MENJELANG tempoh dua minggu sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 5 November ini, semua parti politik secara umumnya sudah menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing ke tahap gear lima. Tidak kira sama ada... Klik di sini untuk terus membaca

MENJELANG tempoh dua minggu sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 5 November ini, semua parti politik secara umumnya sudah menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing ke tahap gear lima.

Tidak kira sama ada blok parti itu adalah BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu pun Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kesemua koalisi tersebut telah mengemukakan tawaran pilihan raya masing-masing bagi menambat hati sejumlah 21.17 juta pemilih berdaftar pada 19 November nanti.

Namun, PRU15 dilihat unik kerana dua koalisi politik terbesar negara iaitu BN dan PH menawarkan jawatan timbalan perdana menteri (TPM) kepada Sabah dan Sarawak, sebagai usaha memancing sokongan rakyat negeri itu terhadap koalisi masing-masing. Pada Sabtu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan tiga slot untuk jawatan TPM termasuk pemimpin dari Sabah dan Sarawak, sekiranya parti itu berjaya menubuhkan kerajaan selepas memenangi PRU15.

Ironinya, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu program parti itu di Sandakan, Sabah turut menjanjikan pelantikan dua pemimpin dari Semenanjung dan Sabah-Sarawak (Borneo) sebagai TPM jika koalisi itu kembali merampas Putrajaya kelak.

Hakikatnya, inisiatif koalisi politik yang berpusat di Semenanjung, mula menumpukan usaha meraih sokongan pengundi mahu pun parti-parti di Sabah dan Sarawak, berasaskan faktor kedudukan dua negeri kepulauan Borneo itu berpotensi menjadi 'kingmaker' pada pasca PRU15.

Ahmad Zahid (kanan) mewakili BN dan Anwar yang mengetuai PH telah mengemukakan janji tawaran pelantikan lebih daripada seorang TPM termasuk pemimpin Sabah dan Sarawak sekiranya koalisi masing-masing menang PRU15.

Pujuk memujuk secara umumnya, tawaran pemberian jawatan TPM kepada pemimpin Sabah dan Sarawak lebih merujuk kepada usaha memujuk pemimpin koalisi GPS dan GRS untuk menyokong BN atau PH bagi membentuk kerajaan lebih stabil selepas PRU15.

Strategi politik berkenaan dianggap lebih realistik berbanding usaha memancing pengundi negeri Borneo berkenaan untuk mengundi mereka, lebih-lebih lagi pengaruh BN dan PH di sana sebenarnya amat lemah berbanding di Semenanjung.

Ditambah kemungkinan besar tiada koalisi tunggal yang dapat membentuk kerajaan stabil secara bersendirian pasca PRU15, sejumlah 56 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada Sabah (25 Parlimen) dan Sarawak (31 Parlimen) amat penting sebagai kerusi penentu.

"Dengan kedudukan politik di semenanjung ketika ini bersifat 50-50, sudah pasti semua koalisi akan berlumba-lumba menawarkan tawaran politik lumayan terhadap Sabah dan Sarawak termasuk janji pelantikan jawatan TPM daripada negeri-negeri Borneo berkenaan.

"Saya fikir tawaran pemberian jawatan TPM kepada dua negeri Borneo itu adalah wajar dan sepatutnya sudah dilaksanakan lama dahulu bagi menghormati semangat Perjanjian Malaysia Tahun 1963 (MA63),” ujar Pengarah Eksekutif yang juga Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman kepada Sinar Premium.

Tidak mudah

Sama ada tawaran pelantikan jawatan TPM daripada kalangan pemimpin Sabah dan Sarawak mencukupi untuk meraih sokongan dua negeri berkenaan, Mohammad Redzuan mengakui ia tidak semudah itu.

"Tidak hairan mana-mana parti yang memberi lebih jaminan perkongsian kuasa dengan koalisi dominan Sabah dan Sarawak, akan mendapat nilai tambah bagi meraih sokongan mereka.

"Sebagai salah sebuah entiti penting menjayakan MA63, Sabah dan Sarawak sentiasa merasakan mereka tersisih daripada aspek peruntukan pembangunan dan kemajuan negeri berbanding negeri di Semenanjung.

"Justeru, PRU15 nanti sebenarnya merupakan trump card kepada Sabah dan Sarawak untuk mengukuhkan kuasa politik mereka terhadap kerajaan Pusat, dengan syarat rakyat negeri berkenaan bersatu hati menyokong koalisi dominan mereka,” ujar beliau.

Bagaimanapun, penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sarawak, Dick Lembang Dugun menyuarakan kebimbangan terhadap proses perlumbaan koalisi parti menawarkan jawatan TPM kepada Sabah dan Sarawak tidak lebih sekadar gula-gula pilihan raya dan tidak berlandaskan politik keikhlasan.

Jelas beliau, sekiranya BN mahu pun PH komited menjunjung konsep perkongsian kuasa di bawah terma MA63 bersama Sabah dan Sarawak, dua koalisi itu sepatutnya sudah menawarkan jawatan berkenaan sewaktu mereka berkuasa.

Tegas beliau lagi, penawaran jawatan TPM bukan suatu janji politik ‘menggiurkan’ rakyat Sabah dan Sarawak kerana mereka lebih mendambakan agihan royalti minyak dan peruntukan pembangunan negeri lebih adil berbanding negeri-negeri semenanjung.

"Begitu juga rakyat Sabah dan Sarawak yang mahukan hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri dan Pusat yang lebih bersih, berintegriti dan bebas rasuah.

"Apa guna ada TPM daripada negeri Borneo sekiranya pemimpin berkenaan sekadar boneka kepada kerajaan Pusat?

"Tidak salah mana-mana koalisi politik membuat janji sebegini, tetapi realiti konsep perkongsian kuasa, keikhlasan melaksanakan perjanjian MA63 perlu diterjemahkan menjadi kenyataan,” kata beliau lagi.

Klik di sini untuk terus membaca