SHAH ALAM - Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebenarnya merupakan jawatan yang tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebenarnya merupakan jawatan yang tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, hanya pelantikan jawatan Perdana Menteri (PM) dan jemaah menteri yang terkandung dalam Bab 3 Badan Eksekutif Perkara 43 Jemaah Menteri dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Seterusnya atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri-menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen. Jadi memang tiada jawatan untuk TPM,” katanya kepada Sinar Harian.

Media pada Ahad melaporkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menawarkan manifesto sama iaitu mahu mewujudkan tiga jawatan TPM sekiranya gabungan mereka dipilih menerajui kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan agar tiga jawatan TPM dimasukkan dalam manifesto BN Sabah manakala Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH akan mengekalkan cadangan sebelum ini supaya tiga jawatan TPM diwujudkan.

Bagaimanapun, Setiausaha Akhbar kepada Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah kemudian menjelaskan Presiden PKR itu hanya mengumumkan dua bukan tiga jawatan TPM iaitu membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo).

Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal yang juga Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN) menjelaskan, pelantikan TPM sudah menjadi amalan di negara ini sejak merdeka dan dalam Perlembagaan amalan itu dipanggil sebagai konvensyen.

"Sejak pentadbiran PM pertama lagi, Tunku Abdul Rahman telah melantik TPM iaitu Tun Abdul Razak Hussein yang menjadi TPM pertama dalam sejarah negara.

"Amalan ini dilakukan setiap kali PRU iaitu apabila kerajaan baharu dipilih atau setiap kali pertukaran PM,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Nik Ahmad Kamal berkata, Perdana Menteri Ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan pembaharuan tidak melantik TPM dalam pentadbirannya, namun berubah fikiran dengan meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke jawatan itu sebelum Perikatan Nasional tumbang.

Ditanya mengenai cadangan diwujudkan tiga jawatan TPM sekali gus, Nik Ahmad Kamal berpendapat ia satu pembaziran jika saiz jemaah menteri juga besar.

"Jadi kalau misalnya nak wujudkan tiga jawatan TPM, kena ambil kira jumlah jemaah menteri yang bersesuaian supaya ia tidak ramai sangat hingga berlakunya pembaziran.

"Setakat ini berdasarkan konvensyen yang diamalkan tidak ada peraturan khusus yang menentukan berapa jawatan TPM itu boleh diwujudkan,” tambah beliau.

Klik di sini untuk terus membaca