DEWAN Rakyat sudah dibubarkan dan parti-parti politik telah pun menghidupkan jentera pilihan raya masing-masing.
Berbeza dengan cara tradisional, sebahagian besar cara kempen telah dialihkan ke platform media sosial.
Sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), negara kita telah mengalami perubahan Perdana Menteri daripada parti berlainan sebanyak tiga kali.
Pada masa sama, tanah air juga dilanda satu malapetaka dalam skala yang tidak pernah berlaku. Ekonomi turut terjejas dan kadar pengangguran meningkat.
Secara amnya, rakyat Malaysia sedang mengalami sindrom ‘keletihan politik’ ataupun political fatigue.
Selain penyokong tegar parti-parti politik sedia ada, mereka yang berpendirian atas pagar sememangnya tidak berminat untuk menyentuh bahan-bahan media berkaitan politik, mahupun PRU.
Maka, dengan pendahuluan di atas, faktor utama parti-parti politik harus perjuangkan untuk menarik minat pengundi atas pagar adalah ‘jaminan’.
Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) pernah memerintah negara sejak 10 tahun ini.
Masing-masing menawarkan janji atau manifesto. Janji terhadap perkembangan ekonomi, keprihatinan kepada rakyat yang mengalami kesusahan, keadilan dan kesaksamaan dalam sistem kehakiman dan sebagainya.
Sesebuah parti boleh memberikan janji langit dan lautan, namun rakyat kini tidak mudah terpedaya dengan sekadar janji.
Mereka akan meneliti ‘jaminan’ untuk menepati janji-janji tersebut berdasarkan budi bicara dan pengalaman kendiri.
Faktor kedua adalah reputasi pemimpin parti politik tersebut. Pertimbangan itu mustahak terutama di mata pengundi yang muda dan baharu.
Penilaian mereka banyak bergantung kepada berita yang diuar-uarkan di media sosial tentang seseorang pemimpin.
Terdapat ahli-ahli politik yang terlibat dengan skandal rasuah atau jenayah akan kehilangan sokongan daripada kalangan muda yang masih berpendirian atas pagar.
Jadi, parti politik dengan pemimpin utama mereka yang tidak terlibat dalam skandal melibatkan reputasi sesebuah parti akan menjadi pilihan utama golongan pengundi berkenaan.
Faktor ketiga adalah ideologi sesebuah parti. Setelah penilaian ke atas keupayaan dan reputasi, ideologi parti adalah salah satu faktor pertimbangan bagi pengundi atas pagar.
Contohnya, walaupun Pas bebas daripada sebarang skandal dan banyak menepati janji di Kelantan, ideologi mereka masih tidak dapat menarik minat pengundi beragama Kristian.
Sama juga dengan DAP yang memperjuangkan sistem agama berasaskan konsep sekular, sukar untuk menarik minat pengundi majoriti Muslim.
Keempat, bagi pengundi-pengundi atas pagar kawasan luar bandar, mereka mengambil berat tentang sikap calon di kawasan mereka mengundi.
Mereka menekankan kepentingan ke atas perkhidmatan yang diberikan dan keprihatinan calon terhadap kebajikan rakyat setempat.
Terdapat juga golongan pengundi atas pagar yang mengundi berdasarkan pengaruh keluarga, rakan-rakan dan media sosial.
Dari segi media sosial, mereka tidak dipengaruhi oleh isu kandungan maklumat politik, sebaliknya terpengaruh dengan rakan-rakan.
Ia terdiri daripada mereka yang langsung tidak berminat dengan isu-isu semasa tetapi suka mengikut arah angin orang yang mendekati.
Mana-mana parti yang memenuhi faktor-faktor di atas akan berjaya menawan hati pengundi-pengundi atas pagar untuk menambahkan kebarangkalian menang PRU akan datang.
Namun, saya berpendapat bahawa tiada satu parti politik yang menepati syarat-syarat tersebut.
Jika itu berterusan sepanjang waktu kempen, maka kadar pengundian akan rendah dan parti yang memiliki kumpulan penyokong akar umbi ramai akan mendahului PRU15.
* Tai Zee How juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina ialah seorang peguam dan pemerhati politik.
Klik di sini untuk terus membaca