MINGGU lepas saya menyertai latihan asas pertahanan awam yang mana Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah menubuhkan pasukan pertahanan awam yang diberi nama CDERT PPMM. CDERT adalah singkatan kepada Civil Defence Emergency... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lepas saya menyertai latihan asas pertahanan awam yang mana Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah menubuhkan pasukan pertahanan awam yang diberi nama CDERT PPMM. CDERT adalah singkatan kepada Civil Defence Emergency Response Team.

Kursus asas tersebut sangat berbeza daripada kehidupan seorang peguam yang berlegar sekitar mahkamah dan pejabat, memakai pakaian hitam putih serta berada di tempat berhawa dingin. Namun pengalaman dua hari latihan tersebut sangat bermanfaat kepada para peguam khususnya semasa berkawad dan belajar pertolongan cemas.

PPMM berterima kasih kepada semua jurulatih yang sudi melatih ahli-ahli CDERT PPMM sehingga berjaya menamatkan latihan dan ujian dengan jaya.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebenarnya telah ditubuhkan lebih dahulu dari beberapa agensi lain yang memberikan khidmat kepada orang awam.

Walaupun ia memperagakan pelbagai nama lain sebelum ini tetapi fungsinya sangat penting memberi perkhidmatan awal kepada mangsa bagi menyelamat nyawa.

Namun perkembangan APM ini kurang diberikan perhatian sehinggakan transformasi pertahanan awam ini tidak dapat dijalankan dengan sebaiknya.

Sudah tiba masanya Akta Pertahanan Awam 1951 dikaji semula dengan penambahbaikan tertentu.

Walaupun akta tersebut memberi kuasa yang besar dalam membantu orang awam namun APM berisiko dari segi perundangan dalam melaksanakan kuasa tersebut mestilah diperhalusi.

ISYARAT JELAS

Walaupun kita sedang meraikan pesta demokrasi ketika ini yang mana Pilihan Raya Umum ke-15 akan berlangsung tidak lama lagi, namun alam telah memberi isyaratnya yang jelas berkaitan bencana yang akan kita alami akibat musim monsun pada penghujung tahun.

Pastinya pasukan penyelamat seperti APM perlu berperanan sebaiknya bagi menyelamat mangsa sama ada semasa bencana ataupun selepasnya.

Rutin pasukan penyelamat seperti APM terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah seperti dalam mengevakuasi mangsa banjir berpindah ke tempat selamat. Keengganan mangsa berpindah akan menambah risiko kehilangan nyawa dalam kalangan mangsa.

Malah mangsa juga perlu dibantu pasca bencana. Mungkin mereka trauma atau depresi selepas banjir. Malah ramai yang tidak mengetahui hak mereka menuntut ganti rugi, bantuan dan banyak lagi.

Hal ini penting bagi mangsa dibantu. Bantuan perundangan dan psikologi seperti ini akan banyak membantu mangsa banjir.

Bantuan sebegini akan menjadi lebih efektif sekiranya Akta Pertahanan Awam 1951 di atas ditambah baik khususnya penjelasan tentang kerjasama APM dengan agensi kerajaan yang lain.

Selain daripada peruntukan undang-undang, beberapa aspek lain juga perlu diberikan perhatian seperti perjawatan, fasiliti, pejabat dan kemudahan anggota.

Selain daripada akta yang perlu memberi punca kuasa membuat kaedah-kaedah tertentu. Kaedah tersebut juga sangat penting bagi melicinkan perlaksanaan akta tersebut.

Kekhuatiran saya ialah jika kaedah tidak diperincikan dengan jelas mungkin terdapat risiko perlindungan kepada anggota APM akan pincang yang menyebabkan anggota APM sendiri terdedah kepada tindakan guaman.

Transformasi perundangan APM sangat penting kerana saban tahun negara dilanda bencana. Kita tidak boleh hanya berserah kepada ALLAH sahaja tetapi berusaha bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar kepada rakyat dan negara.

Di sinilah peranan APM bagi meminimumkan kesengsaraan yang dihadapi mangsa.

APM bukan sahaja memberi khidmat kepada mangsa banjir tetapi juga pertolongan awal dalam kecemasan sama ada di jalan raya ataupun di rumah termasuklah memberi bantuan dalam kebakaran, menangkap haiwan berbahaya dan memberi bantuan pernafasan.

Sudah sampai masanya pihak kerajaan meneliti semula semua perkara berkaitan APM dari sudut perundangannya bagi membolehkan APM memberi khidmat yang lebih efektif kepada negara.

Mudah-mudahan kerajaan yang dibentuk selepas PRU ini akan prihatin kepada perkembangan perundangan APM serta keperluan lainnya.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca