BEKAS juruterbang tentera di negara Barat didakwa melatih juruterbang muda Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dalam usaha untuk memodenkan pasukan pertahanan negara komunis itu. Sejumlah bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Britain,... Klik di sini untuk terus membaca

BEKAS juruterbang tentera di negara Barat didakwa melatih juruterbang muda Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dalam usaha untuk memodenkan pasukan pertahanan negara komunis itu.

Sejumlah bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Britain, Australia, Kanada dan New Zealand didakwa bekerja dengan tentera China itu.

Beberapa jurulatih dilaporkan dibayar kira-kira AS$270,000 (RM1.2 juta) setahun atau lebih, tinggal di apartmen mewah, mendapat kereta sport serta tiket penerbangan tanpa had dari negara China selain berpeluang untuk menerbangkan jet pantas termasuk jet pejuang generasi kelima, J-20 milik negara tersebut.

Pasukan Pertahanan New Zealand (NZDF) telah mengesahkan bahawa empat bekas kakitangannya berkhidmat untuk sebuah akademi terbang di Afrika Selatan dan menurut media, ia sedang merekrut bekas juruterbang untuk melatih juruterbang tentera China.

Menteri Pertahanan Australia, Richard Marleser baru-baru ini berkata bahawa Jabatan Pertahanan negaranya diminta untuk menyiasat dakwaan bahawa bekas juruterbang tentera Australia juga telah diambil oleh akademi penerbangan tersebut untuk bekerja di China.

PENGALAMAN KENDALI JET PEJUANG

Kementerian Pertahanan UK (MoD) sebelum ini menyatakan pihaknya percaya bahawa sehingga 30 bekas juruterbang tentera British sedang menjadi jurulatih PLA.

China didakwa menggunakan pihak ketiga untuk mencari bekas juruterbang British dari negara Barat lain untuk melatih juruterbang tenteranya secara langsung serta menyokong syarikat industri pertahanan termasuk institusi penyelidikan milik pemerintah komunis itu.

Apa yang membimbangkan UK ialah bekas juruterbang itu mempunyai pengalaman mengendalikan helikopter tentera dan jet pejuang seperti Typhoon, Jaguar, Harrier serta Tornado.

Namun, UK hanya menyuarakan kebimbangannya tentang corak pengambilan juruterbangnya untuk berkhidmat dengan tentera China selepas bilangannya semakin bertambah sejak tahun 2019 sebelum ia pernah merosot ketika era pandemik Covid-19 apabila kemasukan ke negara komunis tersebut hampir mustahil untuk dilakukan.

Sebahagian bekas juruterbang itu berusia lewat 50an dan meninggalkan tentera UK suatu ketika dahulu.

Tentera China kini mengalami proses pemodenan yang pesat. - AFP

Akademi penerbangan di Afrika Selatan itu telah memburu bekas pegawai tentera yang pernah memainkan peranan penting dalam beberapa projek pertahanan UK paling sensitif termasuk pembangunan jet pejuang F-35B Lightning bernilai £2.8 bilion (RM3.17 bilion) dan kapal pengangkut pesawat Britain iaitu HMS Queen Elizabeth dan HMS Prince of Wales.

Corak pengambilan bekas juruterbang itu berlaku ketika China di bawah kepimpinan Presiden Xi Jinping berhasrat untuk memodenkan tenteranya bagi merapatkan jurang kekuatan ketenteraannya dengan Amerika Syarikat (AS).

China ketika ini sedang memberikan tumpuan kepada pembinaan tentera laut yang boleh melindungi kepentingan Beijing di Laut China Selatan.

Ia ketika ini juga berdepan dengan konflik AS berhubung isu Taiwan.

China sudah pun mempunyai tentera laut yang terbesar dunia dengan memiliki sekurang-kurangnya 360 buah kapal tetapi sedang mengejar AS dari segi bilangan kapal pengangkut pesawat.

Tentera Laut AS mempunyai 11 buah kapal pengangkut pesawat manakala China mempunyai tiga buah kapal sahaja.

Tiada bukti bahawa mana-mana juruterbang tentera UK itu telah melanggar Akta Rahsia Rasmi atau mereka telah melakukan sebarang jenayah.

TENTERA ASING

Bagaimanapun, UK cuba menghalang aktiviti dan memaklumkan kakitangan semasa dan rakan kongsi industri dan juga mengingatkan anggota tenteranya tentang kewajipan mereka untuk melindungi maklumat yang sensitif.

Berikutan semakin ramai bekas juruterbang tentera UK menjadi jurulatih juruterbang tentera China, Menteri Angkatan Tenteranya, James Heappey berkata, kerajaan akan melarang mereka bekerja untuk tentera asing.

Menurut laporan, Bejing sedang cuba mengupah lebih ramai anggota tentera dan bekas anggota Tentera Udara Diraja, Tentera Laut Diraja dan Tentera British serta kakitangan dari negara Barat yang lain.

Bagaimanapun, China memberikan reaksi bahawa ia tidak mengetahui sama sekali tentang pengambilan bekas juruterbang tersebut untuk melatih juruterbang muda tentera di negaranya.

Ia dinyatakan oleh jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin baru-baru ini yang menafikan sebarang pengetahuan mengena juruterbang British melatih anggota tentera negara itu.

Bagaimanapun, seorang pakar tentera dalam PLA dan felo keselamatan serta penyelidik serantau Persatuan Kajian Strategik yang berpangkalan di Taiwan, Dr Chang Ching seperti disiarkan media Rusia bahawa adalah perkara biasa mengupah pakar tentera asing untuk melatih kakitangan sesebuah negara.

Persoalannya ialah kenapa Britain seolah-olah dilihat takut atau bimbang dengan corak pengambilan bekas juruterbangnya menjadi jurulatih juruterbang tentera China? - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca