BAGI menghapuskan budaya memberi dan menerima rasuah selain penyalahgunaan kuasa dalam ekosistem negara, kempen #RasuahBusters digerakkan dengan didukung gelombang gerakan rakyat.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), #RasuahBusters diperkuatkan lagi dengan kempen ‘Satu Jari Bebas Rasuah’ untuk menyampaikan mesej kepada rakyat agar menghargai nilai setiap satu undi dan betapa pentingnya memilih pemimpin yang tidak terjebak dengan korupsi.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin atau lebih dikenali sebagai Yatt dalam wawancara khas menyatakan kebimbangannya tentang pemahaman ‘Asal Melayu Islam, korup pun tak apa’ yang disifatkan mementingkan diri dan boleh membina satu ekosistem baharu yang membahayakan.
Banyak lagi yang dikongsikannya dalam program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar termasuk kekeliruan sesetengah pihak antara tanggungjawab dan rasa terhutang budi yang boleh menyebabkan seseorang terjerumus dalam rasuah.
JOHAN: Rasuah Busters telah melancarkan kempen #SatuJari menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Apa signifikan daripada peristiwa itu?
YATT: Kempen #SatuJari memang sangat signifikan. Pertamanya, kita lihat trend penurunan pengundi yang keluar mengundi. Jika dilihat daripada PRU14, kemudian diikuti dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, trendnya menurun. Jika dahulu sekitar 83 peratus keluar mengundi pada 2018, ketika di Melaka ia hanya 65 peratus dan di Johor 54.9 peratus. Adakah kita nak berdiam diri? Itu belum lagi kita pergi secara khusus, siapa yang tak keluar dan kenapa. Tapi, #SatuJari ini amat penting, tambahan pula Undi18 telah diluluskan. Kita perlu memberi penekanan bahawa pentingnya nilai #SatuJari itu dimanifestasikan dalam PRU15 ini.
JOHAN: Apa maksud lambang atau imej #SatuJari yang digunakan itu?
YATT: #SatuJari yang kita nak tekankan adalah nilai yang cukup berharga kepada rakyat Malaysia. Mungkin tak semua faham tentang demokrasi, tetapi #SatuJari itu adalah peluang untuk kita memulihkan kembali negara, mengangkat kembali nilai-nilai yang mungkin kita sudah hilang. #SatuJari adalah peluang besar untuk kita ubah landskap politik, ekonomi dan sosial itu sendiri.
JOHAN: Adakah ia bermaksud sasaran itu kepada yang baru pertama kali mengundi, khususnya mereka yang berusia 18 tahun yang secara automatik menjadi pengundi?
YATT: Sasaran kita adalah semua. Kalau selama ini Rasuah Busters dikenali sebagai gerakan rakyat kepada rakyat, saya katakan itu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, demografi, profesional, tidak profesional, ‘urban’ atau di kawasan kampung dan sebagainya.
JOHAN: Rasuah Busters menetapkan enam kriteria untuk memilih calon dalam PRU15 kali ini. Secara jujur, adakah Yatt merasakan ada yang memenuhi kriteria itu?
YATT: Saya yakin ada. Contohnya, macam Ratu Cantik. Adakah yang berada di pentas Miss Universe itu yang paling cantik? Tapi disebabkan mereka berada di pentas, mereka dilihat. Begitu juga dengan enam kriteria yang ditetapkan Rasuah Busters, itu adalah sebagai garis panduan. Ia boleh jadi lebih daripada itu. Tapi, ada calonnya dan menjadi tanggungjawab kita untuk mencari dan memastikan calon sedemikian, kita letakkan dalam pentas politik kepimpinan negara.
JOHAN: Sasaran Rasuah Busters adalah dalam memastikan isu bebas rasuah ini menjadi agenda atau naratif penting dalam PRU15. Mungkin ia menjadi sebahagian daripada manifesto parti- parti terlibat?
YATT: Kita tiada pilihan, ia perlu menjadi manifesto dalam keadaan kita terpaksa berdepan dengan dunia pasca pandemik yang memerlukan integriti diletakkan dalam dasar paling utama untuk mengembalikan keutuhan ekonomi dan kestabilan politik tentunya. Walaupun faktor dan aspek-aspek lain itu adalah penting, tapi kita kena lihat. Kalau kita nak bina bangunan yang besar sekalipun, tiba-tiba dasar itu runtuh dan asas yang tak kuat, kita tak boleh ke mana-mana. Wajib bagi saya parti politik menjadikan anti rasuah dan tadbir urus yang berintegriti sebagai manifesto dan membuktikannya kepada rakyat.
JOHAN: Apa sebenarnya motif di belakang Rasuah Busters?
YATT: Rasuah Busters sebagai gerakan rakyat, kita bergerak secara pragmatik dan praktikal daripada akar umbi hingga atas. Kita juga bersama dengan ahli-ahli Parlimen pembuat dasar dan sebagainya. Matlamat jangka pendek yang kita aturkan, sederhana dan panjang tetapi yang lebih penting adalah kita ingin mengembalikan sistem nilai, mengembalikan nilai moral karakter bangsa yang dimusnahkan kerana ketamakan rasuah, kedudukan dan menyalahgunakan kuasa.
JOHAN: Bukankah itu harga yang harus kita bayar dalam proses negara untuk menjadi lebih maju, berjaya dan membangun?
YATT: Tentunya dalam melihat fizikal negara kita, intelektual, kemahiran dan sebagainya, integriti merupakan satu nilai yang lahir daripada sudut ‘spiritual’ yang kita tak boleh abaikan. Kalau tak, ia menjadi tak seimbang. Dalam proses pembangunan, segala harga yang kita letakkan seharusnya seimbang dengan nilai sebagaimana Rukun Negara.
JOHAN: Adakah rakyat peduli dengan kempen antirasuah dalam keadaan mereka hendak bertahan untuk memastikan ada makanan di atas meja dan menghadapi segala macam masalah?
YATT: Pada peringkat awal, ia adalah satu perkara yang sangat mencabar untuk Rasuah Busters mengangkat isu ketirisan. Sudah tentu penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis ada tetapi kerana isu korupsi dan integriti adalah isu budaya yang sangat sistemik, kita perlu buat bersama-sama. Penguat kuasa buat tugas mereka dan rakyat kena faham budaya ini daripada semua peringkat.
JOHAN: Adakah ini bukti kegagalan penguatkuasaan?
YATT: Tidak. Saya boleh katakan ini adalah masa untuk kita bersama-sama melakukan sesuatu. Kita kena faham, musibah rasuah ini berlaku ada hikmah juga sehingga wujudnya Rasuah Busters dan kebanyakan rakyat sudah mula celik untuk menyelamatkan masa depan mereka.
JOHAN: Bukankah itu sebahagian daripada sistem nilai. Kita menerima habuan apabila pemimpin datang ke kampung, orang mendapat sesuatu apabila melakukan sesuatu. Maka pada akhirnya, menerima itu menjadi satu budaya?
YATT: Saya berkeyakinan sebenarnya orang Melayu terkenal dengan lemah lembutnya, kasihannya dan kemudian dia rasa terhutang budi. Itu adalah sifat semula jadi orang Melayu yang sangat halus jiwanya. Namun, di situ ada garis halus yang menyebabkan kekeliruan. Rasuah Busters berperanan dan memberikan kesedaran bahawa ‘niat tidak menghalalkan cara’. Kita perlu memahamkan bahawa tanggungjawab itu adalah berbeza dengan nak membalas budi. Salah tetap salah. Itu yang kita kena teliti, sikap baik hati itu. Baik hati dan sebagainya bukan ada hadnya, tetapi kita perlu tahu yang mana perkara yang boleh menyebabkan kita boleh terjerumus dalam lembah rasuah itu sendiri.
JOHAN: Kita banyak menyebut tentang rasuah dan kos rasuah. Misalnya kita katakan kos skandal 1MDB bersamaan dengan kos mentadbir negeri maju seperti Selangor selama 18 tahun, rakyat mungkin faham. Adakah kita perlu menjadi lebih dramatik dalam memaklumkan kos rasuah kepada rakyat?
YATT: Saya rasa kita kena ikhlas menyampaikan kepada rakyat kesan daripada kehilangan wang sebanyak itu akan memberikan kesan kepada kehidupan mereka secara keseluruhannya. Kalau kita lakukannya secara dramatik, mungkin ada yang tak terkesan juga. Jadi, kita kena beritahu rakyat tentang realiti yang berlaku. Apa yang kita nak sampaikan adalah kesan daripadanya menyebabkan seluruh ekosistem akan terkena, baik sama ada kita orang miskin atau kaya, jurang itu akan jadi lebih besar.
JOHAN: Yatt rasa rakyat tak faham semua itu?
YATT: Pada peringkat awal, definisi rasuah itu memang tidak begitu jelas kerana ia banyak berlaku di peringkat atas. Tetapi setelah kita memberikan kesedaran, mereka lihat bukti-bukti yang berlaku, kesan-kesan ketirisan itu rakyat semakin faham dan tahu apa yang perlu dibuat. Tapi, kesan sebelum ini mungkin tidak ketara sebagaimana pasca pandemik. Tapi, kesan yang kita lihat daripada apa yang hilang dan ke mana negara ini boleh jadi, itu rakyat semakin faham. Kita di Rasuah Busters sendiri, turun padang dan bersemuka dengan rakan-rakan gabungan di seluruh negara untuk memberikan kesedaran dalam kelompok masing-masing supaya kita meningkatkan integriti walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Ini termasuk di institusi pengajian tinggi (IPT), kita lihat gerakan itu berlaku. Secara jujurnya ketika bersama dengan pelajar, isu rasuah ini agak asing kerana mereka tidak pernah berdepan. Tapi, saya yakin ketika masanya sampai, mereka akan ingat kita pernah sampaikan bahawa ini adalah satu perangkap yang perlu mereka berhati-hati.
JOHAN: Apakah Yatt rasa implikasi daripada gerakan Rasuah Busters ini dapat dirasakan secara berkesan dalam PRU15?
YATT: Insya-ALLAH. Saya yakin dan sebelum pilihan raya pun sudah kita rasakan.
JOHAN: Apakah masalah yang sering dihadapi sewaktu turun padang dengan konvoi berjumpa dengan rakyat? Apa soalan pertama yang mereka tanya?
YATT: Soalan popular yang sering kali ditanya adalah ada harapankah kita nak pulihkan negara ini? Maksudnya, mereka sedar tapi sejauh mana kita boleh melakukan perubahan dengan Rasuah Busters. Sebab itu kita gunakan segala jentera yang ada untuk membawa mesej ini. Kita jumpa mungkin 10,000 orang atau mungkin lebih lagi. Tapi, kita juga gunakan media sosial, rakan-rakan gabungan yang bekerjasama dan mempunyai misi sama dalam menggegarkan negara ini dengan mesej-mesej anti korupsi. Sekalipun tidak menggunakan perkataan Rasuah Busters, tetapi kesedaran anti korupsi, semua rasa dan ini penting untuk pilihan raya.
JOHAN: Apakah hala tuju pasukan Rasuah Busters. Akan menjadi kumpulan advokasi dan pemantau pada waktu yang sama?
YATT: Kita kekal sebagai sebuah gerakan rakyat kepada rakyat untuk membawa kembali masyarakat memahami tentang implikasi sekiranya nilai moral karakter bangsa ini tidak dikedepankan. Kalau ia diabaikan, korupsi akan membuka kepada kerosakan lain yang lebih besar seperti pembunuhan misalnya.
JOHAN: Ada yang berpandangan, asal Melayu Islam, korup pun tak apa?
YATT: Itu sangatlah tidak wajar dan saya yakin ramai bersetuju dengan saya. Kita tak boleh mendasarkan bahawa asalkan dia sesuatu agama, asalkan ketua kita, ia menjadi dasar pemilihan kita kerana sebagai rakyat Malaysia atau individu, kita tak boleh mementingkan diri sendiri. Pandangan sebegitu rupa adalah pandangan self centered. Kita tak boleh menghalalkan versi-versi sebegitu untuk membina satu ekosistem baharu untuk negara ini. Itu membahayakan.
JOHAN: Pada asalnya, semua orang yang mempunyai masalah rasuah dan salah guna kuasa bermula dengan enam kriteria itu (bersih daripada rasuah, bertanggungjawab, sedia membela nasib rakyat, berintegriti, jujur dan bijak) di peringkat permulaan tetapi sistem, nilai, keadaan dan desakan yang mengubah mereka. Apa komen Rasuah Busters dalam soal ini?
YATT: Gerak kerja kita dalam mengembalikan nilai moral karakter bangsa perlu lengkap. Ketika rakyat bergerak untuk mengubah budaya dan mula memahami di peringkat atas, reformasi polisi perlu berlaku kerana sistem itu dibentuk berdasarkan polisi. Sebelum pembubaran (Parlimen), Rasuah Busters adalah sekretariat kepada Kumpulan Parlimen Semua Parti (APPG) yang melibatkan semua parti politik di Parlimen. Kita mengetepikan jurang perbezaan politik semata-mata untuk melihat kepada integriti, tadbir urus yang baik dan antirasuah. Polisi tersebutlah yang kita harapkan dapat membentuk satu sistem yang lebih telus dan tulus untuk kita bergerak. Inilah perubahan-perubahan yang kita bawakan supaya sistem itu dapat kembali berada di atas landasan. Kita bukan minta perubahan kepada ahli Parlimen dan ahli politik sahaja, tetapi rakyat dan rakan gabungan Rasuah Busters juga harusBbergabung membantu memberi input supaya setiap daripada ahli Parlimen dapat menjalankan tugas dengan efisien.
JOHAN: Apa yang Rasuah Busters boleh lakukan untuk mengubah atau memastikan sistem kita tidak akan terus ‘goblok’ dan berdepan dengan situasi yang tidak dapat diselamatkan lagi?
YATT: Kita perlu menggembleng segenap tenaga daripada semua sudut. Kalau sebelum ini negara sudah fokus kepada pembangunan fizikal, kita ada bangunan pencakar langit yang hebat, intelektual yang sangat hebat dan ada cukup program untuk mengetengahkan negara di mata dunia. Tetapi kita tak seimbangkan daripada sudut kekuatan dalaman, daya tahan dalam membawa integriti untuk memegang fizikal kita yang sudah kuat untuk menunjukkan kita seorang bijak pandai yang mempunyai nilai dan peradaban yang cukup tinggi. Kita ramai golongan intelek, bijak pandai tetapi mungkin kekurangan tertentu menyebabkan kita tidak begitu seimbang. Inilah masanya solidariti seluruh rakyat Malaysia bergabung untuk kita sama-sama melihat apa yang perlu kita lakukan untuk menyeimbangkan balik negara ini.
JOHAN: Adakah Yatt percaya ada political will untuk melakukan ini semua?
YATT: Kalau sekadar Rasuah Busters tapi tanpa dukungan daripada pemerintah, tentu kita menghadapi masalah. Ya, saya setuju Tan Sri dan saya katakan wujudnya ruang dan peluang seperti kumpulan rentas parti Parlimen Malaysia, itu adalah contoh di mana adanya ruang untuk rakyat diberi peluang melakukan bersama-sama yang terbaik bersama ahli Parlimen. Tapi syaratnya adalah mempunyai kesungguhan dan meletakkan ego ke tepi. Kita ada Institut Integriti Malaysia dan seumpamanya. Tapi, sejauh mana dapat memainkan peranan yang berkesan kerana ia bergantung kepada kemahuan politik dan pergantungan kepada pemimpin politik?
JOHAN: Dalam gabungan Rasuah Busters sendiri, mana bahagian yang sangat kritikal untuk membawa satu gerakan yang berterusan?
YATT: Kita ada enam kempen antaranya ‘Belia Malaysia Tanpa Rasuah’, ‘Bisnes Malaysia Tanpa Rasuah’ dan ‘Pilihan Raya Malaysia Tanpa Rasuah’ yang digerakkan oleh kluster dalam Rasuah Busters itu sendiri. Sebagai contoh dalam enam tuntutan politik Malaysia Tanpa Rasuah, kita bersama rakan gabungan seperti Transparency International Malaysia (TIM), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) serta beberapa rakan lain. Begitu juga dalam kumpulan belia, kita bersama dengan Majlis Belia Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta Pertubuhan Ikram Malaysia dan banyak lagi untuk kita bawa konsep bagaimana pendidikan itu perlu perbaiki.
Jadi, semua rakan-rakan gabungan ini bergerak ke arah satu hala tuju untuk membantu memperbaiki sistem. Saya yakin, pihak-pihak yang Tan Sri sebutkan tadi dan badan-badan berkenaan mengambil kira semuanya. Banyak pihak yang bersama bergerak memberikan input kepada Rasuah Busters melalui jemputan dalam persidangan dan sebagainya untuk kita lihat, bagaimana risiko rasuah berlaku.
Jadi, daripada maklumat yang diberikan daripada hasil-hasil kajian universiti berkaitan, kami bawa untuk dibincangkan dan kami proses. Kemudian, kami bawa kembali kepada ahli Parlimen dan di sana, kita lihat apa polisi yang boleh diperbaiki.
Kesimpulannya untuk peringkat penggubalan polisi juga, kita lakukan dengan rakan gabungan Rasuah Busters.
JOHAN: Macam mana visibility (keterlihatan) Rasuah Busters dalam 222 tempat yang akan dipertandingkan dalam PRU15?
YATT: Satunya, adalah visibility fizikal dan satu lagi adalah visibility dengan cara membawa segala agenda reformasi di dalam manifesto mereka. Di situlah Rasuah Busters dan segala apa yang sedang kita usahakan akan terlihat di kalangan 222 bakal ahli Parlimen. Visibility secara fizikal kita akan teruskan baik ada atau tidak pilihan raya. Rasuah Busters tahu masalah korupsi akan terus berlaku sampai bila-bila. Jadi, pilihan raya atau tidak, kita akan terus visible cuma dalam tempoh ini, #SatuJari itu kita bawakan supaya boleh tingkatkan kesedaran mereka tentang memilih calon yang betul.
JOHAN: Harapan terakhir Yatt?
YATT: Harapan saya gerakan ini disambut semua pihak. Kita sudah tidak ada pilihan, negara ini perlu dipulihkan sepenuhnya. Saya tahu, ramai dalam kalangan kita rasakan isu ini sangat rumit, seolah-olah tiada harapan. Tetapi tentunya dalam perjuangan itu, amat sunyi kerana bukan semua bersama kita tapi apabila kita yakin benar, lakukanlah. Sebagai seorang ayah misalnya, didiklah anak-anak kita kembali kepada kejujuran dan amanah. Jangan mulakan sebarang bibit-bibit rasuah di peringkat keluarga. Sebab itu kita ada kempen 'Mak Kata Jangan'. Di peringkat sekolah pula, saya berharap sekolah terapkan juga, tidak semestinya kita masukkan dalam sistem yang formal. Apa yang dididik dalam Rasuah Busters ini, dalam pendidikan tidak formal juga kita boleh lakukan di universiti. Jadi, sesuatu perubahan yang kita nak bawa ini, kita perlu mulakan. Itu sahaja. Ia bukan nak mengubah dunia, nak ubah diri kita sendiri sahaja.
Klik di sini untuk terus membaca