SEJAK beberapa minggu ini Belalang berpeluang menghadiri majlis keramaian seperti perkahwinan anak rakan sepejabat, anak rakan sekolah ketika di high school dahulu dan majlis kenduri saudara mara. Tidak ada satu pun majlis berkenaan yang... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK beberapa minggu ini Belalang berpeluang menghadiri majlis keramaian seperti perkahwinan anak rakan sepejabat, anak rakan sekolah ketika di high school dahulu dan majlis kenduri saudara mara.

Tidak ada satu pun majlis berkenaan yang tidak berkesudahan dengan pertanyaan tentang pilihan raya dan siapa kelihatan akan menang.

Beberapa rumusan boleh dibuat hasil daripada perbualan di meja makan itu. Antara yang paling ketara ialah majoriti menganggap tidak ada parti yang benar-benar kuat serta mampu mengaut kerusi majoriti.

Maknanya jika ini berlaku, parti-parti yang bersaing sewaktu pilihan raya mahu tidak mahu terpaksa duduk berunding bagi membentuk perikatan baharu untuk menjadi kerajaan.

Dan ini membawa kepada pertanyaan dan kebimbangan yang lebih besar. Sejauh manakah kemampuan kerajaan campuran ini yang diibaratkan sebagai 'kahwin paksa' bertahan - setahun? Dua tahun? Para pengundi khuatir negara ini bakal berhadapan dengan krisis kepimpinan semula sama seperti kerajaan Pakatan Harapan yang kemudiannya diganti oleh kerajaan Perikatan Nasional dan selepas itu kerajaan Keluarga Malaysia.

Semuanya bersilih ganti dalam satu musim. Cuma satu sahaja yang para pengundi berasa lega iaitu tidak akan ada lagi lompat parti.

Namun itu bukan bermakna kerajaan yang dibentuk tidak boleh tumbang atau bertukar kepimpinan. Jika salah satu parti yang membentuk perikatan baharu ini tarik sokongan maka kerajaan tetap akan tumbang. Tak perlu lompat parti pun.

Jadi kemenangan tanpa majoriti yang kukuh atau solid pun satu masalah juga sebenarnya. Masalahnya ialah ketidakpastian dan ketidakstabilan politik.

Belalang sebenarnya mendoakan agar kita tidak berhadapan dengan Parlimen yang tergantung. Jika itu berlaku dan tiada pihak yang boleh mencapai kata sepakat membentuk kerajaan, maka pilihan raya semula terpaksa diadakan.

Kita tidak mahu berakhir seperti Greece atau Israel yang telah menyaksikan sampai lima kali pilihan raya perlu dilangsungkan kerana tidak ada parti yang menguasai majoriti mudah untuk bentuk kerajaan.

Sebaliknya apabila pakatan baharu berjaya dibentuk ia tidak bertahan lama - tumbang selepas beberapa bulan sahaja mentadbir.

Kita doakan agar Malaysia tidak mengalami nasib yang serupa sepertimana kedua-dua buah negara ini.

Dan barang diingat juga, selepas beberapa bulan selesainya pilihan raya umum ini, kita semua terpaksa ke pusat pengundian sekali lagi. Kali ini kembali untuk memilih ahli-ahli Dewan Undangan Negeri pula.

Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan semuanya mengambil pendirian untuk tidak membubarkan dewan masing-masing.

Semua ini bukan menyenangkan kita tapi menyusahkan kita sebagai pengundi. Tapi apakan daya kerana yang menentukan ini semua bukan kita sebaliknya ahli-ahli politik.

Maka itu, sukalah Belalang memberi pesanan kepada semua pengundi, bersandarkan semua fakta ini, buatlah keputusan yang bijak dan bakal tidak menyusahkan kita di masa hadapan.

Walaupun dalam kebanyakan masa kita ini ibarat mentimun dan mereka (ahli politik) durian tapi peluang sekali yang kita ada ini perlu digunakan sebaik yang mungkin agar tidak menyesal di kemudian hari.

Belalang - Lain Padang Lain Belalang...

Klik di sini untuk terus membaca