DUBAI sering jadi tempat tumpuan dan kejutan kebelakangan ini. Minggu lalu, kejutan berlaku apabila syarikat China, Xpeng AeroHT menerbangkan kereta X2 seberat 560 kilogram dengan dua muatan selama 35 minit. Kereta terbang milik syarikat... Klik di sini untuk terus membaca

DUBAI sering jadi tempat tumpuan dan kejutan kebelakangan ini. Minggu lalu, kejutan berlaku apabila syarikat China, Xpeng AeroHT menerbangkan kereta X2 seberat 560 kilogram dengan dua muatan selama 35 minit.

Kereta terbang milik syarikat pembuat kereta terbang elektrik terbesar di Asia itu meluncur di udara dengan kelajuan 130 kilometer sejam (km/j).

Penulis sentiasa berwaspada apabila membuat ulasan tentang kereta terbang. Pada 2021, Ketua Pegawai Eksekutif Hyundai Motor Europe GmbH (Hyundai Eropah), Michael Cole membayangkan kereta terbang akan jadi kenyataan pada 2030.

Syarikat itu telah mempamerkan konsep kereta terbang yang dibangunkan bersama firma perkongsian perjalanan Uber di Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas pada Januari 2020.

Di Malaysia, pengumuman tentang kereta terbang dibuat pada Oktober 2018. Vector dijadualkan membuat penerbangan sulungnya seawal Oktober 2020. Ia telah dipamerkan kepada masyarakat dunia buat pertama kali pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019.

Namun, sehingga kini penulis masih tertanya-tanya adakah kereta terbang sekadar angan-angan kosong sahaja?

Begitu pun, jurutera Dubai percaya kereta terbang boleh dikomersialkan. Syarikat rakan kongsi Dubai membuktikan semua butiran yang perlu dilaksanakan sebelum idea itu jadi kenyataan.

Berdasarkan rekod, kereta terbang elektrik pertama diterbangkan pada Oktober 2021 oleh syarikat Jetson Aero, berpangkalan di Poland.

Jetson dipercayai memiliki fasiliti kilang pengeluaran kereta terbang elektrik dan berjaya menurunkan harga pasaran sehingga AS$22,000.00 (RM104,000) seunit dengan keupayaan berlepas dan mendarat secara menegak atau vertical take-off and landing (eVTOL).

Penulis percaya, Malaysia sebenarnya perlu memajukan industri kereta elektrik atau Electric Vehicles (EV) terlebih dahulu. Kebanyakan negara maju, khususnya di Eropah kini mementingkan ‘persekitaran hijau’.

EV kini jadi pilihan dengan konsep emobiliti mampan (sustainable emobility). Kebanyakan sektor awam dan swasta di Eropah juga telah menjurus ke arah EV. The Indian Express minggu lalu turut menyebut sebahagian besar EV di India kini ialah kenderaan dua roda iaitu skuter.

Syarikat pengeluar kenderaan dua roda berlumba-lumba mengeluarkan motosikal elektrik atau Electric Motorbike (EM) setanding dengan enjin berkuasa petrol.

Basikal elektrik atau Electric Bicycle (EB) turut jadi pilihan sekarang.

Jadi, apakah bakal berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang? Pada peringkat global, industri automotif adalah berkaitan kenderaan elektrik. Pelaburan dalam teknologi EV menyaksikan peningkatan secara eksponen.

Disebabkan EV mempunyai lebih bahagian mekanisme bergerak, haus dan lusuh (wear and tear), komponen penggantian berkala dan bahagian lain kenderaan EV sangat rendah. Kos kuasa elektrik sebagai pengganti bahan api lebih efektif berbanding bahan api seperti petrol, gas asli dan diesel.

Sebenarnya senario itu telah disebut dalam surah Yasin ayat [36:42]. ALLAH mendedahkan kepentingan kenderaan untuk kegunaan manusia yang maksudnya: "Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.”

Dipercayai kereta terbang ciptaan Xpeng AeroHT telah meluncur di udara lebih 1,500 kali. Xpeng AeroHT mampu mengintegrasikan sistem kenderaan pintar dan penerbangan moden bagi menghasilkan kereta terbang elektrik pintar (intelligent electric flying car) serta paling selamat kepada pengguna individu.

Penulis berpendapat projek kereta terbang banyak melibatkan isu kawal selia. Contohnya, jumlah ujian kebolehpercayaan dan keselamatan serius diperlukan sebelum mana-mana pesawat termasuk kereta terbang diberi sijil kelayakan udara.

Masalah berkaitan Laporan Pembacaan Protokol Penerbangan atau Light Protocol Reading Report (LPRR) bagi eVTOL juga boleh memeningkan kepala.

Justeru, penulis mencadangkan kerajaan Malaysia agar memberi tumpuan serius kepada kenderaan elektrik secara berperingkat sebelum meneroka dalam sektor kereta terbang elektrik.

Kesimpulannya, biarlah kita lakukan sesuatu berdasarkan trend terkini di dunia iaitu EV, bukannya kereta terbang!

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca