NAMPAKNYA masing-masing tidak mahu kalah. Sama ada BN mahupun Pakatan Harapan (PH), kedua-duanya sudah mengumumkan keputusan untuk memasukkan satu perkara khusus dalam manifesto iaitu peruntukkan jawatan timbalan perdana menteri (TPM)... Klik di sini untuk terus membaca

NAMPAKNYA masing-masing tidak mahu kalah. Sama ada BN mahupun Pakatan Harapan (PH), kedua-duanya sudah mengumumkan keputusan untuk memasukkan satu perkara khusus dalam manifesto iaitu peruntukkan jawatan timbalan perdana menteri (TPM) kepada wakil dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Oleh hal yang demikian, kita ingin bertanya kembali, di manakah rasionalnya untuk melantik sehingga tiga orang TPM dalam kabinet Malaysia lebih-lebih lagi apabila jawatan ini tidak pun disebut di mana-mana bahagian Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang utama Malaysia. Ia mengandungi 183 Perkara dan merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang dibentuk berasaskan dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957.

Selepas merdeka, hasil daripada Suruhanjaya Reid yang melakukan kajian pada tahun 1956, maka Perlembagaan Persekutuan pun berkuat kuasa. Di bawah Perkara 43 (1) dengan judul Jemaah Menteri menyebut, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam menjalankan fungsinya (fungsi selaku ketua negara).

Manakala di bawah Perkara 43 (2) menyatakan; Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut iaitu;

(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik perdana menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu dan;

(b) Atas nasihat perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen (Dewan Rakyat atau Dewan Negara).

Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan pula menyebut, Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.

Manakala Perkara 43 (6) menyebut, anggota Jemaah Menteri ini hendaklah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 43A (1) secara spesifik menjelaskan pelantikan timbalan-timbalan menteri dari kalangan mana-mana anggota Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Perkara 43C pula menyebut tentang keperluan melantik setiausaha politik yang tidak semestinya dari kalangan anggota Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara.

Seterusnya Perlembagaan Persekutuan menyebut secara terperinci berhubung pelantikan ahli Dewan Rakyat dan Negara termasuk jumlah yang diperuntukkan setiap negeri.Sehingga selesai semua perkara ini disebut, tidak ada satu bahagian pun dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan perihal pelantikan seorang TPM apatah lagi dua atau tiga orang mengikut negeri.

Pendek kata, tidak ada peruntukkan untuk mewujudkan jawatan ini menurut Perlembagaan Persekutuan. Jadi bagaimanakah jawatan berkenaan boleh tercipta?

Asal-usul TPM

Penulis pernah menulis secara panjang lebar berhubung perkara tersebut ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri sebaik sahaja kerajaan PH tumbang 22 bulan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ia bagi menjelaskan kenapa beliau tidak melantik seorang TPM untuk membantu tugas perdana menteri.

Untuk rekod, Muhyiddin hanya melantik TPM iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kurang lebih sebulan sebelum meletak jawatan. Sebelum itu, beliau hanya sekadar melantik menteri kanan.

Ismail Sabri yang mengganti tempat Muhyiddin pada Ogos 2021, turut mengosongkan kerusi TPM dan mengekalkan menteri-menteri kanan ini sehinggalah beliau membubarkan Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Jadi Muhyiddin ialah Perdana Menteri terakhir yang melantik TPM.

Mengikut sejarah, jawatan ini diwujudkan asalnya khusus buat Tun Abdul Razak Hussien membantu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjalankan tugas-tugas mentadbir negara.

Tun Razak selepas itu meneruskan tradisi tersebut dengan melantik Tun Dr Ismail Abdul Rahman (yang meninggal dunia ketika dalam jawatan), selepas itu Tun Hussein Onn sebagai TPM dan Hussein, kemudian melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai TPM.Dr Mahathir yang menyandang jawatan Perdana Menteri paling lama dalam sejarah iaitu hampir 22 tahun meneruskan konvensyen ini dengan melantik Tun Musa Hitam sehinggalah Musa meletak jawatan dan kemudian diikuti Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan yang terakhir Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila beliau kembali memerintah buat kali kedua.

Abdullah ketika menjadi Perdana Menteri meneruskan tradisi ini dengan melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai TPM dan Najib pula ketika menyandang kerusi Perdana Menteri, melantik Muhyiddin sebagai TPM, sebelum memecat Muhyiddin dan menggantikannya dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jika kita sedar dan perhatikan betul-betul, sebab itulah seorang TPM perlu pada masa yang sama menyandang satu jawatan menteri. Ini bagi membolehkan beliau secara sah menjadi anggota Jemaah Menteri dan menghadiri mesyuarat mingguan kabinet.Jika beliau hanya menyandang jawatan TPM, beliau tidak boleh menghadiri mesyuarat mingguan kabinet kerana jawatannya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan sekali gus tidak mengangkat sumpah sebagai menteri dan sumpah simpan rahsia.

Ini sangat besar akibatnya kerana jika seorang TPM menyertai mesyuarat kabinet tanpa menjadi anggotanya terlebih dahulu, sebarang keputusan yang diambil oleh kerajaan akan menjadi tidak sah di sudut undang-undang.

Oleh hal yang demikian, seorang TPM wajib terlebih dahulu menjadi anggota Jemaah Menteri seperti yang disebut di bawah Perkara 43 (2)(b).

Sedangkan seorang perdana menteri tidak semestinya wajib menyandang apa-apa jawatan menteri kerana jawatan disandang itu secara spesifik disebut dan dinyatakan di bawah Perkara 43 (2)(a) yang menjadikannya sebahagian daripada Jemaah Menteri. Perkara ini sebaliknya tidak boleh diguna pakai untuk TPM kerana pelantikannya tidak disebut dalam Perlembagaan Negara.

Maka seorang TPM secara tunggal atau hakiki bukanlah sebahagian daripada anggota Jemaah Menteri, melainkan beliau terlebih dahulu mengangkat sumpah sebagai anggota Jemaah Menteri.

Kini, isu berkaitan jawatan ini sekali lagi mendapat perhatian semula selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diikuti oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan yang mereka akan mewujudkan semula jawatan ini jika menang dalam PRU15, 19 November nanti.

Mereka bukan sahaja berjanji mewujudkan semula jawatan ini, sebaliknya memberi jaminan melantik tiga orang TPM mewakili Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Hasrat berkenaan dikukuhkan dengan kenyataan mereka bahawa ia akan dimasukkan ke dalam manifesto masing-masing. Ironinya ialah Anwar membuat janji itu selepas memberi jaminan akan mengecilkan saiz Jemaah Menteri dan akan melakukan potongan gaji serta elaun perdana menteri jika berjaya membentuk kerajaan.

Pertanyaan kita ialah bagaimanakah ini semua dilakukan jika beliau berhasrat mewujudkan jawatan TPM?

Bersama-sama jawatan itu akan dituruti dengan penambahan gaji, elaun-elaun lain, keistimewaan tertentu seperti kediaman rasmi, penambahan polis pengiring, pengawal peribadi dan penggunaan jet eksekutif ketika melakukan lawatan dan kerja rasmi sama ada di dalam atau luar negeri.

Ini belum diambil kira pertambahan staf sokongan kerana mereka bukan sahaja menjadi menteri tetapi turut bergelar Yang Amat Berhormat (YAB) Timbalan Perdana Menteri.

Di negara kita hanya ada empat pemimpin yang bergelar YAB. Pertama ialah Perdana Menteri; kedua, Menteri Besar; ketiga Ketua Menteri dan yang terakhir Timbalan Perdana Menteri.

Bersama gelaran YAB itu, muncullah keistimewaan-keistimewaan lain sepertimana yang disebut di atas.

Jadi di manakah kabinet jimat cermat yang diuar-uarkan melainkan esok atau lusa mereka yang berhasrat menambah jawatan yang tiada dalam perlembagaan ini mahu mengisytiharkan pula, penyandang jawatan TPM tidak diberi keistimewaan yang selama ini dinikmati — demi rakyat, demi negara.

Klik di sini untuk terus membaca