KONGRES Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China diadakan di Beijing pada 16 Oktober 2022. Lebih 2,300 perwakilan dari seluruh China telah berkumpul di Beijing untuk kongres selama seminggu. Acara ini yang diadakan sekali setiap lima tahun dan... Klik di sini untuk terus membaca

KONGRES Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China diadakan di Beijing pada 16 Oktober 2022. Lebih 2,300 perwakilan dari seluruh China telah berkumpul di Beijing untuk kongres selama seminggu.

Acara ini yang diadakan sekali setiap lima tahun dan kali terakhir adalah pada tahun 2017 sebelum pandemik Covid-19.

Ia akan menetapkan dasar pada tahun-tahun akan datang dan merombak pemimpin tertinggi China. Walaupun kongres tersebut merupakan suatu acara domestik tetapi ia pasti memberi impak di peringkat antarabangsa memandangkan China merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia.

Selain itu, kongres ini akan menentukan hala tuju pelaburan luar langsung (FDI) dari China melalui program Belt and Road Initiative (BRI). Oleh demikian, kongres tetap mendapat perhatian para penganalisis dari dalam dan luar negara.

Ketika pembukaan Kongres Kebangsaan China, Presiden China Xi Jinping memberi ucapan yang berlangsung hampir dua jam.

Xi terus menjadi Setiausaha Agung Parti Komunis China, Ketua Suruhanjaya Tentera Pusat dan Presiden China untuk penggal ketiga. Dalam ucapan utama, Xi telah menegaskan pencapaian China semenjak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan sedekad yang lepas dan menggariskan prinsip untuk pemerintahan dan dasar China pada tahun-tahun akan datang. Terdapat empat perkara penting daripada ucapannya.

PEMULIHAN EKONOMI

Pertama, usaha pemulihan dan peningkatan ekonomi dalam keadaan yang penuh cabaran dan dugaan khasnya akibat pandemik Covid-19.

Walaupun ekonomi China telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan namun Xi telah menegaskan ‘pembangunan berkualiti tinggi’ adalah kunci kepada masa depan China. Oleh demikian, pemerintah China harus terus berusaha untuk meningkatkan pendapatan orang ramai agar mereka sentiasa bahagia.

Kedua, adalah penyatuan semula dengan Taiwan. Beijing menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada China dan bertekad untuk menyatukan semula pada masa akan datang.

Dalam ucapan, Xi berkata bahawa tanah besar China sentiasa berusaha ke arah penyatuan semula dengan Taiwan secara aman melalui kaedah satu negara dua sistem sepertimana diamalkan di Hong Kong dan Macau.

Bagaimanapun beliau menegaskan tanah besar China tidak berjanji untuk menolak pilihan penggunaan kekerasan dan terbuka untuk mengambil semua langkah yang perlu.

Ketiga, kesinambungan kepada cita-cita global China. Xi telah menekankan bahawa China akan terus bergiat aktif dalam politik dan ekonomi global.

Agenda untuk memperkasakan imej China sebagai kuasa global telah menjadi sebahagian daripada pentadbiran Xi sejak sedekad lalu.

Selain itu, untuk mengembalikan semula kedudukan China di pentas antarabangsa kerana China pernah menjadi kuasa utama pada masa dahulu.

Keempat adalah penerusan dasar ‘zero Covid’ iaitu tiada tolak ansur dasar kawalan penularan virus Covid-19. Antaranya kawalan sempadan yang ketat, ujian besar-besaran mandatori, pengawasan digital invasif, kuarantin dan sekatan segera - selalunya di seluruh bandar.

Xi memberitahu Kongres Kebangsaan ke-20 bahawa pendekatan China meletakkan keselamatan dan kehidupan orang ramai prioriti yang paling utama.

PERDAGANGAN

Persoalannya apakah impak Kongres Kebangsaan China kepada masyarakat antarabangsa secara amnya dan khasnya Malaysia?

Statistik perdagangan China terkini mendedahkan bahawa keseluruhan perdagangan Malaysia-China dalam lapan bulan pertama 2022 mencecah AS$131.21 bilion (RM595.1 bilion), meningkat 21.1 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China dijangka mencatat rekod tinggi baharu pada 2022 dengan pelaksanaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). Pada 2021 sahaja, sebanyak 43 projek pembuatan telah diluluskan dari China bernilai AS$3.98 bilion, menjana hampir 14,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

Selain itu, penerusan kepimpinan Xi sebagai Presiden China bagi penggal ketiga juga menjadi jaminan kestabilan pelaksanaan dasar dan hubungan bilateral antara Kuala Lumpur dengan Beijing.

Ketika kedua-dua negara menyambut ulangan tahun hubungan diplomatik ke-50 pada 2014, Presiden Xi telah menunjukkan bahawa beliau menghargai hubungan dengan Malaysia. Hubungan diplomatik antara Malaysia-China telah terjalin semenjak 1974 dan boleh dikatakan kedua-dua negara mempunyai hubungan perkongsian strategik.

Oleh demikian, bagi Malaysia persahabatan antara Xi dengan para pemimpin Malaysia yang telah terjalin adalah satu kelebihan.

Malaysia juga mahu kedamaian dan kestabilan di rantau Asia Timur khasnya isu berkaitan dengan Taiwan. Malaysia mengamalkan dasar ‘Satu China’ dan menyokong usaha mencari penyelesaian secara berdialog termasuk isu di Laut China Selatan.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca