MENTERI Negara bagi Tenaga Manusia Singapura, Gan Siow Huang baru-baru ini menyatakan di Parlimen bahawa majikan dan pekerja harus mengamalkan minda fleksibel untuk bekerja selama empat hari dalam tempoh seminggu.
Ketika menjawab soalan seorang anggota Parlimen, Melvin Yong yang mewakili Radin Mas sama ada sudah ada kajian dilakukan oleh pihak ketiga untuk mengkaji kebolehlaksanaan bekerja selama empat hari itu, Huang berkata, cara tersebut mungkin berkesan untuk sebahagian majikan dan pekerja.
Menurutnya, ia merupakan salah satu daripada jenis pengaturan kerja yang fleksibel dan kementerian bersama rakan sekerja tiga pihak sangat menggalakkan majikan serta pekerja untuk berfikiran terbuka kepada pengaturan kerja itu.
Kenyataan Menteri itu dibuat di Parlimen selepas satu tinjauan pendapat yang dilakukan oleh Milieu Insight pada bulan Julai lalu menunjukkan tujuh daripada 10 pekerja di negara tersebut mahukan waktu bekerja selama empat hari seminggu.
Beberapa syarikat di Singapura sudah pun bereksperimen dengan melaksanakan tempoh bekerja yang lebih pendek, menurut laporan itu.
Selepas pandemik Covid-19 melanda dunia pada tahun 2019 dan 2020 yang mengakibatkan lebih lima juta orang meninggal dunia, jenis pengaturan kerja secara fleksibel menjadi perhatian sejak kebelakangan ini dengan berjuta-juta orang bekerja dari rumah.
Penggunaan teknologi yang pesat seperti penggunaan komputer dan apilkasi Zoom, Google Meet dan persidangan video telah membantu kerja-kerja dari rumah dilakukan ketika pertemuan secara bersemuka di pejabat tidak dibenarkan semasa era pandemik Covid-19 masih 'bermaharajalela'.
Perbicangan mengenai kependekan waktu bekerja telah meningkat di seluruh dunia dan badan penyiaran British, BBC telah melaporkan bahawa banyak firma British telah mengambil bahagian dalam ekperimen bekerja selama empat hari dan menyatakan tentang kemungkinan akan menjadikan skim tersebut kekal selepas projek perintis itu berakhir.
Ekperimen bekerja selama empat hari juga dilakukan di beberapa negara seperti Amerika Utara, Ireland, Australia dan New Zealand.
Persoalannya adakah pelaksanaan bekerja selama empat hari seminggu itu akan menguntungkan Singapura kerana penduduk di pulau itu sangat rajin bekerja sehingga ia pernah disenaraikan sebagai bandar kedua paling banyak bekerja dalam kajian ke atas 40 bandar global pada tahun 2019.
Malah pada tahun 2021, menurut indeks yang dikeluarkan oleh Kisi's Global Work-Life Balance Index 2021 penduduk Singapura bekerja terlalu kuat di dunia dan menduduki tempat kedua di belakang Hong Kong tetapi bagi tahun 2022, ia menduduki tempat keempat.
Menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura pada tahun lalu, ekonomi republik tersebut berkembang sebanyak 7.6 peratus setelah mengalami penguncupan 4.1 peratus pada tahun 2020 dan diunjurkan berkembang 3.0 hingga 4.0 peratus pada tahun ini.
Justeru, setakat ini, kerajaan Singapura masih belum melaksanakan secara wajib pelaksanaan bekerja selama empat hari seminggu tetapi portal berita CNA pada 15 Oktober lalu melaporkan terdapat pekerja tempatan di republik tersebut menyukai skim bekerja cara baharu itu.
Menurut seorang pekerja dalam artiket tersebut, ketika ini dia perlu bekerja selama 12 jam sehari dalam tempoh lima hari seminggu dan memerlukannya memeriksa e-mel pada hari minggu kerana 'pekerjaan tidak pernah habis'.
Berikutan tindakan kerajaan menggalakakan majikan dan pekerja bekerja selama empat hari seminggu, seorang Profesor Madya, Jason Tan di Institut Pendidikan Negara Singapura turut mempersoalkan jika Singapura semakin maju, adakah pelajar dan guru masih memerlukan lima hari di sekolah termasuk melakukan aktiviti lain pada setiap minggu?
Menurutnya, ketika Singapura memikirkan keperluan untuk jadual kerja yang lebih fleksibel, minggu persekolahan selama empat hari seminggu adalah satu perkara yang perlu dipertimbangkan lagi.
Buat masa ini, institusi pendidikan terkenal republik itu, Raffles Institution, minggu persekolahan adalah lebih pendek untuk pelajar-pelajar kolej rendah.
Pelajar Tahun 5 dan Tahun 6 telah menikmati apa yang dipanggil sebagai hari jurang pada setiap Rabu sejak awal tahun 2021 iaitu hari tanpa pembelajaran seperti biasa tetapi mereka melakukan aktiviti kokurikulum, perundingan dengan guru-guru atau malah mengejar masa rehat peribadi.
Namun, persoalannya jika sekolah empat hari dilaksanakan adakah ia akan menjejaskan kualiti pembelajaran di republik itu yang merupakan antara terbaik di dunia dengan pelajar-pelajarnya secara konsisten mendapat markah hampir teratas dalam kedudukan pendidikan di negara Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Penyelidikan menunjukkan bahawa kesan minggu persekolahan empat hari terhadap prestasi akademik pelajar kelihatan bercampur-campur.
Menurut Tan, pada awal tahun ini, petisyen awam yang menyeru sekolah di England menjadikan Jumaat sebagai hari cuti telah mendapat lebih 148,000 tandatangan kerana ia menyebut keperluan untuk membenarkan kanak-kanak menghabiskan hujung minggu yang lebih lama untuk mengurangkan tekanan berkaitan dengan sekolah.
Namun, dalam jawapan di Parlimen, Jabatan Pendidikan Singapura menyatakan bahawa ia tidak berhasrat untuk berbuat demikian kerana murid akan kehilangan 38 hari persekolahan secara purata pada setiap tahun akademik. – Agensi
Klik di sini untuk terus membaca