SEORANG pelarian Rohingya, Noor Kamal mendapat simpati di Bangladesh apabila dia melarikan diri daripada askar-askar yang mengamuk di Myanmar namun lima tahun kemudian, layanan tidak mesra dihadapinya kini membuatkan dia terfikir untuk... Klik di sini untuk terus membaca

SEORANG pelarian Rohingya, Noor Kamal mendapat simpati di Bangladesh apabila dia melarikan diri daripada askar-askar yang mengamuk di Myanmar namun lima tahun kemudian, layanan tidak mesra dihadapinya kini membuatkan dia terfikir untuk pulang semula ke rumah di negara asal walaupun situasinya masih lagi dalam keadaan bahaya.

Banyak telah berubah sejak dia dan lebih 700,000 anggota minoriti Islam tanpa kerakyatan melarikan diri dari Myanmar manakala Kamal ialah mangsa yang terselamat daripada tindakan keras pihak tentera tetapi kini tertakluk kepada siasatan pembunuhan beramai-ramai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketika itu, beribu-ribu warga Bangladesh, yang marah dengan keganasan anti-Islam bertindak mengedarkan makanan dan ubat-ubatan kepada para pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar secara tiba-tiba ke negara itu.

Bagaimanapun, sikap sebahagian penduduk Bangladesh telah berubah selepas usaha bagi membawa pulang mereka menemui hasil yang sia-sia selama bertahun-tahun dengan pihak media dan ahli-ahli politik kerap mengecam pelarian Rohingya sebagai pengedar dadah serta menimbulkan ancaman keganasan.

"Terdapat begitu banyak kebencian dalam kalangan penduduk tempatan dan akhbar di sini sehingga saya bimbang ia boleh mencetuskan keganasan pada bila-bila masa,” kata Kamal kepada AFP dari rumahnya di kem bantuan sempadan Bangladesh.

"Lebih baik kita balik ke rumah walaupun ia bermakna kita terpaksa berdepan dengan peluru. Jika kita mati, sekurang-kurangnya kita akan berkubur di tanah air kita," tambahnya lagi.

Bangladesh telah bergelut untuk menyokong populasi pelarian yang besar dan ia terdapat bantuan kewangan daripada badan pelarian PBB dan organisasi kemanusiaan lain namun Dhaka masih menghadapi cabaran pentadbiran besar dalam menganjurkan kem pelarian tersebut.

Bagaimanapun, rampasan kuasa tentera aman yang berlaku pada tahun lalu di Myanmar telah menjadikan prospek untuk membawa pulang para pelarian Rohingya pulang ke negara mereka dengan selamat menjadi semakin sukar.

BEBAN

Pada bulan lalu, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina berkata kepada Perhimpunan Agung PBB di New York, Amerika Syarikat (AS) bahawa kem Rohingya telah menjadi beban yang mendalam kepada ekonomi di negaranya selain menjadi ancaman kepada kestabilan politiknya.

"Mereka (pelarian Rohingya) memalukan Bangladesh. Mereka harus dihantar ke Myanmar dengan segera,” kata Ayasur Rahman iaitu jurucakap kumpulan masyarakat sivil tempatan yang berkempen menentang kehadiran Rohingya memberitahu AFP sambil menuduh para pelarian itu merampas pekerjaan penduduk negaranya selain mencuri pasport milik rakyat negaranya.

Pelarian Rohingya tidak disukai oleh penduduk Bangladesh. - Foto AFP

Pada bulan Ogos lalu, pada ulang tahun kelima tindakan keras tentera yang mencetuskan penghijrahan Rohingya dari Myanmar, sebuah portal berita dalam talian popular menyiarkan artikel pendapat yang bertanya: "Berapakah lama Bangladesh akan dihukum kerana kebajikannya?"

Satu lagi tajuk media tempatan di Bangladesh menyamakan kehadiran Rohingya sebagai 'barah'.

Gambaran media yang negatif tentang Rohingya telah menjadi begitu berleluasa sehingga menarik perhatian bekas Ketua Hak-Hak Asasi manusia PBB, Michelle Bachelet ketika melawat negara itu pada Ogos lepas sebagai salah satu tindakan terakhirnya di pejabat badan dunia tersebut.

"Saya sangat bimbang tentang meningkatkan retorik anti-Rohingya di Bangladesh, stereotaip dan kambing hitam Rohingya sebagai punca jenayah dan masalah lain," katanya ketika itu.

Pelarian-pelarian Rohingya yang lain mengaku bahawa keganasan dan aktiviti jenayah wujud dalam rangkaian di kem pelarian Kutupalong walaupun etnik tersebut sendiri menjadi mangsa utamanya.

Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA) iaitu sebuah kumpulan militan Islam dan pernah bertempur dengan tentera Myanmar pada masa lalu telah berusaha untuk menguasai kem itu malah membunuh pemimpin masyarakat sivil yang boleh mencabar kuasanya.

Kawasan Selatan Bangladesh juga merupakan tempat tumpuan untuk perdagangan methamphetamine serantau yang berasal dari Myanmar dan Rohingya sering direkrut sebagai penghantar dadah serta mengawal rangkaian pengedaran.

"Daripada sejuta orang, terdapat segelintir epal busuk tetapi itu tidak mewajarkan memanggil seluruh komuniti pelarian sebagai penjenayah. Sangat menyakitkan bagaimana kita digambarkan,” kata seorang pelarian Rohingya Abdul Mannan kepada AFP.

Secara paradoksnya, penduduk tempatan juga merungut tentang kos sara hidup yang semakin meningkat dan pekerjaan tidak formal yang diambil oleh buruh Rohingya yang gajinya lebih murah.

Terdapat kebimbangan yang meluas bahawa penduduk tempatan berisiko melebihi bilangan penduduk pelarian yang semakin meningkat.

"Belas kasihan yang ditunjukkan pada tahun 2017 dan tahun-tahun berikutnya telah berkurangan. Ia telah digantikan dengan retorik xenofobia," kata Ali Riaz iaitu seorang profesor sains politik di Universiti Negeri Illinois, Amerika Syarikat yang telah menulis secara meluas mengenai krisis Rohingya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca