SATU Malaysia heboh memperkatakan kedatangan seorang lelaki dari rantau Arab yang dikatakan keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW.
Perdebatan bermula selepas program Maulidur Rasul yang sepatutnya menampilkan individu tersebut telah dibatalkan di beberapa negeri.
Pihak berkuasa agama Kelantan, Kedah dan Selangor tidak memberi kelulusan tauliah. Alasannya kerana lewat memohon, selain latar belakang individu berkenaan diragui.
Penganjur pula mendakwa lelaki itu mempunyai perakuan nasab daripada kerajaan Maghribi. Di negara itu, saja-saja mengaku nasab Nabi Muhammad adalah satu kesalahan berat.
Apa yang menjadi perdebatan bukan semata-mata keturunannya tetapi yang lebih menghairankan ialah ketaasuban sesetengah orang di Malaysia menyanjungnya.
Dalam satu video yang tular di media sosial, aksi seseorang mengupas kulit udang di dalam pinggan untuk lelaki itu makan turut menjadi perdebatan netizen. Mereka pelik kenapa sampai ke tahap itu layanannya.
Namun, ada juga netizen yang mengatakan tindakan tersebut adalah wajar kerana ramai sahaja yang melakukan sebegitu kepada tok guru atau pasangan mereka sebagai tanda hormat dan sayang.
Seorang pendakwah terkenal pula sempat memuat naik gambar beliau dengan lelaki tersebut yang secara kebetulan bertemu semasa mendarat di sebuah lapangan terbang beberapa hari lalu.
"Orang soleh dan penuh dengan adab. Merendah diri orangnya. Saya minta beliau mendoakan saya. Beliau minta saya doakannya. Kami saling mendoakan,” ungkap pendakwah itu di Facebook.
Dalam isu ini, rakyat Malaysia nampaknya berbeza pendapat antara ragu dan bersangka baik.
Mengimbau masa lalu, cerita orang Melayu taasub dengan orang Arab bukan baharu. Ini kerana orang Arablah yang membawa Islam ke rantau ini. Tiap-tiap tahun pula mereka berjumpa orang Arab semasa menunaikan haji di Makkah.
Namun, lelaki Arab tadi bukanlah satu-satunya keturunan Nabi. Di Malaysia sendiri ada lebih ramai lagi.
Mereka dipanggil habib atau sayid. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, sayid, syed atau syarifah adalah gelaran orang yang berketurunan daripada Nabi Muhammad. Secara nasab, mereka mulia dan wajar dimuliakan.
Apatah lagi ramai ulama besar dan terkenal lahir daripada jalur keturunan ini. Mereka menghafal al-Quran dan hadis serta berjasa kepada dunia Islam.
Namun begitu, mereka juga manusia biasa yang memiliki kelebihan dan kekurangan. Hanya Nabi Muhammad yang dijamin terpelihara daripada perbuatan dosa.
Sekali lagi, bukan semua habib atau sayid ini bergelar ulama, ada yang menjadi taikun perniagaan, petani, nelayan bahkan artis dan ahli politik.
Tentu sahaja ada perangai buruk mereka yang tidak boleh diteladani. Kurang ilmu, teruk akhlak, gila glamor dan macam-macam lagi.
Malah, seorang penceramah selebriti keturunan syed pernah menegur secara terbuka artis daripada nasab sama kerana memuat naik gambar aksi mencolok mata di media sosial.
Kata penceramah itu, dia menegur kerana tak mahu berjuta-juta pengikut di Instagram terikut-ikut dengan gaya hidup pelakon tersebut.
"Biarlah puan naik dan popular dengan disulami adab dan akhlak yang terpuji. Ingatlah, kita daripada keturunan dan nasab yang mulia,” tulisnya.
Kesimpulannya, jangan berlebih-lebihan apabila memuji atau merendah-rendahkan nasab seseorang.
Dalam dunia yang penuh scammer, dakwaan individu mengenai keturunannya juga wajar diteliti. Contohnya, sudah banyak kali orang mengaku kerabat diraja untuk menipu.
Begitupun, berlebih-lebihan dalam mengagungkan seseorang termasuk orang soleh sekali pun dilarang dalam Islam. Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim: "Janganlah kalian melampaui batas dalam menyanjungku, sebagaimana kaum Nasrani melampaui batas dalam menyanjung Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku adalah seorang hamba. Oleh itu, katakanlah (bahawa aku adalah) hamba ALLAH dan Rasul-Nya.”
Kalau ikutkan sejarah, semua manusia adalah keturunan nabi iaitu Nabi Adam alaihissalam. Tetapi bak kata seorang kawan, tak guna kita keturunan Nabi kalau perintah agama kita tolak tepi.
* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca