BAHANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin rancak dengan parti-parti politik terus agresif mengatur buah catur masing-masing dalam usaha mendapatkan ruang dan peluang terbaik meraih sokongan pengundi pada 19 November depan. Sama ada... Klik di sini untuk terus membaca

BAHANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin rancak dengan parti-parti politik terus agresif mengatur buah catur masing-masing dalam usaha mendapatkan ruang dan peluang terbaik meraih sokongan pengundi pada 19 November depan.

Sama ada koalisi BN, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan Gerakan Tanah Air yang boleh dianggap petanding utama, parti-parti lain yang tiada koalisi seperti Parti Sosialis Malaysia, Parti Bangsa Malaysia dan Parti Warisan juga pasti sibuk merangka strategi.

Tidak dinafikan, segala manifesto dan ‘gula-gula’ PRU yang dijanjikan parti-parti politik boleh mempengaruhi pengundi namun meletakkan calon yang tepat di tempat yang betul adalah salah satu formula meraih kemenangan dalam PRU15 akan datang.

Bercakap soal calon tepat di tempat yang betul, nama Datuk Mohd Nizar Najib mutakhir ini disebut-sebut berkemungkinan bertanding atas tiket BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pekan yang sebelum ini disandang bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bukan sekali dua desas-desus itu dilaporkan namun terkini hantaran Facebook rasmi Najib pada Isnin memaparkan video Mohd Nizar, 44, bercerita serba sedikit latar belakang akademik dan pengalaman kerja serta karier politik beliau.

Adakah kemunculan video tersebut boleh dianggap sebagai signal jelas bahawa anak sulung bekas Perdana Menteri keenam itu sememangnya bakal bertanding PRU15?

Untuk rekod, Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) bernilai RM42 juta, hampir pasti tidak dapat menyertai PRU15 bagi mempertahankan kerusi Pekan yang dikuasai sejak tahun 1976.

Sekiranya benar Mohd Nizar akan bertanding di kerusi tradisi bapanya, adakah ini bermakna peluang menang adalah cerah?

Menurut Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi, terdapat tiga faktor utama yang membolehkan Mohd Nizar menewaskan pihak lawan sekiranya beliau bertanding di Pekan dalam PRU15.

"Pertamanya, Parlimen Pekan merupakan kubu kuat UMNO-BN dan menang dengan majoriti selesa sekalipun arus gelombang penolakan BN memuncak pada PRU14 yang lalu,” ujarnya kepada Sinar Premium.

MOHD NIZAR

Keduanya, Mohd Nizar telah lama memulakan gerak kerja menyantuni akar umbi selepas menang tanpa bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan pada Jun 2018 dan penglibatan beliau di sana boleh dikatakan memadai untuk menjadikannya sebagai calon tempatan.

"Di samping itu, kerjaya Mohd Nizar sebagai seorang profesional yang berkhidmat selaku perunding dan akauntan meletakkan beliau sebaris dengan golongan profesional muda dalam parti-parti bertanding,” tambah Anis Anwar.

Ketiga kata Anis Anwar, pendakwaan ke atas bapanya, seorang mantan Perdana Menteri juga dianggap penyokongnya sebagai pendakwaan bermotif politik dan perjalanan kes perbicaraan beliau turut mendapat kritikan daripada ahli parti.

Justeru katanya, sabitan yang dijatuhkan ke atas Najib akan meraih simpati dari pengundi khususnya di Pekan dan meningkatkan lagi peluang kemenangan untuk anaknya

Persepsi bahawa Mohd Nizar adalah calon favourite untuk memenangi kerusi Pekan sekiranya bertanding dalam PRU15 turut dikongsi Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed.

"Susur galur dan legasi politik yang kuat dan ampuh di Pekan hasil warisan daripada bapa dan datuknya, Tun Abdul Razak Hussein adalah kekuatan utama Mohd Nizar untuk menang,” katanya.

Selain itu katanya, UMNO dilihat mahu mengurangkan pencalonan dari luar kawasan dan nama Mohd Nizar sememangnya sudah tidak asing buat masyarakat setempat berikutan beliau adalah Ketua Pemuda UMNO Pekan.

"Disebabkan beliau memang ada menyandang jawatan dalam parti dan sudah mempunyai rekod gerak kerja dan sumbangan tersendiri di Pekan, ia dapat mengelakkan rasa tidak puas hati yang mungkin timbul dalam kalangan ahli parti lain sekiranya beliau dicalonkan di sana untuk PRU15,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu Ahmad Martadha, usia muda Mohd Nizar juga mungkin boleh menjadi magnet tarikan untuk mendekati pengundi muda, golongan Gen Y dan Z.

"Beliau mempunyai kelebihan untuk mendekati pengundi muda bukan sahaja menerusi pertemuan fizikal tetapi juga media sosial yang diketahui ramai merupakan wadah utama dua golongan tersebut mendapatkan segala macam informasi termasuk mengenai PRU15,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca