SHAH ALAM - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Adam Adli Abd Halim tidak berkecil hati jika namanya tiada dalam senarai calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. Bekas aktivis sosial dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Adam Adli Abd Halim tidak berkecil hati jika namanya tiada dalam senarai calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Bekas aktivis sosial dan pelajar itu menegaskan beliau enggan mengambil pusing dan menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan PH terutama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan sama ada namanya tersenarai atau tidak.

Apa yang penting sekarang, kata Adam Adli, beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab besar untuk membantu usaha menarik kembali sokongan rakyat kepada PH pada PRU15 nanti.

"Kalau nama saya tiada dalam senarai nama calon PH yang bakal diumumkan saya akan meneruskan tugas seperti biasa.

"Tambahan pula, ini adalah tugas dan pengalaman pertama saya sebagai Ketua AMK untuk membantu kempen PH dalam pilihan raya umum.

"Bagi saya tidak timbul isu kecil hati jika nama tidak tercalon kerana saya fikir semua itu adalah perkara normal berlaku dalam politik dan parti akan membuat keputusan terbaik," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Adam Adli berkata beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab besar untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada PH pada PRU15 nanti.

Adam Adli berkata demikian menjawab khabar angin bahawa namanya mungkin tidak tersenarai sebagai calon PKR dan PH pada PRU15 ini kerana bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkenaan bukan 'orang' Timbalan Presiden merangkap Pengarah Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli yang bertanggungjawab dalam pemilihan calon parti itu.

Sebelum ini, terdapat spekulasi mendakwa beberapa nama besar seperti penyandang kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung); bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Adam Adli sendiri tidak tersenarai sebagai calon PKR pada PRU15 nanti kerana tidak sealiran dengan Rafizi.

"Saya pun banyak baca mengenai khabar angin berkenaan di media sosial tetapi setakat ini dakwaan berkenaan hanya berbentuk spekulasi dan tidak betul.

"Bagi saya bukan pelik jika ada penyandang kerusi sedia ada yang tidak tersenarai semula sebagai calon pada PRU kerana atas sebab tertentu misalnya gagal melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik atau mungkin parti nampak ada pemimpin lebih bagus untuk diketengahkan selaku calon di kawasan berkenaan.

"Kuasa menentukan siapa menjadi calon dalam PRU15 adalah kuasa Presiden PKR dan beliau juga boleh menyerahkan kepada jawatankuasa tertentu untuk mengenal pasti calon terbaik dan membuat keputusan siapakah calon terbaik untuk mewakili PH.

"Itu adalah satu proses panjang dan kita kena faham proses pemilihan calon dalam sesebuah parti politik," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca