KOTA KINABALU - Kekeliruan pengundi untuk memilih calon di kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlaku disebabkan keadaan politik yang dilihat masih kucar-kacir ketika ini.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, pengundi keliru disebabkan dua perkara iaitu mengenai kerusi panas dan juga berlaku pertembungan susulan pengumuman Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan komponen parti itu akan bertanding di 191 kerusi Parlimen kecuali di Sarawak.
"Selain itu di Tuaran dan kita kena ingat bahawa Parlimen itu diwakili oleh Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan kelihatan parti-parti tertentu ingin menentang penyandang kerusi berkenaan.
"Begitu juga kerusi Pensiangan yang disandang Datuk Arthur Joseph Kurup yang dijangka akan mempertahankan kerusi di situ jadi mungkin akan ada pertembungan antara BN dan ini memperlihatkan senario di mana kerusi itu boleh dianggap hot seat.
"Kerusi Tambunan dahulunya berlaku pertembungan antara dua beradik, jadi itu yang setakat ini yang kita nampak ketara sebagai hot seat selain Semporna, Kinabatangan dan beberapa kerusi di pantai barat," katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan kerusi milik BN pada PRU14 yang telah beralih kepada parti lain juga akan menjadi rebutan semula oleh BN sendiri.
"Beaufort dan Sipitang, itu juga adalah hot seat disebabkan perpindahan parti maka ia akan menjadi rebutan termasuk di Kudat.
"Di Kimanis juga, memandangkan Parlimen ini baru dimenangi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) lepas jadi itu juga boleh dianggap hot seat," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, jika keadaan itu terus berlaku kemungkinan pertembungan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN akan menyebabkan kekeliruan kepada pengundi.
Klik di sini untuk terus membaca