SHAH ALAM - Peluang rakyat Malaysia mahu melihat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berdamai sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agak tipis, tapi tidak mustahil jika Presiden PKR itu, sanggup memaafkan dan melupakan apa yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri tersebut sebelum ini.
Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata, ini bukan pertama kali Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi mengeluarkan kenyataan mahu berbaik semula dengan Anwar dan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menewaskan BN, pada PRU15 nanti.
Bagaimanapun, Mazlan berkata, salam pendamaian dihulurkan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu tidak disambut oleh Anwar dan PH yang masih berdendam dengan tindakan Dr Mahathir meletakkan jawatan serta-merta sekali gus menyebabkan kejatuhan kerajaan, pada 23 Februari 2020.
"Kita sudah mendengar banyak kali kenyataan bahawa Dr Mahathir mahu berdamai dan menghulurkan tangan untuk bekerjasama semula dengan Anwar dan PH untuk menewaskan dan menyekat UMNO daripada menang PRU15 nanti.
"Bagaimanapun, bagi saya sukar untuk menjangkakan sama ada PH boleh bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) diketuai Dr Mahathir kerana banyak perkara telah berlaku semasa tempoh 22 bulan pentadbiran PH. Ini termasuklah Anwar perlu menunggu terlalu untuk peralihan kuasa, sebelum Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM sehingga tumbangnya kerajaan PH.
"Kejadian itu menyebabkan kebanyakan pemimpin PH menyalahkan Dr Mahathir dan melihat beliau sebagai seorang tidak berpegang kepada janji dibuat suatu ketika dulu. Malah, tindakan Dr Mahathir meletakkan jawatan ketika itu menyebabkan cita-cita Anwar mahu menjadi Perdana Menteri tidak kesampaian hingga hari ini.
"Jadi amat sukar untuk membayangkan bahawa Anwar sanggup memaafkan dan menyambut salam perdamaian dihulurkan oleh Dr Mahathir biarpun ia bukan sesuatu mustahil berlaku menjelang PRU15 ini," katanya kepada Sinar Premium.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai tindakan Dr Mahathir yang membayangkan sanggup berdamai dan bertemu Anwar, menjelang PRU15, pada bulan depan.
Malah, Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak kisah jika dengan tindakan itu, walaupun ada pihak menganggap dia menjilat semula ludah sendiri dan sanggup memulakan langkah itu seperti mana dibuatnya pada PRU14.
Dalam pada itu, Mazlan berkata, beliau percaya BN/UMNO akan tewas banyak kerusi jika semua parti pembangkang termasuk PH, PN, GTA dan parti lain bergabung membentuk satu jajaran politik baharu.
"Kalau Anwar boleh bekerjasama semula dengan Tun M, maka ia akan merintis kerjasama dengan parti lain seperti PH dan PN, sekali gus memberi ancaman besar kepada BN/UMNO.
"Malah, data menunjukkan jika undi PN, PH dan parti lain disatukan maka UMNO/BN akan tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, sebelum ini," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca