DALAM Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Ipoh pada Khamis, Pengerusi koalisi itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menamatkan teka-teki mengenai kerusi Parlimen yang bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Spekulasi menyelubungi hala tuju Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sejak sebulan lalu akhirnya terjawab apabila Anwar mengumumkan beliau bakal beralih kerusi daripada Parlimen Port Dickson ke Parlimen Tambun.
Lebih menarik, buat pertama kali dalam sejarah PH, koalisi itu secara rasmi turut menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya pada PRU yang sah diadakan 19 November ini.
Hakikatnya, persoalan Anwar bakal bertanding di salah satu kerusi pengkhianat PH dan PKR sememangnya menjadi 'gosip panas' dalam kalangan rakyat selama ini.
Hal ini memandangkan rakyat lebih berminat menyaksikan kemungkinan pertembungan beliau dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini bernaung di bawah Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Gombak.
ANWAR CUBA ULANGI KEJAYAAN SENSASI KIT SIANG
Justeru, apabila Anwar bertindak memilih kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 untuk bertembung dengan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, majoiriti pihak skeptikal dengan keputusan 'nekad' itu.
Anwar pula sewaktu mengumumkan hasrat bertanding di kerusi Tambun menjelaskan keputusan berkenaan berlandaskan tekad menjadikan Perak sebagai negeri barisan hadapan dalam perjuangannya kali ini.
Hakikatnya, Anwar cuba mengulangi momentum kejayaan bekas Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mencipta kejutan terbesar pada PRU13 apabila menumbangkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman di Parlimen Gelang Patah (kini Iskandar Puteri).
Kit Siang sebelum itu merupakan penyandang kerusi Parlimen Ipoh Timur di Perak dan bertanding di Johor buat pertama kali dalam usaha membantu Pakatan Rakyat (PR) merampas Johor daripada tangan Barisan Nasional (BN).
Hasilnya, Abdul Ghani yang dianggap antara figura Menteri Besar Johor terbaik dan calon paling sesuai mengenepikan pengaruh Kit Siang, akhirnya tewas mengejut dengan majoriti besar 14,672 undi.
SUNTIKAN SEMANGAT PH DI PERAK
Ramai pemerhati politik percaya keputusan 'kamikaze' Kit Siang itu sebenarnya merupakan batu asas kepada kejayaan PH menawan Johor pada PRU14, dengan koalisi itu buat pertama kali berjaya membentuk kerajaan negeri.
Oleh itu, dalam menyelami strategi Anwar memilih kerusi Tambun, sudah pasti kehadiran beliau ke Perak cuba menyuntik lonjakan semangat kepada PH untuk merampas kembali negeri berkenaan setelah memenanginya buat kali pertama pada PRU12.
"Perlu diingat pada setiap PRU selepas PRU12, komposisi kedudukan keseluruhan 59 DUN Perak dimenangi UMNO-BN dan PH adalah sangat sengit. Kalau tidak 30-29, pastinya Pas (PN) pula jadi kingmaker dengan menang satu atau lebih kerusi DUN.
"Jadi kehadiran Anwar ke Perak bukan sekadar untuk memenangi semula kerusi Tambun daripada tangan 'pengkhianat'. Sebaliknya beliau ada tugas berat mengulangi impak Kit Siang di Johor, dengan memastikan kedudukan DUN Perak tidak lagi tergantung selepas PRU15.
"Dengan adanya pengaruh Anwar di Perak, lonjakan undi PH pastinya membantu PH menamatkan badi DUN Perak 'tergantung' dengan jangkaan kemenangan 39 kerusi DUN," dedah Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kepada Sinar Premium.
DUN MAJORITI TIPIS
Berdasarkan semakan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 12 DUN Perak dikenal pasti dimenangi penyandang kerusi berkenaan daripada pelbagai parti dengan undi tipis di bawah majoriti 1,000.
12 kerusi DUN berkenaan adalah Selama (289 undi); Kuala Sepetang (329 undi); Manong (571 undi); Chenderiang (39 undi); Behrang (409 undi); Kubu Gajah (180 undi); Titi Serong (140 undi); Selinsing (97 undi); Lubuk Merbau (409 undi); Bukit Chandan (464 undi); Hutan Melintang (741 undi) dan Changkat Jong (67 undi).
Daripada keseluruhan kerusi 'panas' berkenaan, hanya DUN Behrang, Chenderiang, Titi Serong dan Hutan Melintang dimenangi PH pada PRU14, walaupun DUN Chenderiang dan Titi Serong kemudiannya berpindah milik kepada PN dan wakil rakyat bebas.
Di peringkat Parlimen pula, terdapat empat kerusi dimenangi penyandangnya dengan majoriti tipis bawah 1,000 undi iaitu Bagan Serai (PN), Lumut (PH), Tapah dan Kuala Kangsar (BN).
Berikutan itu, pandangan Mohammad Nizar itu sebenarnya berasas memandangkan unjuran tambahan sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN majoriti tipis kepada PH dengan bantuan lonjakan impak Anwar, pastinya membolehkan PH membentuk kerajaan stabil.
Unjuran Mohammad Nizar itu pula hanya menjadi realiti dengan syarat keseluruhan 29 kerusi DUN dimenangi PH pada PRU14 dapat dipertahankan pada PRU15.
"Saya percaya aura Anwar bukan sahaja akan dirasai dua pengundi DUN di bawah Parlimen Tambun semata-mata, bahkan ia mampu melingkari mood keseluruhan pengundi negeri Perak terutama 10 kerusi DUN majoriti tipis dan tiga kerusi Parlimen termasuk Tapah dan Kuala Kangsar.
"Keberanian Anwar untuk bertanding di kerusi mencabar juga bakal memberi isyarat kepada semua calon heavyweight dalam PH bahawa mereka juga perlu mencontohi beliau untuk mencuba nasib bertanding di kerusi sengit dan kritikal kali ini.
"Sama ada di peringkat Pusat mahu pun negeri, PRU15 adalah merupakan pilihan raya paling getir dalam sejarah PH. Justeru, kita pastinya mahukan semua calon terbaik untuk bertanding di kerusi 50-50," ujar Mohammad Nizar lagi.
POSISI PENGUNDI TAMBUN
Mengambil kira komposisi pengundi Parlimen Tambun meliputi pengundi Melayu (65.8 peratus), Cina (23.7 peratus), India (sembilan peratus) dan lain-lain (1.5 peratus), tidak hairanlah Anwar menjadikan kerusi berkenaan sebagai sasaran utama PRU15 kerana ia merupakan gambaran komposisi keseluruhan rakyat Malaysia sebenar.
Persoalan sama ada Anwar mampu mengulangi magis Kit Siang sekali gus menjadi 'game changer' terhadap peluang PH di Perak mahu pun Putrajaya, segalanya terletak di tangan 21.17 juta pengundi berdaftar untuk membuat pilihan terbaik pada 19 November hadapan.
Klik di sini untuk terus membaca