SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti, manakala penamaan calon pada 5 November.
Debaran dan ketegangan ketika ini ialah mengenai penentuan calon-calon pilihan raya oleh parti-parti yang bakal bertanding.
Bagi parti besar seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), pemilihan calon sangat merumitkan dan sentiasa berhadapan tentangan dari pada fraksi yang tidak terpilih.
Ketika ini pucuk pimpinan parti-parti yang bakal bertanding bertungkus-lumus menilai, menganalisis dan menyaring calon-calon bagi setiap kawasan Parlimen.
Walaupun ketua-ketua parti cenderung menyatakan pengundi memilih parti bukan calon, namun kita dapati setiap parti mementingkan pemilihan calon, malah mungkin mengambil masa sehingga saat akhir untuk mengumumkannya.
Bagi parti yang mempunyai struktur organisasi bawahan yang kuat seperti UMNO, pandangan akar umbi turut diambil kira dalam menentukan calon. Laporan-laporan penyelidikan dalaman parti dan luar turut diambil kira.
KUASA KETUA PARTI
Namun akhirnya keputusan menamakan calon dan kawasan terletak atas ‘hemat’ ketua parti. Ini kerana surat kebenaran menggunakan logo parti kepada SPR hanya boleh ditandatangani oleh ketua parti.
Selain daripada pemilihan calon, parti-parti juga akan mengemukakan janji dan manifesto yang bertujuan menarik menarik sokongan pengundi. Ini akan turut mempengaruhi pola pengundi atas pagar.
Sejak beberapa penggal lepas kita telah dengar frasa-frasa baharu seperti ‘janji dicapati’, ‘manifesto bukan kitab suci’ dan banyak lagi ungkapan-ungkapan sinis menggambarkan hilang kepercayaan pengundi terhadap manifesto parti tertentu.
Hal ini berlaku kerana sesetengah manifesto dibuat mengikut kehendak populis rakyat sepenuhnya tanpa mengambil kira kompleksiti pengurusan negara, kemampuan kewangan kerajaan dan peraturan-peraturan yang mengawal perbelanjaan kerajaan. Akibatnya, selepas diberi peluang memegang kuasa, banyak janji dan manifesto gagal ditunaikan atau dibakulsampahkan.
Bercakap mengenai manifesto, saya agak terkejut dengan kritikan Ketua Pengarah Eksekutif, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berjanji untuk melupuskan hutang peneroka Felcra bernilai RM238.8 juta, jika beliau berjaya kembali sebagai Perdana Menteri.
Menurut Tricia pengumuman seperti itu ‘melanggar’ kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kerajaan sementara yang sepatutnya, "... tidak boleh meluluskan sebarang dasar utama yang akan memberi kesan kepada negara dalam jangka panjang. Hal ini termasuk membuat lantikan politik baharu atau membuat sebarang keputusan perolehan atau belanjawan utama.”
Kenyataan Tricia ini sangat tidak tepat dan mengelirukan rakyat. Ismail Sabri tidak pernah menyatakan kerajaan bersetuju melupuskan hutang peneroka Felcra. Beliau hanya berjanji akan melupuskan hutang tersebut sekiranya partinya memenangi PRU15 ini.
Dalam wawancara bersama Astro Awani pula, Tricia menyelar ahli politik (BN) yang menggunakan Bajet 2023 sebagai sebahagian kempen PRU15 kerana Bajet 2023 belum diluluskan.
Sekali lagi Tricia hilang pedoman. BN telah menjanjikan bahawa kandungan Bajet 2023 yang dibentangkan tempoh hari, akan dibentangkan semula untuk mendapat kelulusan Parlimen sekiranya mereka menang.
Ini adalah janji PRU yang tidak melanggar moraliti kerajaan sementara. Ia bukan keputusan dan pelaksanaan dasar kerajaan.
Agak aneh Tricia dan Ideas yang cuba menawarkan diri sebagai badan pemikir adil telah bersikap bias dengan mengelirukan rakyat, seolah-olah janji Perdana Menteri sementara telah menjadi keputusan kerajaan sementara.
Sebagai badan pemikir, Ideas perlu menjadi lebih adil dan bertanggungjawab dalam memberi ulasan, bukannya mencipta kontroversi untuk populariti, atau cuba melakukan favourable kepada parti tertentu di sebalik ulasannya.
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca