SECARA prinsipnya, terdapat pelbagai perspektif berkaitan dengan memori yang indah. Justeru, kepelbagaian perspektif mendorong perbezaan memori berkenaan dalam kalangan individu. Tambahan pula, menerusi perbezaan latar belakang keluarga,... Klik di sini untuk terus membaca

SECARA prinsipnya, terdapat pelbagai perspektif berkaitan dengan memori yang indah.

Justeru, kepelbagaian perspektif mendorong perbezaan memori berkenaan dalam kalangan individu.

Tambahan pula, menerusi perbezaan latar belakang keluarga, sosiobudaya dan agama, menjarakkan lagi perbezaan tersebut.

Menurut perspektif psikologi, kajian terhadap impak memori indah atau memori yang positif telah banyak dilakukan oleh penyelidik.

Antaranya, kajian dilakukan University of Cambridge (2019) menerusi artikel ditulis oleh Markham Heid bertajuk The Power of Positive Memories, mendapati individu yang recall atau mengingati semula memori positif dapat membantu mengurangkan risiko seseorang mengalami masalah depression atau kemurungan.

Selain itu, dalam artikel sama menerusi kajian dilakukan oleh Robert Emmoms, seorang profesor psikologi di University of California mendapati bahawa usaha yang diambil seseorang individu untuk mengenang kembali memori indah sepanjang kehidupannya dapat meningkatkan lagi kesihatan mental dan kesejahteraan diri mereka.

Malah, terdapat beberapa kajian menyarankan agar kita melatih diri untuk mengingati semula memori yang indah kerana sangat membantu diri kita daripada tertekan, bimbang dan murung.

Sebetulnya, saya tidak terkecuali mempunyai banyak memori indah daripada pelbagai perspektif.

Pemergian arwah ibu mertua saya ke negara abadi tanggal 13 Oktober lalu benar-benar menggamit pelbagai memori indah bersamanya.

Yang jelas, memori indah tersebut memperteguhkan sanubari saya.

Sebelum beliau meninggal dunia, sewaktu dalam keadaan kritikal, saya pernah berkata kepada abang ipar saya: "Walaupun saya hanya seorang menantu, terdapat banyak memori indah sepanjang bersama dengannya. Sesungguhnya, saya sangat menghargai memori indah tersebut.”

Persoalannya, bagaimana memori indah dapat memperteguhkan sanubari?

Sewaktu isteri saya (anak bongsu ibu mertua) melahirkan anak sulung, sudah tentu saya begitu bersemangat untuk membantu isteri yang tidak larat kerana baru lepas bersalin.

Jadi, saya mengambil tilam tambahan dan tidur di sebelah isteri. Pada mulanya saya agak pelik, kenapalah ibu mertua nampak tidak senang duduk dan berjalan ke hulu ke hilir antara ruang tamu serta ke dapur.

Akhirnya, isteri saya berbisik kepada saya: "Tadi emak dah pesan supaya saya tidur di bilik berasingan kerana tidak elok suami tidur sebilik dengan isteri yang masih pantang.”

Dengan tersenyum sambil berasa malu kerana ‘gelojoh’ ingin membantu isteri, saya keluar dari bilik berkenaan dalam keadaan tersipu-sipu.

Saya juga masih ingat sewaktu saya membeli ikan air tawar yang sangat disukai olehnya, bukan setakat isi ikan dimasak asam pedas dengan sungguh lazat dan enak, malah sisik-sisik ikan turut digoreng olehnya.

Apabila saya bertanya: "Kenapa emak goreng sisik ikan yang patutnya dibuang sahaja.”

Beliau menjawab: "Ikan ini sedap dan mahal. Kita tidak boleh membazir, lagipun sisik ikan rasa sangat lemak apabila digoreng.”

Berdasarkan perkongsian yang sedikit daripada ribuan memori indah bersamanya, sesungguhnya saya telah banyak terdidik tentang hidup menerusi kebaikannya.

Sewajarnya kebaikan tersebut dibalas dengan sebaik-baiknya. Berkaitan hal itu, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang telah berbuat kebaikan kepada kamu, maka balaslah kebaikannya itu. Jika engkau tidak mendapati sesuatu yang dapat membalas kebaikannya itu, maka berdoalah untuknya hingga engkau menganggap bahawa engkau benar-benar membalas kebaikannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Hakikatnya, sepanjang 30 tahun saya bersama dengan beliau sebagai menantu, terlalu banyak memori indah dengannya.

Hanya titipan doa yang mampu saya lakukan sepanjang hayat agar benar-benar dapat membalas kebaikannya.

Balutilah memori indah dengan kemanisan, bukannya kepahitan.

* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca