Sejak Revolusi Industri pada kurun ke-18, suhu bumi telah meningkat sekitar 1.50 celcius yang menyumbang kepada lebih banyak fenomena cuaca ekstrem seperti gelombang haba, kemarau, siklon, ribut salji dan hujan ribut pada kadar yang lebih... Klik di sini untuk terus membaca

Sejak Revolusi Industri pada kurun ke-18, suhu bumi telah meningkat sekitar 1.50 celcius yang menyumbang kepada lebih banyak fenomena cuaca ekstrem seperti gelombang haba, kemarau, siklon, ribut salji dan hujan ribut pada kadar yang lebih kerap dengan intensiti yang lebih kuat.

Iklim yang berubah dengan pantas kini turut mengancam masa depan dan hak asasi kanak-kanak. Mungkin banyak pihak tidak menyedari hakikat kanak-kanak juga turut terkesan dengan perubahan iklim serta kemerosotan alam sekitar. Saiz badan yang kecil membuatkan badan mereka gagal untuk meregulasi haba dengan baik, berisiko mendapat jangkitan penyakit disebabkan sistem imunisasi yang masih belum mantap selain tahap kesihatan yang mudah merosot dan mengambil tempoh yang panjang untuk kembali sihat.

Kanak-kanak berisiko terhadap kesan langsung perubahan iklim seperti banjir dan ribut, yang mana mereka terdedah kepada peningkatan risiko kecederaan, kematian, kehilangan atau pemisahan daripada penjaga dan mengalami kesihatan mental. Kadar gejala gangguan tekanan pasca trauma yang tinggi turut ditemui pada kanak-kanak berikutan bencana berkaitan cuaca, termasuk ribut taufan.

Kajian mendapati bencana iklim seperti banjir, gelombang haba dan kemarau menyebabkan lebih separuh daripada ratusan penyakit berjangkit termasuk malaria dan kolera menjadi lebih buruk kalangan kanak-kanak. Natijahnya, kanak-kanak di negara termiskin di dunia yang telah sedia terbeban dengan pelbagai penyakit merupakan golongan paling ramai dipengaruhi oleh perubahan iklim.

Pada tahun 2030, perubahan iklim diunjurkan menyebabkan 48,000 kematian tambahan yang disebabkan oleh penyakit diarea pada kanak-kanak berumur 15 tahun, terutamanya di Asia dan Afrika sub-Sahara. Golongan kanak-kanak juga lebih terdedah kepada kesan sekunder pemanasan global, misalnya penyakit Lyme yang menjejaskan kira-kira 300,000 orang kanak-kanak di Amerika Utara setiap tahun, dengan kanak-kanak lelaki berumur lima hingga sembilan tahun mempunyai risiko yang paling besar.

Malah, iklim mempengaruhi beberapa penyakit berjangkit yang memberi kesan kepada kanak-kanak di seluruh dunia. Kajian Akademi Pediatrik Amerika (AAP) mendapati, bayi berumur kurang dari satu tahun terdedah kepada kematian yang berkaitan dengan haba, dengan satu kajian memperlihatkan peningkatan kematian bayi sebanyak 5.5 peratus pada bayi perempuan dan 7.8 peratus pada bayi lelaki menjelang akhir abad ke-21.

Indeks KidsRights pula mendapati kira-kira satu bilion kanak-kanak kini 'berisiko sangat tinggi' akibat perubahan iklim. Malah, berdasarkan angka terkini agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih satu pertiga daripada kanak-kanak dunia, iaitu kira-kira 820 juta orang terdedah kepada gelombang haba. Sejak Jun lalu, perubahan iklim, hujan monsun yang lebat dan banjir di Pakistan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,033 nyawa termasuk 348 kanak-kanak. Ternyata perubahan iklim mempunyai kesan buruk ke atas pertumbuhan, perkembangan serta kesejahteraan kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak mempunyai tahap toleransi yang lebih rendah terhadap risiko iklim dan alam sekitar. Apatah lagi kanak-kanak sering menjadi mangsa yang teruk terkesan apabila berlaku bencana yang ada kaitan dengan banjir, kemarau dan kebakaran hutan.

Meskipun menanggung impak teruk, kanak-kanak secara konsisten masih tersisih dalam perencanaan proses dan dasar iklim. Justeru, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) telah melancarkan indeks risiko iklim iaitu Children Climate Risk Index yang buat pertama kali memberi fokus pendedahan kanak-kanak kepada kejutan iklim serta alam sekitar.

Hakikatnya, rangka kerja tadbir urus yang lebih sensitif kanak-kanak perlu diwujudkan dengan memastikan undang-undang, dasar dan pelan yang berkaitan secara jelas mampu menangani impak perubahan iklim ke atas kanak-kanak sebagai aset masa depan dunia.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca