TARIKH pilihan raya sudah pun kita tahu. Maka, bersedialah untuk mengundi. Seeloknya kita mengkaji dahulu siapa hendak kita undi. Perlu buat analisis yang jitu terhadap calon dan parti supaya kita tidak tersalah pilih. Jika dalam kawasan... Klik di sini untuk terus membaca

TARIKH pilihan raya sudah pun kita tahu. Maka, bersedialah untuk mengundi. Seeloknya kita mengkaji dahulu siapa hendak kita undi.

Perlu buat analisis yang jitu terhadap calon dan parti supaya kita tidak tersalah pilih.

Jika dalam kawasan kita tidak ada calon yang menjadi pilihan, maka hendaklah kita memilih secara berhati-hati.

Paling penting, kredibiliti dari segi cakna kepada rakyat dan sifat amanahnya.

Tahun ini saya tidak tahu akan mengundi atau tidak. Saya perlu balik kampung untuk mengundi.

Kekangan kerja mungkin salah satu sebab saya tidak dapat mengundi. Pertamanya, perlu balik kampung yang mengambil masa lama.

Kepada mereka yang ada peluang untuk mengundi, eloklah bersedia pulang ke kampung.

Pilihan raya kali ini, anak pertama saya yang sudah berumur 18 tahun akan mengundi buat kali pertama.

Saya ada bertanya, di mana tempat mengundinya. Disebabkan alamat pada kad pengenalan di Pulau Pinang, maka tempat mengundinya di sana.

Sejak saya berpindah ke selatan dan anak saya pula di Kajang, katanya: "Tak mengundi rasanya abah.”

Cuti Deepavali pun tak balik katanya. "Nak buat assignment,” jelasnya.

Saya tidaklah memaksa dia untuk mengundi. Terpulanglah cuma anak-anak muda yang dapat peluang mengundi, eloklah rebut peluang itu demi masa depan dan pengalaman mereka juga.

Sempena musim mengundi, eloklah saya memberi petua atau tip untuk memilih calon dan parti terutama kepada anak muda yang baru pertama kali mengundi.

Bak kata pepatah Melayu lama, nibung bangsal bertaruk muda.

Yang pertama, anak muda perlu tahu siapa yang hendak diundi. Mereka hendaklah kenal dan ambil tahu calon di kawasan masing-masing.

Kalau boleh pastikan calon itu sentiasa mengambil berat tentang rakyat. Yang kedua, perlu dipastikan janji-janji mereka dahulu, adakah telah ditepati atau tidak.

Jika sebelum ini, hanya masa pilihan raya nampak muka, eloklah dilupakan sahaja. Bak kata pepatah, bila nampak kulitnya, tahulah isinya.

Janganlah memilih yang mukanya licin, ekor berkeledai pula. Ia sangat penting supaya kita tidak tersalah memilih mereka yang tidak amanah, hanya mementingkan kuasa dan ada tujuan tertentu sahaja.

Yang ketiga, janganlah memilih calon yang ada kes mahkamah. Walaupun kita tahu mereka tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, namun demi memilih wakil kita ini, hendaklah yang bersih dan suci daripada perkara tidak bersih.

Yang keempat, buat kajian latar belakang calon dan parti itu sendiri. Biasanya parti yang mempunyai pengalaman lama, tidak semestinya bagus jika masih ada masalah sebelum ini tidak dapat diselesaikan lagi.

Anak muda perlu pastikan tidak terlalu mengikut kehendak orang tua. Kadang-kadang mereka dipengaruhi oleh ibu bapa yang lebih cenderung kepada calon dan parti tertentu.

Paling penting, anak muda perlu ada pilihan dan pendirian sendiri. Jangan mudah terpengaruh dengan kawan-kawan. Pilihan hendaklah berdasarkan kepentingan rakyat bersama.

Kelima, jangan memilih calon yang mudah lupa. Bercakap berdegar-degar, walaupun ada kebaikan yang dibuat, tidak semestinya mereka berintegriti. Kebanyakan hanya untuk mengaburi mata rakyat sahaja.

Mereka sanggup menipu rakyat demi kuasa dan kekayaan harta benda. Selain itu, anak muda kalau boleh hendaklah memilih calon yang muda juga.

Sudah sampai masanya diberi peluang kepada orang muda untuk mencorakkan negara.

Orang tua biasanya sudah tidak bertenaga, walaupun masih berangan dan menyangka masih mempunyai akal fikiran yang baik.

Ramai yang tua mudah lupa dengan apa yang dijanjikan.

Mereka kadang-kadang macam kera kelaparan, masih tidak puas dengan yang dimilikinya.

Mereka juga pandai mengambil hati rakyat dan kemudian pada masa sama melakukan perkara tidak disukai rakyat.

Oleh itu, kepada anak muda, eloklah membaca panduan ringkas memilih calon ini dengan teliti supaya tidak menyesal dan tersalah memilih calon, bak kata pepatah, kayu buruk tiada bercendawan, lumut tumbuh.

Pilihlah calon yang bak kata pepatahnya, condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan dan bukannya dalam dua, tengah tiga.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca