SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka memberikan peluang kepada pengundi untuk menerima pelbagai tawaran menarik daripada parti politik di dalam negara. Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka memberikan peluang kepada pengundi untuk menerima pelbagai tawaran menarik daripada parti politik di dalam negara.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, perkembangan itu selari dengan pertambahan parti dan gabungan yang bersaing kali ini.

Beliau berkata, tiga gabungan utama iaitu BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) juga masing-masing sudah mempunyai pengalaman mentadbir sama ada di peringkat negeri mahu pun pusat.

Dalam pada itu, Mohammad Tawfik berkata, pada PRU kali ini, gabungan politik meliputi PH dan PN dan Gerakan Tanah Air (GTA) dilihat perlu menawarkan manifesto yang mampu menyaingi Bajet 2023 yang dibentangkan baru-baru ini.

Katanya, manifesto ditawarkan kepada rakyat dijangka sukar menarik perhatian pengundi sekiranya ia gagal bersaing dengan Bajet 2023 yang disifatkan beliau sebagai satu ‘manifesto BN’.

Mohammad Tawfik berkata, antara tawaran dijangka mendapat perhatian antaranya penghapusan hutang lapuk membabitkan peserta di bawah daerah pembangunan kerajaan kerajaan seperti Felcra dan juga hutang pendidikan tinggi yang ditanggung golongan muda.

Dari segi pentadbiran pula, beliau berkata, janji penawaran yang dilihat boleh menarik pengundi adalah seperti penetapan tempoh had perdana menteri, kaedah kawalan harga barang dan penyelesaian isu pelantikan hakim bagi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara.

Beliau bagaimanapun berkata, parti politik dijangka akan mengemukakan lebih banyak tawaran menjelang hari penamaan calon.

Dalam pada itu, Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, disebabkan musim PRU berdekatan sesi Bajet 2023, parti dijangka memberi fokus kepada isu ekonomi.

Bagaimanapun, beliau berkata, dengan mengambil kira keadaan kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan, parti politik dijangka mengalami kekangan untuk menawarkan manifesto bagai ‘bulan dan bintang’.

"Lebih-lebih lagi, apabila pengundi semakin rasional menilai manifesto yang munasabah atau retorik,” ujarnya.

Anis menambah, manifesto yang melibatkan tadbir urus mahupun reformasi institusi dijangka sukar mendapat sambutan hangat apabila kerajaan di bawah PH sendiri sebelum ini dilihat mengalami kesukaran melaksanakannya.

"Namun, masih ada harapan parti-parti ini akan mengemukakan tawaran segar dalam menyelesaikan isu sebelum ini kurang mendapat sambutan seperti isu alam sekitar dan bencana alam,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca