SHAH ALAM - Pelbagai reaksi diberikan oleh pimpinan parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) berhubung kemungkinan kerjasama bersama Gerakan Tanah Air (GTA) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).
Meskipun rata-ratanya memberikan respons yang dingin berhubung perkara berkenaan, namun terdapat juga yang menyambut baik perkembangan tersebut dengan mengambil kira keperluan untuk menarik sokongan lebih ramai pengundi.
Bagi Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong, persoalan berkenaan kerjasama itu langsung tidak timbul buat masa ini kerana partinya memberikan tumpuan memperkukuhkan PH dan agenda mahu dibawa kepada rakyat dalam PRU15.
"Saya rasa kita terima satu pengajaran iaitu PH dengan agenda pembaharuan yang dibawa itu, penyokong kita dan rakyat Malaysia mahu lihat kita setia kepada perjuangan itu. Jadi sekarang itu adalah fokus kita,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Pada Jumaat, Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya bertemu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bekerjasama dalam menyekat kerajaan pimpinan UMNO, BN daripada terus berkuasa selepas PRU15.
Mengulas mengenai kenyataan itu, Anwar berkata, beliau bersedia bertemu Dr Mahathir dengan syarat GTA perlu menjelaskan terlebih dahulu prinsip yang mahu dibawa untuk masa depan negara dan bukan semata-mata melawan BN dan Perikatan Nasional (PN).
Steven berkata, meskipun tanpa kerjasama dengan gabungan lain, beliau yakin PH mempunyai kekuatan yang boleh menarik dan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, partinya kekal berpendirian bahawa PH akan memasuki PRU tanpa penglibatan Dr Mahathir.
Katanya, ia selari dengan kenyataan Setiausaha Agung PH yang juga Setiausaha PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Jumaat yang memaklumkan keutamaan PH ketika ini adalah untuk menyatukan parti komponen dan meneruskan pakatan pilihan raya dengan parti dipersetujui gabungan itu serta ia tidak membabitkan parti atau gabungan diterajui Dr Mahathir.
PH ketika ini sedang dalam rundingan melaksanakan kerjasama politiknya untuk menghadapi PRU15 bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Dalam pada itu, pandangan berbeza diberikan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad yang memaklumkan partinya menyambut baik kesediaan Anwar untuk menerima pelawaan Dr Mahathir untuk mengadakan pertemuan.
Katanya, langkah itu dilihat amat penting dalam menyatukan blok pembangkang dan seterusnya pertembungan kerusi antara parti pembangkang dalam PRU15 akan datang.
Mengulas mengenai kebimbangan kemungkinan berulangnya episod pengkhianatan ekoran kerjasama tersebut, Khalid berkata, senario semasa kini adalah berbeza berbanding ketika PRU14.
"Dulu kita kerjasama dengan Tun M dan menyatakan dia sebagai calon Perdana Menteri kerana Anwar dalam penjara. Sekarang ini kita dah nyatakan dengan jelas Anwar sebagai calon Perdana Menteri,” jelas beliau.
Khalid menambah, kemungkinan hubungan bersama GTA itu bukanlah sebagai rakan gabungan PH tetapi dalam bentuk kerjasama politik sama seperti Muda dan PSM.
Klik di sini untuk terus membaca