Kekuatan fizikal sebuah negara untuk mempertahankan kedaulatan persempadanan dan kemerdekaannya sebenarnya bermula daripada keutuhan bangsa yang menghuni tanah negara bangsa itu sendiri. Ada yang menyatakan bahawa semangat nasionalisme itu... Klik di sini untuk terus membaca

Kekuatan fizikal sebuah negara untuk mempertahankan kedaulatan persempadanan dan kemerdekaannya sebenarnya bermula daripada keutuhan bangsa yang menghuni tanah negara bangsa itu sendiri.

Ada yang menyatakan bahawa semangat nasionalisme itu sendiri sebenarnya merupakan tunjang kepada penyatuan sebuah negara, dan sebarang percubaan untuk mengaitkannya dengan ras dominan penduduk setempat adalah satu sikap rasis.

Kenyataan ini dalam konteks kewujudan tamadun dari zaman dahulu sehingga hari ini sebenarnya cuba membayangkan dunia ini berada dalam keadaan utopia atau kesempurnaan, yang terbukti tidak pernah dapat dicapai oleh mana-mana negara.

Dalam konteks konflik moden, ras atau puak yang mendominasi sesuatu kawasan akan membentuk pihak yang berkuasa menentukan bagaimana dan ciri apakah pemerintahan yang akan diguna pakai di kawasan tersebut.

Percubaan untuk menidakkan atau menganggap ras adalah faktor yang tidak mempengaruhi atau tidak sepatutnya mencorak sesuatu kerajaan adalah seakan menutup mata kepada realiti global.

Bangsa yang berpegang teguh kepada identiti tersendiri lazimnya tidak akan dapat ditakluk atau dijajah walaupun pelbagai muslihat dilakukan oleh pihak luar untuk melaga-lagakan sesama mereka.

Demografi negara ini yang mempunyai populasi 33.8 juta, menunjukkan pecahan utama adalah 69.6 bumiputera (lebih 60 peratus berbangsa Melayu), 22.8 peratus Cina dan 6.6 peratus berbangsa India.

Menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan (a) lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura atau (b) ia adalah keturunan dari seseorang yang tersebut.

Dengan sistem demokrasi serta perlembagaan berparlimen dan tiada konflik bersenjata sejak Parti Komunis Malaya meletakkan senjata pada 1989, ras Melayu dominan yang telah diberi pelbagai keistimewaan di bawah perlembagaan sepatutnya tidak lagi ‘bersilat’ sesama sendiri dengan kemelut politik hari ini.

Fokus sepatutnya adalah untuk membangunkan bangsa, mewujudkan kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan kesejahteraan serta berkongsi kemewahan antara semua ras yang wujud di negara ini.

Malangnya di negara ini, ras utama lebih mementingkan faktor simbolik untuk melambangkan penguasaan terhadap orang lain dan bangsanya sendiri.

Keris dijulang, tengkolok dikenakan di kepala, zapin ditari, nama pahlawan silam dijulang dan difilemkan, namun apakah semua itu bakal menjamin masa hadapan negara bangsa?

Kajian pada 2018 menunjukkan Melayu mendahului senarai penagih dadah paling ramai iaitu 80.6 peratus.

Ribuan orang Melayu terlibat dalam perjudian di dalam 65 kelab judi yang dilesenkan dan 45 peratus darinya terdiri daripada orang Melayu.

Mat Rempit yang terdiri daripada golongan muda, khususnya remaja lelaki yang berumur 15 hingga 28 tahun dan majoriti mereka adalah Melayu.

Penyakit kronik seperti rasuah dan salah guna kuasa dilihat semakin merebak dalam kalangan mereka yang telah diberi kepercayaan dan amanah untuk memacu negara dan sebahagian besar penerimanya adalah penjawat awam.

Parti yang berkonsepkan bangsa serta agama juga dengan tidak segan silu menyatakan bahawa merekalah yang bertindak memulakan langkah untuk merobohkan kerajaan yang dianggap mereka tidak ‘cukup Melayu’, tanpa mempedulikan bahawa yang digulingkan itu adalah juga mereka yang memenuhi Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia sebagai orang Melayu.

Penulis tertarik dengan satu poster pilihan raya yang terpampang hari ini di sebuah negeri dengan tajuk "Ayor bukan Ayaq” yang merujuk kepada tindak balas terhadap kemahuan sebuah parti mencalonkan wakil berasal dari negeri lain bertanding melawan calon tempatan.

Ia merupakan sindiran sinis yang jelas menunjukkan bahawa walaupun kedua-dua calon menepati kriteria Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia sebagai orang Melayu, namun sentimen kenegerian dan kepartian politik dimainkan secara negatif.

Kewujudan poster, pelekat dan pakaian yang menonjolkan sentimen kenegerian juga turut tersebar luas dengan penggunaan perkataan bangsa negeri menggantikan bangsa Melayu.

Lebih mengecewakan, setelah 66 tahun merdeka, mereka yang memegang tampuk pemerintahan negara ini masih gagal memenuhi semua perkara yang termaktub di dalam tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang telah dipersetujui sebelum merdeka.

Perpecahan dalaman seperti inilah selalunya bakal meruntuhkan negara bangsa.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca