TARIKH yang ditunggu sudah tiba. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat pada 20 Oktober 2022 telah memutuskan bahawa tarikh penamaan calon adalah pada 5 November 2022, mengundi awal pada 15 November 2022 dan hari mengundi pada 19... Klik di sini untuk terus membaca

TARIKH yang ditunggu sudah tiba. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat pada 20 Oktober 2022 telah memutuskan bahawa tarikh penamaan calon adalah pada 5 November 2022, mengundi awal pada 15 November 2022 dan hari mengundi pada 19 November 2022.

Apakah jangkaan bila sudah diperkatakan mengenai pilihan raya yang tidak henti-henti sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018? Adakah mood pengundi, isunya dan jentera parti sama?

Ujian pada PRU14 adalah bagaimana wujud gerakan tersusun ke atas parti Barisan Nasional (BN). Ia bukan sahaja jentera parti lawan tetapi media sosial memberikan harapan ini masanya untuk ‘ubah’ dan ‘memberi peluang sekali’ kepada Pakatan Harapan (PH).

Mood pengundi berbeza, ia menjadi gelanggang terbuka. Malahan, berjaya mempengaruhi persepsi dan emosi pengundi, apatah lagi PH ada ‘panglima perang’ yang secara berterusan menyerang dengan pembunuhan karakter ke atas kepimpinan lalu.

Kini pengundi sudah boleh membandingkan kepimpinan BN 65 tahun dan PH 22 bulan serta kerajaan campuran PN selama hampir dua tahun. Ia bukan lagi naratif ‘satu kali peluang’. Ia adalah realiti kini.

Banjir juga menjadi tumpuan serta seolah-olah kehilangan majoriti dalam kerajaan apabila 12 orang menteri mengirim warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memohon untuk tidak memberi perkenan ke atas permintaan pembubaran Parlimen. Soal perpaduan ummah kerjasama Pas dan UMNO serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibincang.

Kestabilan dijulang oleh BN, yang digunakan di Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor. Trek rekod kepimpinan Ismail menjadi perbandingan kerana meredakan suhu persengketaan politik walaupun PH mahu kerajaan pintu belakang dan kluster mahkamah dihukum. Keserasian 2018 sudah tercalar. Mana-mana parti gabungan harus berhati-hati.

Janji pelik-pelik sudah tidak termakan. Manifesto realistik menjadi tumpuan ‘atas pagar’. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mirip dengan mood PRU12 pada tahun 2008. Pengundi senyap. Ada yang kecewa dan ada yang merasa tidak mahu mengundi. Kelesuan masih berterusan. Pengundi tegar dan protes apakah akan kembali selepas episod 2018-2022. Jika ini latarnya, apakah yang boleh dijangka?

MISI HIDUP ATAU MATI

Satu, kesemua parti ambil sikap seolah-olah masih tidak ada keyakinan untuk membina kepercayaan yang boleh mempengaruhi peratusan keluar mengundi.

Kedua, calon akan menjadi penentu bersifat resiprokal kepada pembaharuan parti. Ekosistem sudah berubah.

Ketiga, PRU15 adalah ‘misi hidup atau mati’. Antaranya apakah masa depan UMNO dan BN jika prestasi tidak tercapai, bagaimana pula jika ini berlaku kepada PH dan PN? Apakah nasib ketua parti masing-masing? Bagaimana dengan pemimpin yang terlalu lama menjadi liabiliti kepada parti?

Keempat, bagaimana dengan yang menukar mandat rakyat pada Mac 2020? Kelima, dua bekas perdana menteri mengetuai dua gabungan berbeza walaupun berhaluan sama pada PRU Ke14. Dua bekas Timbalan Perdana Menteri pula menjadi peneraju gabungan yang lain.

Daripada Sandakan Move, Sheraton Move serta kem PWTC dan Putrajaya, di manakah kita pasca PRU15?

Perpecahan undi kawasan Melayu dan konsensus kebangsaan, di manakah undi muda? Daripada 14.9 juta, kini pengundi mencecah 22 juta. Sesiapa yang berjaya meningkatkan sokongan pengundi Melayu akan membentuk kerajaan, terutama sekitar 15-20 peratus serta pengundi India sekitar 30-40 peratus berbanding dengan pengundi Cina. Sabah dan Sarawak kekal menjadi penentu.

Dalam kedudukan seperti ini, kajian sikap saya menunjukkan peratusan keluar mengundi rendah, sokongan pada ‘perubahan’ sudah tidak sama dan isunya kini adalah kos sara hidup, kejatuhan kadar mata wang dan integriti politik.

Parti BN tidak sempurna namun PH dan PN juga berhadapan kerjasama politik yang dihujani dengan defisit kepercayaan. Pemilihan calon dan jentera tidak terkecuali.

PRU15 adalah pertembungan singa yang cedera parah berhadapan dengan harimau terluka, misi lakukan hari ini atau hilang selamanya daripada radar politik siasah tanah air yang dinamik.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca