PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan 21,173,638 pengundi berdaftar layak mengundi pada 19 November depan bagi menentukan kerajaan baharu setelah pembubaran Parlimen penggal ke-14. Mengikut kelaziman, ramai tidak akan melepaskan... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan 21,173,638 pengundi berdaftar layak mengundi pada 19 November depan bagi menentukan kerajaan baharu setelah pembubaran Parlimen penggal ke-14.

Mengikut kelaziman, ramai tidak akan melepaskan peluang pulang kampung bagi memilih calon dan parti pilihan masing-masing.

Namun bagi mereka dari Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung terutama golongan mahasiswa, terpaksa ‘berkira-kira’ untuk pulang kampung berikutan beberapa kekangan terutamanya logistik.

Untuk rekod, terdapat sejumlah 1,689,387 pengundi berdaftar di Sabah dan 1,943,074 pengundi di Sarawak bagi PRU15 ini.

Daripada jumlah tersebut, di Sabah terdapat seramai 127,582 pengundi dalam lingkungan umur 18-20 tahun dan 405,760 pengundi dalam lingkungan umur 21-29 tahun.

Dalam pada itu di Sarawak, terdapat 129,034 pengundi dalam lingkungan 18-20 tahun dan 415,645 pengundi dalam lingkungan umur 21-19.

Boleh dikatakan bagi kedua-dua kategori umur itu, majoritinya adalah terdiri daripada golongan pelajar dan mahasiswa yang kali pertama layak mengundi.

TIKET KAPAL TERBANG

Berbalik dilema pulang kampung untuk PRU15 bagi mahasiswa Sabah dan Sarawak, Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Negeri Sabah, Universiti Putra Malaysia (UPM) (PERMASA PUTRA), Jerrywesly Senaja berkata, halangan utama adalah kesukaran untuk membeli tiket penerbangan ke negeri masing-masing.

"Seperti yang kita tahu, terdapat rakan-rakan mahasiswa IPTA dan IPTS termasuklah mahasiswa Sabah dan Sarawak yang menghadapi masalah kewangan di mana mereka kurang mampu untuk membeli tiket penerbangan yang agak mahal.

"Tambahan pula, majoriti mahasiwa IPTA dan IPTS ini baru sahaja kembali ke institut pengajian masing-masing untuk meneruskan pengajian selepas cuti semester,” kata Jerrywesly kepada Sinar Premium.

Mengulas lanjut, mahasiswa jurusan Bacelor Pentadbiran Perniagaan (Tahun 4) dari Pitas itu berkata, beliau banyak menerima luahan rakan-rakan dari Sabah berkenaan kesukaran untuk membeli tiket penerbangan sekiranya mahu balik mengundi kelak.

"Untuk makluman, harga tiket penerbangan ke Kota Kinabalu pada 17 atau 18 November adalah lebih kurang RM300 (satu hala).

"Ada juga kes di mana biasiswa atau pinjaman masih belum dikreditkan kepada mahasiswa untuk semester ini.

"Jadi bagaimana mahasiswa termasuk dari Sabah dan Sarawak mahu menampung kos perbelanjaan semasa pengajian apatah lagi menggunakan dana tersebut untuk membeli tiket penerbangan sekiranya pulang mengundi,” katanya lagi.

Harga tiket penerbangan.

CAKNA POLITIK

Menurut pemuda berusia 23 tahun itu, mahasiswa Sabah dan Sarawak di UPM amat cakna dengan perkembangan politik yang berlaku sekarang terutamanya tarikh PRU15 yang semakin hampir.

"Sebagai bukti, terdapat rakan-rakan Sabah dan Sarawak yang menyuarakan kerisauan mereka untuk balik mengundi disebabkan masalah pembelian tiket penerbangan. Hal ini membuktikan mereka bersemangat dan mempunyai keinginan untuk menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih pemimpin.

"Selain itu, terdapat juga ramai mahasiswa yang tidak pernah mengundi sebelum ini dan teringin mengundi pada PRU15. Saya sendiri juga tidak pernah mengundi disebabkan masih lagi tidak layak mengundi pada PRU14 dan kini saya berpeluang untuk mengundi pada PRU15,” katanya.

ISU KEWANGAN

Turut senada, Presiden Persatuan Kebajikan Anak Sarawak (PERKASA SARAWAK) merangkap Ketua Kluster Kebajikan Badan Legislatif Parlimen Kesatuan Pelajar UPM, Justine Anak Jarop berkata, masalah utama anak Sabah dan Sarawak pulang kampung untuk mengundi adalah kewangan.

"Kami perlu menanggung kos yang tinggi terutamanya untuk membeli tiket penerbangan sekiranya mahu pulang mengundi di negeri masing-masing.

"Namun sebagai inisiatif permulaan mengatasi isu ini, kami sedang melakukan survei sebagai persiapan menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Ia akan mengutarakan pelbagai permasalahan dihadapi anak Sarawak terutama masalah kewangan.

"Berkenaan dilema pulang kampung untuk mengundi, kami juga mengharapkan sokongan kewangan sekiranya dapat sebarang bentuk peruntukan untuk menanggung kos pulang ke kampung,” kata anak kelahiran Miri yang sedang menyambung pelajaran dalam bidang Sarjana Muda Kaunseling Psikologi (Tahun 3) Semester 5.

Jelas anak muda berusia 22 tahun itu, sebagai seorang yang layak mengundi, tidak seharusnya hak tersebut terhalang semata-mata kerana isu kewangan dan logistik sebaliknya satu penyelesaian perlu difikirkan bersama demi menjaga kebajikan mahasiswa Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pelajaran di Semenanjung.

BENARKAN UNDI POS

Satu solusi yang dilihat dapat merungkai dilema pulang kampung dihadapi mahasiswa Sabah dan Sarawak adalah membenarkan undian pos bagi memudahkan mereka melaksanakan tanggungjawab.

Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin boleh memikirkan kemungkinan melaksanakan undi pos bagi warga Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung dan juga sebaliknya.

"SPR mempunyai data menyeluruh tentang pengundi, termasuk warga Borneo yang berada di Semenanjung dan sebaliknya.

"Oleh itu, pihak SPR perlu berusaha semaksimum mungkin untuk membolehkan kelompok ini menunaikan tanggungjawab mereka, termasuk kemungkinan untuk melaksanakan undi pos atau seumpamanya,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, faktor kebanyakan mahasiswa Sabah dan Sarawak berstatus mahasiswa B40 juga bermakna kewangan mereka hanya sekadar mencukupi untuk menampung keperluan harian dan kos lain sepanjang pengajian di Semenanjung.

"Walaupun ada yang mendapat tajaan pelbagai kategori biasiswa sama ada tajaan daripada kerajaan negeri mahupun swasta, ia hanyalah 'cukup-cukup' sahaja berikutan yuran pengajian yang masih perlu dibayar.

"Belum ditambah lagi perbelanjaan keperluan harian untuk makan dan membayar kos sewa asrama serta rumah sewa sepanjang menuntut di sini. Apatah lagi mereka yang berstatus peminjam PTPTN,” kata Yang Di Pertua Pertubuhan Siswa Siswi Sabah Universiti Sains Malaysia, Muhammad Zikri Rosle.

TAMBANG JALAN UDARA, JALAN DARAT

Tambahnya, selain isu tiket penerbangan mahal, kos tambang jalan darat untuk ke kawasan parlimen ataupun Pusat Daerah Mengundi setelah sampai ke negeri masing-masing juga perlu diambil kira.

"Oleh itu, pihak kerajaan tidak kira sama ada kerajaan negeri Sabah, Sarawak ataupun kerajaan Persekutuan sepatutnya memberi insentif kewangan bersasar kepada mahasiswa layak mengundi untuk dibelanjakan membeli tiket penerbangan untuk pulang mengundi dan kembali ke kampus masing-masing.

"Selain itu, kerajaan dan syarikat penerbangan utama negara mungkin boleh merangka inisiatif bersama untuk merendahkan harga tiket penerbangan semasa musim pulang mengundi.

"Saya yakin bahawa kerajaan boleh 'menyewa' beberapa jadual penerbangan yang khusus untuk membawa pengundi Borneo sama seperti apa yang kerajaan lakukan dalam membawa mahasiswa Borneo untuk pulang ke negeri masing-masing semasa negara menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu gelombang pertama Pandemik Covid-19 yang lalu.

"Parti-parti ataupun komponen parti politik yang bakal bertanding dalam pilihan raya kali ini juga boleh mengambil pendekatan untuk membantu meringankan beban kos penerbangan mahasiswa Borneo untuk pulang mengundi bagi tujuan menarik sokongan,” ujar pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan berusia 23 tahun itu.

Tambahnya, ramai mahasiswa masih perlu menjalankan kuliah, kerja lapangan, kerja kursus dan aktiviti akademik lainnya semasa hari mengundi berlangsung menyebabkan mereka terpaksa berfikir dua kali sama ada melunaskan tanggungjawab sebagai pengundi ataupun menyelesaikan urusan akademik bagi menjaga kualiti serta gred pencapaian setiap semester.

HARGA TIKET MELAMBUNG

Presiden Persatuan Mahasiswa Sarawak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Muhamad Zaim Mustaqim pula berkata, selain isu harga tiket melambung menjelang tibanya PRU15, tarikh PRU juga jatuh seminggu sebelum cuti pertengahan semester.

"Perkara tersebut membuatkan mahasiswa merasakan adalah lebih baik untuk mereka pulang pada minggu kemudiannya kerana cuti itu adalah lebih panjang daripada cuti hujung minggu pada pilihan raya tersebut.

"Setakat ini ramai pelajar Sarawak di kampus yang masih berbelah bahagi, namun kami akui amat kecewa sekiranya tidak dapat menjalankan tanggungjawab mengundi buat pertama kali bagi kebanyakan pelajar,” ujar mahasiswa berusia 22 tahun jurusan Perancangan Bandar dan Wilayah itu.

Klik di sini untuk terus membaca