PERDANA Menteri United Kingdon (UK), Liz Truss mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis iaitu hari yang ke-44 beliau memegang jawatan itu bagi menggantikan Boris Johnson yang bertindak meletakkan jawatan kerana pelbagai skandal... Klik di sini untuk terus membaca

PERDANA Menteri United Kingdon (UK), Liz Truss mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis iaitu hari yang ke-44 beliau memegang jawatan itu bagi menggantikan Boris Johnson yang bertindak meletakkan jawatan kerana pelbagai skandal memalukan dalam pentadbirannya.

Truss, 47, adalah bekas Setiausaha Luar UK dan mantan Setiausaha Perdagangan Antarabangsa ketika berada di bawah pentadbiran Johnson dan pernah memegang jawatan lain dalam kabinet semasa David Cameron serta Theresa May menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau yang merupakan Perdana Menteri paling singkat dalam tempoh 100 tahun terakhir di UK itu akan terus memegang jawatan itu sehingga seorang penggantinya dilantik secara rasmi melalui pemilihan ketua Parti Konservatif yang dijadualkan akan diadakan pada hujung bulan ini.

Berikutan itu, beliau memegang jawatan itu dalam tempoh tidak lebih daripada dua bulan.

Di UK, Ketua Parti Konservatif akan dilantik menjadi Perdana Menteri selepas parti tersebut memenangi pilihan raya umum dan situasi itu adalah sama seperti yang berlaku kepada Johnson apabila beliau mengumumkan peletakkan jawatan pada bulan Julai lalu.

Namun, Johnson, 58, yang memegang jawatan itu lebih tiga tahun masih memegang jawatan tersebut sehingga penggantinya diketahui selepas pemilihan parti berkenaan selesai dilakukan.

Dalam pemilihan Ketua Parti Konservatif dilakukan pada awal September lalu, Truss mengalahkan bekas Canselor Perbendaharaan, Rishi Sunak, 42, yang berketurunan India selepas beliau mendapat 81,326 undi manakala Sunak memperoleh 60,399 undi.

Truss yang merupakan lulusan Universiti Oxford, Britain menjadi Perdana Menteri selepas Johnson berdepan dengan pelbagai skandal memalukan antaranya ialah didenda kerana melanggar peraturan Covid-19 selepas menghadiri perhimpunan pada hari lahirnya pada Jun 2020.

Britain akan mendapat Perdana Menteri baharu tidak lama lagi. - Foto AFP

Johnson juga menghadapi isu satu siri acara sosial oleh kakitangan politik semasa pandemik itu, seorang anggota Parlimen mabuk dan melakukan perbuatan senonoh, inflansi tinggi dan kenaikan cukai ketika penduduk UK mengalami kesukaran hidup.

Ketika di akhir-akhir pentadbiran Johnson, Sunak dan Setiausaha Kesihatan ketika itu, Sajid Javid, 52, bertindak meletakkan jawatan dan mereka merupakan anggota kanan kabinetnya sekali gus memberikan tamparan hebat terhadap kepimpinannya.

Situasi yang hampir sama juga berlaku ketika Truss memegang jawatan Perdana Menteri apabila Setiausaha Dalam Negeri, Suella Braverman, 42, yang berketurunan India meletakkan jawatan pada Rabu lalu selepas tersebarnya berita bahawa beliau menggunakan e-mel peribadinya untuk menghantar dokumen rasmi kepada rakan sekerja sekali gus melanggar peraturan kabinet.

MEMECAT

Sebelum itu, Truss memecat Setiausaha Perbendaharaan, Kwasi Kwarteng, 47, pada 14 Oktober lalu selepas hanya berkhidmat selama 38 hari iaitu yang kedua paling singkat setelah Lanin Mackeod yang memegang jawatan itu selama sebulan meninggal dunia pada tahun 1970.

Kwarteng dipecat kerana memperkenalkan mini bajet bagi menjanjikan pemotongan cukai untuk semua rakyat termasuk golongan berpendapatan tinggi, mengalakkan pinjaman dilakukan secara besar-besaran dan harga tenaga dibekukan bertujuan untuk mengurangkan kos kehidupan tetapi ia menyebabkan berlakunya kekacauan pasaran.

Tindakan itu juga menyebabkan nilai mata pound sterling merosot dan hampir menyamai dolar Amerika Syarikat (AS).

Truss kemudian melantik bekas Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel, Jeremy Hunt, 55, bagi menggantikan Kwarteng dan beliau membuat pusingan 'U' dengan menarik semula hampir kesemua pemotongan cukai menyebabkan nilai pound kembali melonjak.

Sebelum mengumumkan peletakan jawatannya, beliau telah memohon maaf kerana mengancam kestabilan ekonomi UK selepas pada akhirnya terpaksa membatalkan pemotongan cukainya yang besar dan melaksanakan rancangan ekonomi radikalnya untuk menyekat UK daripada pertumbuhan yang tidak stabil selama bertahun-tahun.

Namun, Truss bukan satu-satunya Perdana Menteri UK yang berkhidmat dalam tempoh singkat kerana terdapat beberapa orang lagi pemegang jawatan itu mentadbir bagi jangka waktu yang pendek.

Dalam sejarah UK, Duke of Wellington hanya berkhidmat selama 22 hari semasa penggal kedua sebagai Perdana Menteri pada tahun 1834.

Pemimpin Parti Konservatif, Andrew Bonar Law adalah Perdana Menteri UK yang paling singkat berkhidmat pada abad ke-20 apabila beliau mentadbir salama 209 hari iaitu kurang daripada setahun pada tahun 1922 hingga 1923.

Ahli politik Parti Konservatif, Alec Douglas-Home menjadi Perdana Menteri pada Oktober 1963 selepas diminta oleh pendahulunya iaitu Perdana Menteri, Harold MacMillan yang sakit untuk menggantikan tempatnya.

Douglas-Home yang berasal dari keluarga bangsawan Scotland kemudian memimpin negara selama 363 hari sebelum Parti Konservatif kalah dalam pilihan raya umum pada Oktober 1964 kepada Parti Buruh pimpinan Harold Wilson.

Seorang lagi ahli politik daripada Parti Konservatif, Anthony Eden menjadi Perdana Menteri selama setahun dan 279 hari pada 1955 bagi menggantikan Winston Churchill yang bersara dari dunia politik. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca