AKHIRNYA teka-teki yang kedua sudah pun terjawab sekitar jam 12 tengah hari Khamis lalu. Hari besar demokrasi akan berlangsung pada 19 November, kurang empat minggu dari sekarang, sebagaimana telah diramalkan dalam tulisan-tulisan sebelum... Klik di sini untuk terus membaca

AKHIRNYA teka-teki yang kedua sudah pun terjawab sekitar jam 12 tengah hari Khamis lalu.

Hari besar demokrasi akan berlangsung pada 19 November, kurang empat minggu dari sekarang, sebagaimana telah diramalkan dalam tulisan-tulisan sebelum ini. 10 hari selepas jawapan kepada teka-teki pertama mengenai pembubaran Parlimen.

Tarikh pembubaran untuk pilihan raya umum (PRU) kerusi Dewan Rakyat turut menjadi asas kepada status Dewan Perundangan peringkat negeri, meskipun enam negeri memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya serentak. PRU bagi enam negeri perlu diadakan sebelum September tahun depan.

Pun begitu, masih belum terlewat bagi negeri-negeri terbabit untuk mengadakan PRU serentak. Setiap negeri bebas untuk memutuskan perkara tersebut di bawah semangat perundangan semasa.

Jika diputuskan dalam waktu terdekat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada pilihan untuk menetapkan tarikh PRU negeri-negeri terbabit, dan ia perlu diadakan dalam 60 hari.

Melihat kepada perkembangan mutakhir, saya tidak fikir akan ada pembubaran mengejut dalam waktu terdekat. Jika berlaku ia bakal mencetuskan kekeliruan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat.

KOS LEBIH RM1 BILION

SPR akan menggunakan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini, sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022, yang telah dikemas kini sehingga 9 Oktober lalu.

DPPR bagi PRU15 terdiri daripada 21,173,638 orang pemilih iaitu 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera dan pasangan, 118,794 polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am dan 2,741 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

SPR memperuntukkan RM1.01 bilion bagi menjalankan PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Bugaya, Sabah.

Seramai 363,515 petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK Bugaya yang ditangguhkan ekoran proklamasi darurat awal tahun lepas disebabkan Covid-19.

Ini kali pertama lebih RM1 bilion dibelanjakan untuk menguruskan PRU. PRU pertama 63 tahun lalu, iaitu pada 1959 hanya menyaksikan perbelanjaan sekitar RM1.047 juta ringgit digunakan dengan jumlah pengundi 2.1 juta orang (hanya Semenanjung) ketika itu.

Kos mencecah RM100 juta semasa PRU 2004, 18 tahun yang lalu. Hari ini jumlah itu sudah melebihi RM1 bilion dengan jumlah pengundi 21.1 juta. Dalam PRU15 jumlah pengundi telah meningkat 10 kali ganda.

Sementara cakap-cakap bahawa pilihan raya sudah tidak penting kerana peranan pengundi dan undi-undi yang diberikan serta mandat yang diputuskan oleh mereka sudah tiada nilai terus kedengaran ketika rakyat perlu tampil untuk menunaikan tanggungjawab mereka bulan depan.

Tanggal 19 November adalah hari besar untuk rakyat. Tidak kira siapa mereka hendak menyokong, mereka perlu keluar untuk mengundi dan memilih calon pilihan mereka.

Lebih RM1 bilion yang akan dibelanjakan untuk tujuan pengurusan pilihan raya merupakan wang rakyat. Wang pembayar cukai, yang kita merupakan sebahagian daripada ekosistem itu.

Jumlah yang besar akan dibelanjakan untuk menguruskan segala proses pilihan raya demokrasi, termasuklah bagi tujuan penamaan calon, mengambil pekerja-pekerja sementara pilihan raya, memantau kempen pilihan raya, mengurus hari pengundian (sebenar dan awal), dan pengiraan undi serta pengumuman keputusan pilihan raya.

Pengundi mempunyai masa sebulan menjelang hari mengundi. Satu tempoh yang mencukupi untuk membuat persiapan sebelum melangkah ke pusat mengundi kelak.

Terutama mereka yang perlu bergerak ke pusat mengundi, sama ada pergerakan dalam negara ataupun bagi mereka yang bekerja di luar negara. Setiap pengundi perlu keluar mengundi.

Secara purata setiap pengundi akan mempunyai bahagian sumbangan mereka sekitar RM48 untuk merealisasikan PRU15 kerusi Dewan Rakyat dan DUN bagi tiga negeri. Dua pertiga atau 64 peratus rakyat Malaysia merupakan pengundi berdaftar.

Satu bilion ringgit adalah wang kita. Ia bukan satu jumlah yang kecil. Kita perlu menunaikan tanggungjawab demi menentukan masa depan negara dengan memilih anggota Dewan Perundangan yang selayak-layaknya. Jangan sama sekali bazirkan dana negara.

Ketika peratusan keluar mengundi diramal akan lebih rendah berbanding ketika PRU14, tekad dan iltizam untuk keluar mengundi perlu dipertingkatkan.

* Dr G Manimaran ialah penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

Klik di sini untuk terus membaca