KAMPALA - Pihak berkuasa Uganda mengisytiharkan penularan wabak Ebola selepas kira-kira 58 individu dijangkiti virus tersebut selain turut meragut 19 nyawa termasuk kakitangan kesihatan sejak pertama kali ia dilaporkan pada 20 September... Klik di sini untuk terus membaca

KAMPALA - Pihak berkuasa Uganda mengisytiharkan penularan wabak Ebola selepas kira-kira 58 individu dijangkiti virus tersebut selain turut meragut 19 nyawa termasuk kakitangan kesihatan sejak pertama kali ia dilaporkan pada 20 September lalu.

Data Pusat Afrika untuk Pencegahan dan Kawalan Penyakit menunjukkan lebih 1,100 kontak pesakit Ebola telah direkodkan Kampala.

Susulan ancaman yang semakin meningkat, Presiden Yoweri Museveni melaksanakan sekatan perjalanan selama 21 hari di dua daerah terjejas iaitu Mubende dan Kassanda sebagai sebahagian usaha untuk menghentikan penyebaran penyakit berjangkit tersebut.

Larangan perjalanan selama 21 hari dikenakan di dua daerah terjejas di Mubende dan Kassanda bermula Sabtu lalu.

Menerusi ucapannya yang disiarkan stesen TV, Museveni mengarahkan langkah lockdown dikenakan di kedua-dua daerah berkenaan selain pelaksanaan perintah berkurung bermula waktu senja hingga subuh, melarang sebarang pergerakan dan menutup operasi perniagaan, bar dan gereja sepanjang tempoh tersebut.

"Sesiapa yang berada di Mubende dan Kassanda, terus kekal berada di sana selama 21 hari. Pergerakan keluar dan masuk dari kedua-dua daerah tersebut adalah dilarang sama sekali,” tegas bekas pemimpin gerila itu yang telah memegang tampuk pemerintahan sejak 1986.

Menurutnya, hanya trak kargo dikecualikan daripada sekatan perjalanan ketat itu.

Bagi mengekang penularan wabak itu, Museveni turut melarang pengamal ilmu perubatan tradisional daripada merawat penduduk setempat yang jatuh sakit.

Beliau juga bertindak tegas apabila memberi kuasa kepada polis untuk memberkas mana-mana individu yang enggan menjalani tempoh pengasingan setelah disyaki dijangkiti virus tersebut.

Anggota pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan mendirikan pusat rawatan pengasingan di Mubende.

Sebagai usaha meredakan kebimbangan orang ramai, pihak berkuasa memberi jaminan wabak itu belum menular di Kampala yang berpopulasi kira-kira 1.5 juta penduduk walaupun terdapat kes melibatkan pasangan suami dan isteri.

Menteri Kesihatan, Jane Ruth Aceng menegaskan ibu kota itu masih bebas Ebola kerana mereka dijangkiti di Mubende.

"Ia tetap dianggap sebagai kes yang direkodkan di Mubende melainkan ia disahkan bermula di Kampala,” ujarnya.

Difahamkan, kali terakhir Uganda merekodkan kematian akibat wabak itu yang dikenali sebagai virus Ebola varian Sudan adalah pada 2019.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan ujian klinikal bakal bermula dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk menguji keberkesanan dua vaksin bagi mengekang penularan strain tersebut yang disebarkan melalui sentuhan dengan cecair tubuh individu dijangkiti atau bahan tercemar.

Kematian pertama varian Sudan dilaporkan pada 20 September lalu dan masih tiada vaksin untuk rawatan kepada pesakit sehingga kini.

"Kira-kira enam vaksin untuk strain Sudan telah dihasilkan termasuk tiga yang kini memasuki ujian klinikal fasa pertama,” jelas Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Wabak Ebola yang menunjukkan gejala seperti demam, muntah-muntah, cirit-birit, sakit otot dan pendarahan dalaman serta luaran pertama kali dikesan di Sudan Selatan dan Republik Demokratik Congo yang kemudiannya penyakit itu dinamakan sempena penularan di perkampungan berhampiran Sungai Ebola. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca