SHAH ALAM - Kenaikan kos sara hidup dan harga barang ketika ini memerlukan seseorang calon pilihan raya bijak menggerakkan kempen agar kos keseluruhan pilihan raya mereka tidak melebihi RM200,000 seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kenaikan kos sara hidup dan harga barang ketika ini memerlukan seseorang calon pilihan raya bijak menggerakkan kempen agar kos keseluruhan pilihan raya mereka tidak melebihi RM200,000 seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bekas Ahli Parlimen Jempol dari BN, Datuk Seri Mohd Salim Sharif berkata, ia sebagaimana Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 yang menetapkan had maksimum perbelanjaan pilihan raya RM200,000 bagi setiap kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kata Mohd Salim, beliau sendiri membelanjakan wang tidak lebih RM200,000 dalam PRU14 lalu.

"SPR memang menetapkan syarat ketat dari segi had perbelanjaan pilihan raya jadi calon tidak boleh gunakan wang sewenang-wenangnya.

"Bagi saya perbelanjaan RM200,000 mencukupi kerana saya sendiri di Jempol telah jaga rakyat dari tahun 2018 lagi dan bukannya baharu nak dekati pengundi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Mohd Salim, kos pilihan raya dapat diminimumkan apabila kerja-kerja memasang bendera, mengedar risalah dan tugas berkempen dilakukan secara sukarela oleh anak-anak muda dan jentera parti.

"Semua kerja-kerja ini tidak libatkan kos besar sebab ia dilakukan secara sukarela contohnya ramai anak-anak muda tampil ke depan untuk pasang bendera sebab mereka seronok dengan suasana meriah semasa berkempen,” ujarnya.

SPR menetapkan had maksimum perbelanjaan pilihan raya RM200,000 bagi setiap kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi kerusi DUN.

Malah, beliau menjelaskan, dalam PRU14 lalu, BN yang mengeluarkan kos untuk bendera dan risalah manifesto parti.

Katanya, dalam PRU14 lalu beliau hanya mengeluarkan wang untuk sebahagian kos mencetak poster calon kerana separuh ditanggung parti dan kos penyediaan baju kepada jentera kempennya.

"Jadi hampir keseluruhan wang RM200,000 yang saya belanjakan untuk PRU lalu adalah untuk penyediaan poster saya sebagai calon yang bertanding dan untuk penyediaan baju,” tambah beliau.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau juga mematuhi had perbelanjaan yang ditentukan SPR.

"Perbelanjaan pilihan raya yang saya keluarkan sebelum ini hanya libatkan penyediaan bahan atau material kempen sahaja seperti poster, risalah, bendera dan kain rentang, kos minyak kenderaan serta sedikit kos makan dan minum yang jumlahnya lingkungan RM200,000.

"Sebahagian kos-kos penyediaan material itu juga turut ditanggung parti kerana kalau semuanya ditanggung calon mungkin parti tidak akan dapat pilih calon yang terbaik. Sebabnya kadang-kadang calon terbaik bukanlah kaya,” kata beliau.

Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) memberitahu, kos minyak kenderaan turut disediakannya untuk mengangkut pengundi ke pusat pengundian.

"Dalam PRU lalu untuk setiap Parlimen, parti sediakan dalam 10 buah kereta untuk bawa pengundi jadi saya peruntukan tidak banyak iaitu hanya RM30 untuk isi minyak setiap kereta,” jelasnya.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Rosol Wahid turut mengakui tidak membelanjakan lebih daripada RM200,000.

"Kita cuma keluarkan belanja seperti had yang dibenarkan.

"Kos itu juga termasuk minyak kenderaan, makan dan minum,” ujarnya ringkas.

Klik di sini untuk terus membaca