SHAH ALAM - Penetapan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti atau tempoh kira-kira sebulan lagi, memberi ruang yang lebih kondusif kepada pengundi di luar merancang balik mengundi di kawasan masing-masing.
Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran berkata, keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memilih hari Sabtu minggu kedua bulan depan itu juga dibuat dengan mengambil kira beberapa tarikh sensitif seperti sambutan Deepavali.
"Seperti yang saya jangka, 19 November adalah pilihan yang ada pada SPR sebelum tibanya musim tengkujuh seperti yang diramal.
"Tempoh yang agak panjang ini juga secara tidak langsung memberi kelebihan kepada parti bertanding membuat perancangan lebih rapi untuk kempen masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau mengulas mengenai pengumuman tarikh PRU15 serta kesediaan semua pihak untuk menghadapi pilihan raya yang disifatkan paling mencabar.
Menyentuh mengenai tempoh kempen yang ditetapkan 14 hari, Manimaran berkata, ia rasional dengan mengambil kira kebimbangan bencana banjir, susulan Malaysia diramal memasuki Monsun Timur Laut bermula pertengahan bulan November ini.
Jelasnya, tempoh kempen yang lebih panjang berbanding PRU4 lalu yang hanya 11 hari juga memberi kelebihan kepada parti-parti bertanding.
"Tindakan SPR kali ini lebih rasional dan memiliki ‘budi bicara’ yang lebih baik apabila menetapkan tarikh-tarikh penting bagi memastikan peratusan keluar mengundi lebih tinggi.
"Saya menyeru kepada kira-kira 21 juta pengundi untuk keluar beramai-ramai melaksanakan tanggungjawab apabila tiba masanya nanti kerana ia hari raya bagi kita dan ini (kos pilihan raya) merupakan duit kita. Jadi, jangan sia-siakan untuk pilih pemimpin yang terbaik,” katanya.
Ditanya kebimbangan berlakunya banjir besar semasa PRU15, Manimaran berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh membuat pengisytiharan darurat untuk menangguhkan pengundian.
"SPR dah tetapkan tarikh (PRU15) tetapi bila ada bencana, boleh diisytiharkan darurat untuk tangguhkan pilihan raya seperti di dua Parlimen iaitu Gerik dan Batu Sapi serta satu Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bugaya sebelum ini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca