KHAMIS lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh-tarikh penting berkenaan Pilihan Raya ke-15 (PRU15). Umum sekarang ini sudah mengetahui bahawa hari mengundi jatuh pada 19 November ini. Dengan hari penamaan calon akan... Klik di sini untuk terus membaca

KHAMIS lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh-tarikh penting berkenaan Pilihan Raya ke-15 (PRU15).

Umum sekarang ini sudah mengetahui bahawa hari mengundi jatuh pada 19 November ini.

Dengan hari penamaan calon akan membuka gelanggang pada 5 November, mereka yang berimpian untuk menjadi Yang Berhormat (YB) sudah tentu berdebar semacam dalam tempoh dua minggu ini.

Adatlah dalam politik. Sukar untuk mana-mana parti datang dengan calon yang benar-benar lengkap dan sempurna.

Untuk menamakan seorang calon bagi mewakili parti, hadangannya lebih besar daripada laluan. Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa. Semua serba-salah.

Walaupun begitu, pengakhirannya calon mesti diletakkan. Calon akan dipasang itu bukan sahaja boleh dijual kepada pengundi, malah dipersetujui majoriti orang parti.

Kalau orang parti ramai anti, boleh hilang jentera meraih undi.

Paling menarik dalam hal ini sudah tentulah nasib Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) Abu Bakar.

Mungkin KJ antara mereka yang berdebar semacam sepanjang menunggu hari penamaan calon.

Beliau telah pun memberikan laluan kepada Ketua Bahagiannya di Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) untuk bertanding Parlimen.

Bagi orang UMNO, ia dilihat satu langkah yang ‘noble’ dan budiman.

Di satu pihak pula, ia dilihat sebagai langkah untuk membunuh karier politiknya secara terhormat.

Benar, UMNO berjanji akan mencarikan kerusi lain untuk beliau tetapi kerusi yang dicadangkan kesemuanya kerusi perangkap, antaranya Seremban, Port Dickson dan Alor Setar.

Ia kerusi-kerusi yang sukar bagi UMNO. ‘Top 5’ UMNO pun mungkin payah untuk menang. Jadi, mengapa pula hendak KJ dihantar ke situ?

Ada juga kerusi-kerusi selamat UMNO dikaitkan dengan beliau, antaranya Tampin dan Kuala Pilah.

Ia mungkin cadangan yang baik buat KJ, namun apakah pimpinan UMNO bahagian mahu membuka laluan kepadanya memandangkan mereka sudah melakukan kerja untuk merampasnya kembali daripada pihak lawan.

Potensi sabotaj yang dikhabarkan berlaku di Kuala Pilah ketika PRU14 mungkin boleh berulang kembali. Begitulah ceritanya.

Minggu lalu di ruangan ini dijelaskan bahawa PRU15 adalah masa untuk orang muda. Ditekankan begitu kerana PRU15 adalah ‘pusingan terakhir’ bagi orang politik orde lama.

Diperhatikan, kita sebenarnya sudah terlepas beberapa tokoh hebat yang sepatutnya menjadi pemimpin negara ketika masa puncak mereka, antaranya Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah atau Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Adalah satu kerugian kalau kita juga turut kehilangan KJ dalam konteks ini. Bukan niat untuk menyokong beliau, jauh sekali membodeknya kerana tiada kepentingan.

Namun, KJ mempunyai sesuatu yang boleh disumbangkan kalau diberi peluang.

Paling tidak, mereka yang neutral bersetuju bahawa KJ mungkin antara tokoh ‘boleh jual’ dalam kalangan pemimpin UMNO.

Kita sebenarnya tidak ketandusan bakat muda, sama ada UMNO dan parti-parti lain.

Ramai orang muda yang ikhlas, progresif dan berkebolehan ada dalam parti.

Masalahnya, parti masih cenderung untuk mengekalkan status quo. Lebih parah hierarki parti dimonopoli kelompok tertentu cenderung untuk membentuk dinasti, lantas mengukuhkan cengkaman ala ‘hulubalang’ yang menghalang penggantian.

Bukanlah bermaksud menolak orang lama sepenuhnya. Mereka masih diperlukan kerana proses penggantian adalah kombinasi ‘tenaga orang muda dan hikmah orang lama’.

Barulah sinergi kepimpinan itu berlangsung dengan baik dan sempurna. Bunyinya idealis, namun itulah harapan semua.

Benar, politik itu seni serba mungkin. Namun, apalah maknanya politik jika semuanya dilihat daripada perspektif untung dan rugi.

Kerana yang untung dan rugi itu tetap negara bangsa.

Semoga kita tidak lagi terlepas mereka yang berkebolehan ketika masa puncak mereka tiba.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca