SHAH ALAM - Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin dirasai apabila rata-rata parti yang bertanding mula mengemukakan tawaran masing-masing sebagai satu strategi memenangi hati pengundi. Gabungan parti utama seperti BN, Pakatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin dirasai apabila rata-rata parti yang bertanding mula mengemukakan tawaran masing-masing sebagai satu strategi memenangi hati pengundi.

Gabungan parti utama seperti BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) menggunakan pelbagai platform seperti program turun padang, ceramah dan sidang media bagi memastikan maklumat tersebut sampai kepada para pengundi di peringkat bawah.

Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau sekali lagi menegaskan bahawa Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri.

Selain itu, Ismail Sabri juga telah memaklumkan akan merealisasikan segala inisiatif dan bantuan yang telah diumumkan sewaktu pembentangan Bajet 2023 jika parti itu mendapat mandat rakyat.

Penyandang kerusi Parlimen Bera itu berjanji akan terus merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi kemakmuran seluruh Keluarga Malaysia yang terjejas akibat krisis global menerusi agensi-agensi kerajaan.

Terbaru, Ismail Sabri mengumumkan akan melupuskan semua hutang lapuk projek Felcra Berhad membabitkan kos sebanyak RM233.8 juta dan pada Khamis berjanji akan meluluskan permohonan penjaja serta peniaga kecil untuk menambah baik perniagaan.

Bagi PH pula, mereka memuktamadkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya memenangi PRU15.

Anwar pada Kovensyen Harapan yang berlangsung pada Khamis menyatakan kesediaan untuk dipotong gaji dan elaun sebagai Perdana Menteri dan turut memberi jaminan pengurangan gaji itu turut melibatkan ahli kabinet kalangan menteri.

Sementara itu Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi gambaran bahawa manifeso PH memberi fokus kepada isu-isu dekat dengan rakyat.

Manakala PN pula mengemukakan tawaran mereka seperti komitmen membentuk sebuah kerajaan bebas rasuah dan bersih melalui PRU15.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berjanji untuk membela nasib peneroka Felda dan memberi komitmen tiada pilih kasih terhadap semua kaum di negara ini.

PN turut akan membentangkan Bajet 2023 yang lebih baik jika memenangi PRU15.

Pada Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kota Bharu pada Jumaat, bekas Perdana Menteri itu berikrar akan membayar royalti minyak kepada Kelantan seandainya berjaya membentuk kerajaan.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad pula bersedia meneruskan Bajet 2023 yang telah dibentangkan sebelum dan menambahbaik bantuan untuk rakyat jika menang selepas ini.

Beliau turut memberi tawaran khususnya kepada pengundi Melayu sama ada mahu memilih pemimpin yang terlibat dengan jenayah atau bebas daripada perbuatan itu kerana tahu kaum itu ingin diperintah oleh kerajaan yang majoritinya adalah Melayu.

Klik di sini untuk terus membaca