perak, Perlis dan Pahang terlibat termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.

Pemilihan tarikh 19 November itu juga menyebabkan jangkaan PRU15 lebih awal sekitar 1 hingga 10 November, sebagai persediaan mengelakkan risiko banjir oleh sebilangan pemerhati politik, akhirnya meleset.

Hal itu susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang signifikan boleh mendatangkan banjir semasa fasa aktif Monsun Timur Laut dari November 2022 hingga Januari 2023.

Berikutan itu, timbul persoalan mengenai jaminan SPR dan kerajaan dalam memastikan proses demokrasi penting negara itu berjalan lancar tanpa disulami kebimbangan ancaman banjir?

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan menjalani sesi latihan pengendalian bot dan asas menyelamat sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut di Sungai Kelantan dekat Tambatan Diraja baru-baru ini.

Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menjelaskan faktor utama 19 November dipilih sebagai tarikh PRU15 disebabkan SPR tidak mempunyai banyak pilihan.

Pengesahan tepat

Jelas Abdul Rashid, SPR terpaksa menetapkan tarikh mesyuarat khas untuk membincangkan tarikh PRU15 pada 20 Oktober, lebih lewat daripada amalan kebiasaan susulan suruhanjaya itu perlu menunggu pengesahan pembubaran DUN oleh setiap negeri.

"Oleh itu, SPR kemudian akan pergi ke setiap negeri untuk berbincang tarikh pembubaran DUN negeri masing-masing, seterusnya memudahkan SPR untuk menentukan bila tarikh PRU15 bersesuaian.

"Sekarang saya bersimpati dengan SPR kerana mereka terpaksa melalui beberapa perkara di luar kawalan susulan masalah pentadbiran kerajaan Pusat dan negeri yang tidak selari.

"Sebab itu, SPR terpaksa mengumumkan tarikh PRU lambat daripada kebiasaannya kerana menanti pengesahan keputusan akhir pembubaran DUN setiap negeri terlebih dahulu,” jelas Abdul Rashid kepada Sinar Premium.

Abdul Rashid juga percaya faktor kedua SPR memilih tarikh pertengahan November — yang kebetulan berserentak dengan ramalan tempoh fasa aktif MTL — untuk PRU15 atas keyakinan ancaman banjir pada waktu itu masih minimum.

Hakikatnya, jika ramalan banjir besar sewaktu PRU15 menjadi realiti, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 di bawah Akta SPR memberi kuasa kepada SPR untuk menutup pusat mengundi terlibat banjir, sekali gus menangguhkan proses pengundian pada satu tempoh masa lain.

"Pemilihan tarikh lain untuk mengundi haruslah tidak melebihi tempoh pembubaran Parlimen selama 60 hari dan sekiranya perkara sebegini berlaku, keputusan PRU15 secara keseluruhan juga perlu ditangguhkan.

"Soal keselamatan dan kerahsiaan undi PRU yang disimpan SPR, para pengundi dan parti politik juga jangan risau kerana ia dijaga rapi di lokaliti-lokaliti khas yang terjamin kerahsiaannya,” ujar Abdul Rashid lagi.

Peluang keluar mengundi

Pengumuman SPR yang menetapkan dua tarikh penting iaitu hari penamaan calon pada 5 November dan hari pengundian pada Sabtu, pastinya dialu-alukan semua pihak.

Berbeza dengan PRU14 di mana hari mengundi ditetapkan pada Rabu, peluang undian ditetapkan pada Sabtu diharapkan dapat melonjakkan kadar peratusan keluar mengundi melebihi 84 peratus, sebagaimana PRU13 yang diadakan pada Ahad.

"Justeru, cabaran parti-parti politik kini adalah mencari jalan untuk membina momentum agar kadar peratusan keluar mengundi boleh dilonjakkan melebihi 80 peratus dengan lebih ramai pengundi diberi kesedaran untuk berpartisipasi kelak.

"Prinsip 'kemudahan untuk mengundi' perlu dijadikan asas oleh kerajaan, SPR dan parti politik dalam membantu proses keluar mengundi lebih lancar.

"Bagi sekolah-sekolah yang terlalu sesak dengan jalan masuk kurang sesuai atau terdedah ancaman banjir, penyediaan kemudahan pusat mengundi tambahan perlu diperluaskan,” kata Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat pula, beliau menyuarakan rasa hampa apabila SPR tidak mengemukakan sebarang prosedur operasi standard (SOP) sekiranya pengundi terperangkap di pusat pemindahan sementara mangsa banjir sewaktu PRU15 berlangsung.

"SPR dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) perlu bertanggungjawab membuat persediaan dan memaklumkan pelan kontingensi mereka kepada rakyat sekiranya pusat pengundian dan rumah pengundi dilanda banjir.

"Saya menyeru kerajaan negeri memastikan wakil SPR dimasukkan ke dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memandangkan mereka tidak boleh mengandaikan banjir besar pastinya tidak akan melumpuhkan persediaan PRU di negeri mereka kelak,” tegas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca